KUALA LUMPUR, 7 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau
tidak pernah menyentuh isu penglibatan Abdul Razak Baginda dengan isu
pembunuhan Altantuya Shaariibuu, tetapi percaya, terdapat beberapa isu
berkaitan, adalah dalam pengetahuan Timbalan Perdana Menteri, Dato'
Seri Mohd Najib Tun Razak yang sehingga kini masih enggan berbicara.
Bercakap dalam wawancara eksklusif dengan Harakah di pejabatnya baru-baru
ini, Anwar menegaskan, berdasarkan pengalamannya menjadi mangsa orang
politik, beliau bimbang akan berulang teori konspirasi yang digunakan
untuk 'mengenakan orang tertentu dan menyelamatkan orang tertentu'
dalam kes terbabit.
Menurut Anwar, beliau amat mengenali Abdul Razak Baginda dan keluarganya
sejak lama dahulu.
"Ayahnya (ayah Razak) teman baik, bekas Ketua Pengarah Belia Malaysia,
saya kenal sejak Razak jadi Pengarah Defense College, kemudian dia
menjadi think- thank Dato' Seri Najib, ada beberapa program yang dia
selenggarakan, saya diundang untuk hadir."
"Tetapi saya kenal memang dia orang kanan Dato' Seri Najib, menyediakan
ucapannya, perjalanan ke luar negara, sahabat baik, sahabat keluarga,
penasihat politik, tergabung dalam itu semua," jelas Anwar.
Menurut Anwar, beliau yakin rakyat mahukan penjelasan dari TPM kerana
difahamkan Abdul Razak adalah juga orang yang memegang saham utama
beberapa syarikat yang dikatakan menerima komisyen (penjualan senjata).
Tegas Anwar, beliau tidak gentar jika Najib dan kuncu-kuncunya akan
menggunakan strategi menyerang peribadi beliau kerana terhimpit dengan
pelbagai skandal dan rasuah yang tidak terjawab sehingga kini.
Kata Anwar, beliau sedar dirinya akan menjadi mangsa serangan jahat dan
kotor Barisan Nasional khususnya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan
Undangan Ngeri Ijok yang berakhir 28 April lepas.
Menurutnya, nampak jelas ketakutan Najib dan orang-orangnya sehingga
menggunakan video tahun 1998, mendakwa Anwar terbabit dengan skandal seks
yang digunakan oleh konspirator untuk menjatuhkannya sebagai Timbalan
Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno ketika itu.
"Kalau dia (Najib) ada skandal saya, dia boleh keluarkan, saya tidak
gentar, bagi saya, rakyat boleh mempertikaikan gaya hidupnya, pakaian,
rumah dan kenderaannya, ini bukan isu peribadi kerana saya 'public
figure'.
"Ini beza dengan dalam Umno, BN, anda boleh curi RM500 juta, apabila
orang tanya, anda kata itu isu peribadi. Bagi saya isu peribadi ini
soal lain, anda jumpa siapa, di mana, di Seremban ke Port Dickson ke,
itu boleh jadi isu peribadi," tegasnya sinis.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak memilih untuk menyerang peribadi
Timbalan Perdana Menteri melainkan hanya jika terpaksa berbuat
demikian.
Bagi beliau, yang dipersoalkan mengenai pelibatan Najib adalah kaitannya
dengan Abdul Razak Baginda dan soal pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang
menarik perhatian seluruh dunia.
Tegas Anwar, isu komisyen RM520 juta yang beliau bangkitkan juga
merupakan hak rakyat untuk mengetahuinya untuk memastikan kepimpinan
negara supaya benar-benar bersih daripada rasuah.
Katanya, selaku Menteri Kewangan suatu ketika dahulu, beliau turut
terbabit mengawasi perundingan pembelian senjata antara Kerajaaan
Malaysia dengan syarikat asing.
"Saya belum pernah melihat cara sekotor, sejijik itu (urusan pembelian
senjata) dari segi pengumpulan kekayaan (untuk individu tentu),"
tegasnya.
Sebab itu katanyanya, beliau menggesa Najib menjawab tetapi sehingga
sekarang beliau tidak menjawabnya, sebaliknya meminta Kementerian
Pertahanan menjawab bagi pihak beliau.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment