Umum mengetahui bahawa kes Azlina Jailani akan diputuskan oleh Mahkamah
pada hari Rabu 30 Mei 2007. Kes ini sangat menarik perhatian dan tumpuan
pelbagai pihak dan umat Islam khasnya kerana ia berkemungkinan memberi
kesan yang besar kepada kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan
undang-undang Malaysia. Kes ini juga telah dijadikan cerminan kepada imej
Islam dan umat Islam di Malaysia.
Dengan latarbelakang tersebut, kami, pemimpin pertubuhan-pertubuhan
Islam yang bergabung dalam PEMBELA menyeru kepada umat Islam yang
prihatin agar memberi tumpuan kepada perkembangan ini dan terus
berikhtiar dengan melakukan solat hajat di setiap masjid dan surau
seluruh negara pada malam ini selepas solat Isyak.
Satu majlis yang sama akan turut diadakan di masjid Kg. Baru, Kuala
Lumpur selepas solat Isyak.
Untuk makluman umum, pihak pimpinan PEMBELA akan turut hadir ke mahkamah
pada hari tersebut bersama para peguam yang mewakili kami untuk mendengar
keputusan mahkamah. Kepada orang ramai yang turut hadir mendengar
keputusan penting ini, PEMBELA ingin berpesan agar semua yang hadir dapat
memelihara suasana aman dan menjauhi apa-apa tindakan yang boleh
mencetuskan suasana yang tidak sihat.
PEMBELA berharap semua pihak dapat mengawal diri dan suasana dalam
mengadapi perkembangan ini demi memelihara nama baik umat Islam dan
negara. PEMBELA ingin memberi jaminan kepada semua umat Islam yang
prihatin yang PEMBELA akan terus berusaha untuk memelihara kedudukan
Islam dan umatnya di Malaysia dengan izin Allah.
Dengan latarbelakang tersebut, PEMBELA menyenaraikan garis panduan
berikut untuk dipatuhi oleh semua hadirin demi kebaikan bersama :
(a) Mengambil tempat dengan tenang dan menunggu dalam keadaan duduk.
Sangat digalakkan berada dalam keadaan wudhuk dan mengisi waktu dengan
munajat dan dzikruLlah.
(b) Pimpinan utama organisasi dan peguam berkaitan perlu diberikan
keutamaan untuk masuk ke ruang dalam Mahkamah.
(c) Orang ramai berkumpul di luar perkarangan Mahkamah.
(d) Laporan selari mengenai keadaan di Mahkamah akan diberikan dari masa
ke semasa.
(e) Dilarang meninggikan suara, mencerca atau mengutuk sesiapa.
(f) Pastikan suasana terkawal dan aman.
(g) Berikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dan pengawal.
PEMBELA mengajak semua individu yang prihatin agar menyalurkan insiatif
dan usaha melalui saluran yang sepatutnya termasuk melalui PEMBELA yang
digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia.
PEMBELA juga ingin menasihatkan agar masyarakat amnya menjauhi mana-mana
tindakan atau mesej liar dan provokatif mungkin yang dicetuskan oleh
mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan dengan pengumuman
keputusan kes Azlina Jailani ini.
Semoga Allah Subhanahu wataâ™aala sentiasa memelihara kedudukan Islam
dan umatnya di Malaysia serta terus memelihara kemakmuran dan
kesejahteraan rakyat dan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara
kita.
YUSRI MOHAMAD
Presiden ABIM / Pengerusi Mesyuarat PEMBELA
(Siaran Media ini dipersetujui secara bersama oleh NGO-NGO Islam dalam
Mesyuarat PEMBELA pada 28/05/2007)
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment