Ustaz Zainudin Hashim
Fri | May 18, 07 | 03:07:08 PM
Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, perlu
berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh
mendekatkan diri kepada Allah SWT.
-->
Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik
di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah
perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan
penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.
Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu
yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba
Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu
diberi perhatian adalah seperti berikut :
• Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal
waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin
penerimaannya).
• Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja
boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara
pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.
• Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah,
memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca
al-Quran dengan memahami isi kandungannya.
• Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w,
sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur
wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.
• Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat
hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama,
perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi
kemurkaan Allah dan sebagainya.
• Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan
banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran
dengan tetap dan cekal terhadapnya.
Apakah amalan terbaik untuk dilakukan pada hari Jumaat?
Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian
memakai pakaian yang berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai
Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan
memotong rambut, mencukur misai, memotong kuku dan menggosok gigi.
Sesudah itu bersegeralah ke masjid. Sabda Rasulullah s.a.w.: " Sesiapa
yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang
Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang
yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang
masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor
kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka
seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu
kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila
naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena
oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah."
Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan
apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan
melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang
sembahyang.
Pernahkah kita terfikir bagaimana baginda Rasulullah s.a.w dalam solat
fardu Subuh menggabungkan pembacaan surah as-Sajadah (32) pada rakaat
pertama dan surah al-Insan (76) pada rakaat kedua.
Ini kerana kedua-dua surah tersebut mengandungi bahan motivasi dari sudut
misi kemanusiaan, daripada isu berkenaan penciptaan awal manusia yang
dicipta daripada air mani yang busuk hinggalah perhimpunan manusia pada
hari qiamat di padang Mahsyar, iaitu satu masa di mana mereka sedang
menunggu giliran untuk diperhitungkan amalan-amalan mereka.
Ia tidak terhenti setakat itu sahaja, malah ia mengajar manusia untuk
mendapatkan kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat, ia Allah SWT
aan menganjari mereka yang melakukan perkara terbaik dalam hidup mereka
dan membalas dengan azab bagi mereka yang melakukan perkara yang
bercanggah dengan perintah dan arahan-Nya.
Solat Sunat dan Bacaan Surah Pilihan
Muslim digalakkan setibanya di masjid untuk melaksanakan sembahyang
tahiyatul masjid. Dalam sebuah hadis dinayatakan: "Barangsiapa yang
mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di
syurga."
Jangan tingggalkan sembahyang tahiyatul masjid sekalipun imam sedang
berkhutbah. Di Dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca
dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi
atau Yasin.
Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif
Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca
surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa
kelebihan.
Hendaklah sedapat mungkin memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan
selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang
sunat dan juga berkata-kata (bagi mereka yang datang awal), jawablah
seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya.
Apabila selesai dari sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali
sebelum berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah
Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil
1 - 2. m.s 82).
Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga
Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.
Kemudian beradalah di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan
hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu
sepanjang hari Jumaat (jika bercuti pada hari itu), justeru, hari Jumaat
adalah digalakkan kita agar tidak bekerja supaya dapat melakukan
sunnah-sunnah Rasulullah .s.aw yang tidak ada janji-janji yang lebih
manis pada hari-hari yang lain.
Inilah kejayaan musuh Islam yang mengalihkan pandangan umat dari banyak
beribadat pada hari Jumaat digantikan pada hari lain, sedangkan hari
kebesaran mereka pada hari Ahad dapat disempurnakan dengan pergi ke
gereja dengan selesa dan sempurna, kerana pada hari itu mereka bercuti
dan berehat bersama keluarga.
Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah
agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin. - mks.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment