Sunday, September 30, 2007

Tragedi Batu Buruk - Polis burukkan imejnya yang sedia

Tragedi Batu Buruk - Polis burukkan imejnya yang sedia
Mohamed Hanipa Maidin

Sep 21, 07 | 3:37:39 pm MYT

Kerjaya seorang polis amat dipandang mulia dan suci di dalam mana- mana
tamaduan manusia termasuk Islam.

Tidak dapat dinafikan polis memainkan peranan yang amat besar dalam
mengawal keamanan dan membenteras jenayah dalam sesebuah negara.
Institusi polis adalah elemen penting dalam mana-mana sistem keadilan.


Atas dasar itu rakyat amat berharap polis menjalankan tugas mereka tanpa
rasa gentar dan memihak (without fear and favour) khususnya dalam
memerangi jenayah.


Justeru itu juga profesionalisme polis mesti dipertahankan jika pasukan
polis ingin dihormati oleh rakyat. Polis tidak harus tunduk kepada
mana-mana pihak dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.


Malangnya kredebiliti institusi polis di negara ini telah mula diragui
dengan berlakunya beberapa insiden yang secara jelas memburukkan imejnya.


Polis tidak lagi dilihat memfokuskan matlamat utamanya iaitu membenteras
jenayah dan mewujudkan kestabilan dan keamanan. Jenayah semakin hari
semakin meningkat.


Polis pula dengan mudah dirasuah oleh penjenayah-penjenayah besar.
Ditekan oleh UMNO, polis sanggup menggadaikan profesionalisme mereka dan
dalam keadaan yang tertentu profesionalisme tersebut sedia di"lacurkan".


Polis semakin hari semakain jelas menunjukkan sikap memihak mereka dan
mengamalkan budaya "favouritisme". Musuh Umno- golongan pembangkang-
tidak semena- semena juga menjadi musuh polis.Ironisnya semakin banyak
kritikan dibuat berhubung amalan buruk pihak polis semakin teruk pula
rekod dan kredibiliti polis.


Tragedi berdarah yang berlaku di Batu Buruk,Trengganu baru-baru ini hanya
membawa kita kepada satu kesimpulan sahaja- institusi polis semakin
hancur. Persoalannya sampai ke tahap mana Umno mahu institusi polis di
negara ini terus hancur !!!


Secara jujur memang sukar untuk kita memahami kenapakah dengan tiba-tiba
polis bertindak ganas ke atas rakyat Trengganu yang hanya ingin
melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.


Apa yang lebih malang lagi adalah dua orang rakyat negara ini iaitu
saudara Suwandi Abdul Ghani ,37 dan Muhamad Azman Aziz ,21 telah ditembak
dengan peluru hidup dari jarak dekat oleh seorang anggota polis di dalam
insiden tersebut.


Yang lebih menghairankan meskipun rakyat yang ditembak oleh polis, namun
pihak polis telah bertindak menangkap mangsa tembakan tersebut dan
meminta Mahkamah mengeluarkan perintah reman ke atas salah seorang
individu yang ditembak oleh anggota polis tersebut.


Maka mangsa yang dibedah di hospital Kuala Trengganu tersebut bukan
sahaja menderita kesakitan kerana dibedah untuk mengeluarkan peluru tapi
juga terpaksa terbaring di katil dalam keadaan tangannya bergari 24 jam
sambil dikawal oleh polis.


Dilaporkan kedua-dua individu tersebut, yang telah menerima rawatan di
Hospital Kuala Trengganu dan Kubang Kerian berkemungkinan besar akan
didakwa di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Sementara kedua-dua mangsa yang ditembak oleh pihak polis tersebut telah
dan akan direman dan berkemungkinan besar akan didakwa di atas tuduhan
jenayah di Mahkamah , anggota polis yang menembak mereka berdua dibiarkan
bebas tanpa ditangkap,direman jauh sekali untuk didakwa.


Kenapa tidak ditangkap? Alasan polis adalah polis yang menembak kedua-dua
individu tersebut melaksanakan hak mempertahankan diri (self or private
defence).


Alasan ini sudah tentu adalah satu alasan yang "premature" di peringkat
ini kerana forum yang paling layak menentukan sama ada pembelaan self
defence itu terpakai di dalam kes ini hanyalah Mahkamah.


Di dalam konteks kes ini ianya bermakna polis tersebut perlu terlebih
dahulu didakwa di Mahkamah dan terpulang untuk beliau membangkitkan
pembelaan mempertahan diri tersebut di Mahkamah.


Sebagai satu analogi kes , kita tentu masih belum lupa kes Peguam Balwant
Singh yang ditangkap dan didakwa kerana menembak seorang penunggang
motosika berbangsa India.


Balwant telah ditangkap dan didakwa di Mahkamah Tinggi di atas tuduhan
bunuh dan setelah selesai saksi-saksi memberi keterangan, Mahkamah telah
mengambil kira isu pembelaan self defence yang dibangkitkan oleh Balwant
Singh dan memutuskan pembelaan tersebut terpakai kepada Balwant dan
beliau akhirnya dibebaskan.


Jadi jelas penembak harus ditangkap dan didakwa terlebih dahulu sebelum
beliau dibenarkan membangkitkan pembelaan mempertahankan diri tersebut.


Di dalam kes Batu Buruk ini bukan sahaja polis yang menembak dua rakyat
dari jarak dekat menggunakan peluru hidup (yang boleh menyebabkan
kematian) tidak didakwa, tangkap pun tidak!


Tanpa penangkapan dan pendakwaan ke atas polis terbabit , ia menunjukkan
bahawa polis bukan sahaja bertindak sebagai penembak tetapi juga
bertindak sebagai pendakwa, hakim dan juri sekaligus di dalam isu ini.


Dengan ketiadaan penangkapan dan pendakwaan ke atas pihak polis yang
menembak kedua-dua individu tersebut akan mengundang pelbagai spekulasi
antaranya sesuatu cuba disembunyikan oleh pihak polis dari pengetahuan
umum.


Ia juga akan mewujudkan satu "bad precedent" (duluan yang buruk) bagi
kes-kes seperti ini di masa hadapan dan tidak perlu dikatakan ini secara
jelas bertentangan dengan prinsip akauntabiliti seorang penjawat awam.


Ia juga membenarkan persepsi orang ramai bahawa polis di Malaysia
berbudaya "trigger happy" (gembira menembak orang) sekaligus memburukkan
lagi imej dan kredibiliti polis yang sedia buruk.


Demi kepentingan keadilan polis yang terbabit sewajarnya ditangkap,
direman dan seterusnya didakwa di Mahkamah dan pendakwaan yang paling
munasabah ke atas polis terbabit adalah tuduhan cuba membunuh (attempted
murder)!


Bagi saya, polis secara jelas bersalah sepenuhnya di dalam kes ini.
Kenapakah mereka harus mengganggu ceramah yang ingin diadakan oleh BERSIH
yang hanya ingin menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung tuntutan
BERSIH untuk memulihkan sistem demokrasi yang telah tempang di negara
ini.


Sebenarnya partai pembangkang seperti PAS bukan ingin sangat berceramah
di waktu-waktu malam seperti yang dilakukan sekarang. Pembangkang memilih
untuk berceramah di waktu malam ini kerana ini sahaja saluran yang mereka
ada. Mereka tidak dibenarkan memiliki akhbar harian,televisyen dan radio
yang dikuasai semutlaknya oleh Barisan Nasional (baca Umno.


Berkaitan isu penerangan ini Umno secara jelas mengamalkan dasar
apartheid -dasar yang memihak satu pihak dan menindas pihak yang lain.


Walaupun di pentas demokrasi rakyat sepertimana kata seorang Hakim di
India "are not required to sing the same song!" di Malaysia demokrasi
versi Umno tidak mengiktiraf rakyat menyanyi lagu lain selain lagu untuk
setia kepada Umno sahaja - dulu kini dan tak tahu sampai bila!


Jika polis berfikir sejenak hal tersebut sudah tentu mereka tidak
sewajarnya menafikan partai pembangkang untuk bersuara.


Sistem demokrasi seharusnya membenarkan pembangkang untuk bersuara dan
secara timbal balas (reciprocal) rakyat pula hendaklah dibenarkan untuk
mendengar suara pembangkang tersebut.


Polis ,saya percaya, mempunyai pengetahuan laporan-laporan yang dibuat
oleh Suhakam dan Suruhanjaya Diraja Pembaikan Imej Polis yang ditubuhkan
oleh Kerajaan Abdullah Badawi dengan dipengerusikan oleh Mantan Ketua
Hakim Negara,Tan Sri Dzaiddin. Laporan-laporan ini secara jelas
menyatakan bahawa polis tidak boleh sama sekali menafikan hak berhimpun
ke atas rakyat negara ini yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.


Badan-badan tersebut malahan telah mencadangkan seksyen 27 dan 27A Akta
Polis 1967 yang menyentuh soal perhimpunan di tempat awam dan premis
persendirian dimansuhkan kerana bercanggah dengan prinsip hak asasi
manusia.


Menurut undang-undang pentadbiran, saranan laporan-laporan Suhakam dan
Suruhanjaya Diraja tersebut mewujudkan satu "legitimate
expectation"(jangkaan yang sah) kepada partai pembangkang dan rakyat
untuk mendesak polis mengikut saranan badan -badan tersebut.


Jika rakyat sebagai pembayara cukai tidak mendapat manfaat dari saranan
badan -badan tersebut yag beroperasi di atas duit pembayar cukai apa
relevannya badan-badan tersebut.


Untuk polis dan UMNO, ingatlah kesabaran rakyat ada hadnya. Jangan undang
kemarahan rakyat. Jadilah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan Polis Raja di
Malaysia (PRDM)! - mr

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: