Sunday, September 30, 2007

Kembali kepada Islam untuk elak kisah Nurin Jazlin berulang

Kembali kepada Islam untuk elak kisah Nurin Jazlin berulang
Sep 24, 07 | 12:07:34 pm MYT

Kira-kira dua tahun lalu, seorang bapa pernah memberitahu, hidupnya
sentiasa di dalam keadaan "takut" dan "risau". -kira

Bapa ini yang menetap di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur mempunyai
lima orang anak perempuan dengan yang sulung berusia 15 tahun dan yang
bungsu berusia tujuh tahun.


Pada ketika itu, kesemua anaknya masih bersekolah samada menengah mahupun
sekolah rendah. Kedua ibu-bapa ini bekerja di sektor swasta.


Dia memberitahu, hidupnya sentiasa takut dan risau dengan keadaan lima
orang anak perempuannya yang bersekolah ini.


Hampir setiap waktu, dia akan menghubungi rumah samada anaknya sudah
berada di rumah ataupun tidak. Dia terlalu bimbang dengan keselamatan
anak-anaknya ini.


Katanya, hatinya akan berdebar walaupun anaknya keluar berjalan kaki
secara bersendirian walaupun tidak sampai 500 meter dan di waktu siang
hari.


Selain itu, dia juga terlalu bimbang dengan tahap sosial anak-anak
remajanya itu. Dia cukup yakin "peer group" boleh mempengaruhi tingkah
laku anaknya ini jika dia terleka seketika.


Dalam isu yang lain, seorang pakar motivasi pernah memberitahu dia
menghadapi kes yang mana seorang remaja perempuan yang bersopan santun,
berbudi bahasa dan dalam lingkungan keluarga bahagia telah dirogol kerana
tidak melayan seorang lelaki yang cuba mengurat dirinya itu.


Keluarga dan remaja tersebut dikatakan "trauma" dengan insiden ini
memandangkan kehidupan mereka yang cukup bahagia dan patuh dengan ajaran
agama.


Bukti tahap sosial masyarakat makin buruk
Akhirnya isu yang terbaru dan disifatkan suatu tragedi kepada tahap sosial
masyarakat kini adalah kematian tragis seorang kanak-kanak Nurin Jazlin
Jaziman pada 17 September 2007 yang lalu.


Gadis yang berusia lapan tahun dan pelajar tahun dua Sekolah Rendah
Kebangsaan Desa Setapak yang di laporkan hilang pada 20 Ogos 2007 lalu
ditemui mati dalam sebuah beg pakaian sukan di Taman Petaling Jaya Utama,
Petaling Jaya. Dia menjadi mangsa penderaan seksual melampau!


Pada 2003, seorang kanak-kanak Nurul Huda Abdul Ghani,10 tahun ditemui
mati selepas dicekik dan dirogol di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang,
Gelang Patah, Johor.


Pada 8 Januari 2004, satu lagi kes yang membabitkan kanak-kanak Harirati
Saridi ditemui mati dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di
Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu Sabah.


Kemudian pada 22 Disember 2004, kes Siti Syazwani Ahmad Dusuki, murid
tahun tiga Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Sungai Petani Kedah
dilaporkan hilang ketika pulang mengaji al-Quran ditemui terbunuh selepas
di rogol di ladang sawit tidak jauh dari rumahnya.


Sebelum ini masyarakat tidak akan lupa kes kematian Nor Iszyani Amlia
Ahmad Iskandar, berusia dua tahun dalam keadaan menyayat hati di
Damansara Damai, Petaling Jaya.


Dalam kejadian ini, dubur kanak-kanak malang itu cedera teruk ditusuk
objek keras manakala kemaluannya ada kesan cubitan.


Ini yang dilaporkan oleh pihak media. Bagaimana pula dengan kejadian lain
yang tidak didedahkan oleh media terutamanya yang dilaporkan kepada pihak
polis.


Atau yang lebih tragis lagi tidak dilaporkan kepada dengan pihak polis
untuk mengelakkan aib keluarga dari kacamata masyarakat umum.


Selain ini, satu kajian Pusat Penyelidikan Innocenti Tabung Bangsa-Bangsa
Bersatu Untuk Kanak-Kanak (Unicef) mendedahkan setiap tahun 3500
kanak-kanak berusia kurang 15 tahun di 27 negara maju meninggal dunia
akbat penderaan dan dikaitkan dengan kemiskinan dan tekanan.


Keadaan ini dikaitkan dengan negara maju akibat masalah sosial dan
keluarga tetapi apa pula kedudukannya di negara ini?


Cukupkah sekadar reaksi marah kita?
Gambaran yang diberikan adalah seolah-olah tahap sosial masyarakat kita
yang ada sekarang sedang menuju ke arah hampir "bobrok", tidak selamat
dan kurang menyakinkan.


Seluruh lapisan rakyat begitu marah, merintih dan kecewa dengan segala
kejadian yang menimpa kanak-kanak ini.


Masing-masing beranggapan kejadian ini tidak harus atau perlu berlaku.


Masing-masing sekadar merintih dengan melahirkan pelbagai harapan seperti
dikenakan tindakan yang tegas terhadap perogol, perlunya kerajaan wujud
pelbagai Akta, meminta masyarakat lain agar lebih perihatin di samping
mengharapkan pihak berkuasa lebih berperanan dan agresif dalam
menguatkuasakan undang-undang.


Apabila dalam tempoh 40 hari tiada sebarang isu besar dan meluas yang
dipaparkan oleh media massa, keadaan akan kembali kembali asal-
meneruskan kelekaan hidup masing-masing dan lupa dengan isu yang cukup
dahsyat ini.


Para ibu bapa yang perihatin dengan tahap sosial masyarakat masa kini
meneruskan "kerisauan" demi "kerisauan" walaupun kerajaan terus hebah
negara sentiasa aman dan tenteram.


Kemudian, rakyat akan merintih, marah dan kecewa kembali apabila isu yang
dahsyat ini kembali berulang setelah mendapat liputan yang meluas dari
media massa.


Masing-masing bersikap stereotaip - minta tindakan tegas, pihak berkuasa
perlu menguatkuasaan undang-undang dan kerajaan perlu lebih bertanggung
jawab.


Hentikan sikap hepokrit sesetengah masyarakat ini. Cukuplah dengan sikap
opportunis kerajaan yang perihatin dengan masalah sosial masyarakat
apabila kembalinya isu yang dahsyat ini.


Sekarang adalah masa kita bertindak dan bukannya kembali merintih, marah
yang selepas itu kita akan lupa kembali kepada sikap "kelekaan" dengan
kehidupan harian.


Apa yang harus kita lakukan?
Masalah sosial bejat masyarakat akan berulang sentiasa kerana kita tidak
pernah bertindak. Kita tidak pernah bertanya kepada diri sendiri, apakah
tindakan yang perlu dilakukan dengan segara akan sosial masyarakat dapat
diperbaiki.


Tanpa disedari sesetengah masyarakat samada yang kaya, sederhana dan
miskin telah melakukan pelbagai kesalahan kerana tidak pernah mendidik
anaknya menjadi manusia yang berguna dan berakhlak.


Ada sesetengah ibu bapa yang tidak pernah melakukan disiplin terhadap
anaknya seperti menegur anak perempuan berpakaian tidak menutup aurat,
pergaulan bebas lelaki- perempuan, masa yang tidak menentu di rumah, anak
menjadi mat rempit dengan alasan kononnya menjaga kebebasan dan
kemerdekaan anak-anak.


Sesetengah mereka tidak pernah menegur anak remaja perempuan yang
berpakaian ketat dan singkat sehingga nampak anak pusat dan seluar dalam
pelbagai warna dari arah belakang apabila mereka duduk.


Sesetengah ibu dan bapa akan mempertahankan anak remaja lelakinya
menghisap rokok atau ditangkap kerana menjadi mat rempit dengan pelbagai
alasan.


Masyarakat umum melihat tingkah laku sesetengah anak remaja Melayu
masakini. Lihatlah cara mereka berpakaian. Lihatlah cara mereka bergaul
dengan orang yang lebih tua.


Lihatlah sikap mereka yang masih remaja duduk melepak sambil menghisap
rokok antara lelaki dan perempuan. Masyarakat hipokrit ini tidak boleh
ditegur tetapi marah apabila berlakunya sesuatu tragedi yang menimpak
anak remaja lainnya!


Sikap hiprokrit masyarakat ini disogok tindakan kerajaan yang terlalu
opportunis.


Kerajaan Islam Hadhari yang tersasar
Kerajaan begitu hebat menghebahkan konsep Islam Hadhari tetapi tiada
sebarang langkah atau tindakan untuk mengurangkan sosial masyarakat yang
hampir "bejat" ini.


Kerajaan hanya kaya dengan konsep, kaya dengan kata-kata dan slogan
tetapi tindakan adalah sifat.


Secara simboliknya apabila kerajaan melancarkan tidak sampai seminggu
konsep Islam Hadhari- suatu konsert dangdut besar-besaran diadakan di
Stadium Merdeka yang dikenali sebagai "Inul-Goyang Garudi".


Suatu fenomena yang cukup dahsyat apabila kerajaan Islam Hadhari
membenarkan media elektronik yang memaparkan pelbagai program hiburan dan
tayangan gambar yang menjolok mata terutamanya yang membabitkan anak-anak
remaja Melayu dan Islam yang terus masuk ke dalam rumah.


Kerajaan Islam Hadhari membenarkan media elektronik mengadakan pelbagai
program realiti termasuk tayangan bagaimana mahu mencari seorang isteri
yang bertentangan dengan kaedah Islam.Malahan suatu ketika dahulu
mana-mana artis lelaki dilarang sama sekali berambut panjang, kini
semakin hebat dan memualkan.


Pelbagai program yang menjolok mata ini disifatkan sebagai "membalas
dendam" untuk kepuasan kerana suatu ketika dahulu kerajaan agak menyekat
kerana ia disifatkan begitu melekakan dan menjejaskan pembentukan
peribadi masyarakat.


Mungkin ada di kalangan masyarakat yang beranggapan ia terpulang kepada
individu untuk melihat mana yang baik dan buruk tetapi anggapan ini
adalah tidak betul kerana kerajaan membenarkan siaran ini dari
berlangsung.


Kenapa negara-negara Islam lainnya masih mengekalkan siaran yang lebih
berdisplin sedangkan kita tidak?


Segala bentuk hiburan yang melampau dan akhlak buruk sesetengah anak
remaja Melayu Islam sememangnya mengundang malapetaka.


Ia boleh mengundang kepada nafsu kepada setiap lelaki atau perempuan di
dalam keadaan jisim yang kecil mahupun besar.


Ia boleh mengundang kepada lelaki yang menghadapi masalah "sexual
disorder" atau kecelaruan seks sehingga kanak-kanak kecil menjadi
mangsanya.


Kerajaan perlu mengakui hakikat dengan kehebatan berjaya menjaga keamanan
dan ketenteram rakyat dalam tempoh 50 tahun tetapi perlu mengakui bahawa
moral sesetengah masyarakat sekarang semakin "bejat".


Kerajaan yang hebat dan bertanggungjawab tidak boleh lepas tangan
terhadap isu yang disifatkan buruk tetapi menghebahkan meluas isu yang
dianggap baik dan positif.


Apa yang penting bertindaklah sekarang. Masyarakat perlu ditegur dan
menegur di antara satu sama lain agar peristiwa ini tidak berulang.


Kaum keluarga yang perihatin dengan masalah moral ini perlu berani
membuat teguran atau tindakan terhadap ibu dan bapa yang bersikap sambil
"lewa" terhadap anak-anak mereka.


Sebagai pemimpin utama negara, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi juga perlu
bersikap lebih banyak bekerja, menantau dan sensitif dengan membuang
slogan "Kerja bersama saya dan bukan untuk saya" sebagai alasan dia
"lepas tangan" atau tidak mahu bertanggung jawab kepada menteri atau
pegawai yang dilantiknya.


Hentikanlah sikap sesetengah masyarakat Melayu yang hipokrit dan
sesetengah pemimpin kerajaan yang oppurtunis! Kembali kepada ajaran Islam
yang sebenar dan bukan berpaut kepada slogan semata-mata! Bertindaklah ...
- mr

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: