Saturday, September 15, 2007

BEBERAPA KESILAPAN IBU BAPA

DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

(Kuliah Mingguan Surau An-Nur , 15 Safar 1419 bersamaan 10 Jun 1998 )

(Oleh Ustaz Khalid bin Haji Mohd Isa)


Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari
ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hambaNYA. Firman ALLAH s.w.t. :

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH
ada pahala yang besar."

(Al-Quran Surah At-Taghabun, 64 : 15)

Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah
orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa
kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda
:

"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat :
"Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu
Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang
mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan
kepadanya sesudah ia meninggal dunia."

(Maksud Al-Hadith )

Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.

1. Kesilapan pertama : Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang
digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah

* Saidul (penghulu) Istighfar

* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3
: 8-9)

* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali
'Imran, 3 : 38)

* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah
Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang
digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah

* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t.
(Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 : 128)

* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati
(Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 : 74)

* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua : Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan)
daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti :

* menakutkan anak-anak dengan sekolah

* menakutkan dengan tempat gelap

* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau

* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak
tidur

3. Kesilapan ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak

* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak

* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti
sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat : Menegur anak secara negatif

* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada
anak-anak (terutama semasa marah).

* membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak
orang lain.

5. Kesilapan kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara
jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).

* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari
pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua
anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan
mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :

Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali
r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah
baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang
anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka."
Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak
mengasihi tidak akan dikasihi."

(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan
kurang kemas

* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas
dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian
secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan : Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini
mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar
menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan : Kurang menghidupkan sunnah di rumah
seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan
sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang
lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh : Tidak menggantungkan rotan di tempat
yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan
tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas : Kurang mendedahkan anak-anak dengan
model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah
tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan
sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian
dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas : Bertengkar di depan anak-anak. Ini
akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari
ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas : Membenarkan orang yang tidak elok
sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat
sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh
yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas : Kurang mengawasi
rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video.
Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari
media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas
lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan
yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas : Terlalu bergantung kepada
pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang
akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi
satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik
dengan didikan Islam.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: