Saturday, September 15, 2007

Propaganda media Umno terhadap Yayasan Masa Hadapan

Anwar Ibrahim
May 21, 07 |

Foundation for the Future (Yayasan Masa Hadapan) mula-mula diumumkan di
Bahrain pada November 2005 oleh menteri-menteri luar dan pembangunan dari
Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah dan Amerika Syarikat. Yayasan tersebut
merupakan sebuah badan independen, melibatkan kerajaan dan masyarakat
madani untuk menyokong badan-badan bukan kerajaan di dalam usaha
membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Dari awal, sebanyak US$56 juta telah dijanjikan kepada Yayasan. Setakat
ini, Yayasan hanya menerima dana dari Turki, United Kingdom dan Jordan,
antara lain. Amerka Syarikat tidak memberikan sebarang dana kepada
Yayasan.


Saya dijemput untuk menyertai lembaga pengarah Yayasan pada pertengahan
2006 bersama-sama wakil dari Maghribi, Kuwait, Iraq, Sepanyol, Syria,
Turki, Lubnan, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mesir, Switzerland dan
Qatar.


Ahli lembaga pengarah yang lain termasuklah Kamel Abu Jaber, penasihat
kepada Menteri Luar Jordan; Dr. Cornelio Sommaruga, bekas Presiden
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa; Professor Ibrahim Kallin,
penasihat Menteri Luar Turki, dan Sandra Day O' Connor, bekas hakim
Mahkamah Agung Amerika Syarikat.


Mesyuarat lembaga pengarah yang pertama diadakan di Doha, Qatar di atas
jemputan Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani, Menteri Luar dan kini
Perdana Menteri Qatar pada 15 Julai 2006, dan saya telah dipilih secara
sebulat suara sebagai Pengerusi Kehormat Yayasan. Keputusan yang
disepakati ialah untuk mendirikan ibu pejabat di Beirut, Lubnan.


Walau bagaimanapun, di dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Disember
2006 di Amman, Jordan, saya bertemu Menteri Luar Jordan Abdelelah
Al-Khatib, yang menyokong saranan penubuhan sekretariat serantau di Amman
memandangkan penangguhan di dalam mendirikan ibu pejabat Beirut akibat
serangan Israel terhadap Lubnan. Mesyuarat lembaga pengarah seterusnya
akan diadakan pada 29-30 Mei 2007 di Bahrain.


Saya tidak melantik Shaha Ali Reza ke Yayasan. Beliau mula-mula
ditugaskan oleh Bank Dunia menerusi Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk
Yayasan pada hujung 2005 sebelum saya menjadi Pengerusi. Jawatankuasa
eksekutif telah memutuskan pada pertengahan 2006 untuk menyeragamkan
perlantikan tersebut agar Shaha menasihati secara langsung dari Bank
Dunia dan bukannya Jabatan Negara.


Yayasan tersebut akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mesyuarat di
Bahrain minggu hadapan. Tetapi, memandangkan propaganda yang berterusan
dari media kawalan UMNO, saya telah memutuskan untuk mengeluarkan
kenyataan ini. Sekiranya tiada penjelasan oleh media berkenaan isu ini,
Yayasan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan perundangan
terhadap pihak-pihak terbabit.


Pengerusi
Yayasan Masa Hadapan

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: