Saturday, September 15, 2007

Taib Azamudin dilarang berkhutbah walaupun bergelar Imam 1 Masjid Negara

May 06, 07 | 11:53:51 AM

Ust Taib Azamudin bukanlah nama asing bagi umat Islam negara ini. Bekas
Imam Besar Masjid Negara itu mengejutkan kerajaan BN apabila mengambil
keputusan bersara awal untuk bertanding dalam pilihan raya umum 1999 atas
tiket PAS di Parlimen Baling. Berpengalaman luas sebagai kakitangan
kerajaan yang mengkhusus dalam bidang dakwah. Bapa kepada enam anak ini
menganggap politik punyai seni tersendiri. Ikuti wawancara Mohd Sabri
Said dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Latarbelakang Ustaz?
Saya mempunyai enam orang anak. Anak sulung telah mendapat ijazah di
Univesiti Al-Azhar, tiga orang lagi tengah buat diploma dan dua orang
lagi masih diperingkat menengah. Kesemua masih menuntut di Kelantan,
Trengganu dan juga Alor Setar.


Isteri saya bernama Norlia Abdul berasal dari Balik Pulau. Kami berkahwin
pada tahun 1979.


Latar belakang pendidikan?
Pendidikan awal bermula di Sekolah Rendah Kebangsaan kemudian bertukar ke
Sekolah Tunku Putra, Baling dalam aliran Inggeris. Selepas itu ke
pengajian berasaskan pondok di Madrasah Diniah Bakriah, Pasir Tumbuh,
Kota Bahru, Kelantan.


Setelah mendapat kecemerlangan dalam pelajaran, saya ke Nilam Puri dan
seterusnya ke Univesiti Al-Azhar.


Kerjaya?
Kembali ke Malaysia pada tahun 1977 dan berkhidmat di Bahagian Agama,
Jabatan Perdana Menteri (JPM). Saya bermula di bahagian dakwah selama
empat tahun. Selepas itu bertukar pula ke Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan dan kemudiannya Kota Kinabalu mengendalikan Institut dakwah.


Pada 1983-84 kembali semula ke Pusat Islam, Kuala Lumpur dibahagian
penyelidikan ekonomi dan sosial. Kemudian ditukarkan ke Imam 1, Masjid
Negara pada 1986.


Tahun 1989 menyambung pelajaran ke Univesiti Pertanian Malaysia (UPM),
Serdang. Selepas itu kembali semula ke Masjid Negara 1992 sebagai Iman
Besar sehinggalah permohonan bersara awal 1999 untuk bertanding pilihan
raya umum di Parlimen Baling.


Apakah kenangan manis yang tidak boleh dilupakan ketika menjawat Imam
Besar Masjid Negara?
Pertukaran ke tujuh tempat sebenarnya membuka ruang bertemu banyak orang
dan ini secara langsung memberi kelebihan untuk memperbaiki interaksi.


Tugasan saya sebenarnya di bawah skim Pegawai Hal Ehwal Islam. Gelarannya
pula berasaskan kepada mana ditukarkan. Contohnya di Masjid Negara
bergelar Imam 1 kemudian bila dinaikkan pangkat bergelar pula Imam Besar.


Di mana ada antara pertukaran itu melibatkan perancangan pengtadbiran
yang begitu mencabar lebih-lebih lagi sebagai Ketua Penolong Pengarah di
Kota Kinabalu.


Waktu itu dipertanggungjawabkan terhadap tiga buah Pusat Latihan Dakwah
yang diserahkan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada Kerajaan Persekutuan.


Waktu itu semasa pemerintahan Ketua Menteri, Dato' Haris Saleh dan
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Musa Hitam. Di sana saya bersama beberapa
orang rakan menjagai Pusat Latihan Dakwah di Keningau, Kundasang dan
Kudat.


Pengambilannya terdiri daripada peserta saudara baru yang diberikan
kursus selama enam bulan. Mereka dibayar elaun RM150.00 untuk yang
sudah berkeluarga manakala yang bujang RM100 pada waktu itu.


Yang paling tidak boleh dilupakan ialah kenangan manis ketika bertugas
selama 13 tahun di Masjid Negara berbanding 10 tahun di tempat lain.


Di Masjid Negara saya cuba membawa pendekatan mengembalikan fungsi
masjid sebagaimana yang telah disunahkan sebagai 'pusat' kepada umat
Islam.


Sebelum ini pun tugas itu dilakukan tetapi kurang menyerlah dan bila
mengambil alih saya terus menyusun dengan pelbagai aktiviti dari pukul
8.00 pagi sehingga 10.30 malam setiap hari.


Antaranya di sebelah pagi kita ada Sekolah Rendah Agama yang mana
seramai 72 orang murid ketika permulaannya dan sebelum saya meninggalkan
Masjid Negara ia berjumlah 500 murid dengan 15 orang tenaga pengajar.


Pengajian Bahasa Arab juga diadakan di situ mengikut tahap satu sehingga
enam untuk dewasa.


Begitu juga Al-Quran di mana bermula tahap satu sehinggalah tahap enam
iaitu peringkat lanjutan. Ia melibatkan tujuh ribu orang peserta
dewasa.


Diperingkat asas ia diseliakan oleh bilal iaitu Ustaz Abu Bakar Idris
manakala peringkat menengah ia dikemudian oleh ketua kumpulan dan
lanjutan ia diberikan tanggungjawab kepada mereka yang bergelar 'Hafiz'.


Program mingguan juga ditawarkan untuk membantu jabatan kerajaan yang
lain mengadakan kursus peningkatan terhadap Islam. Contohnya Bank
Rakyat, MAS Logistik, Telekom, DBKL, Kastam dan sebagainya.


Di peringkat tahunan kita membantu pengusaha muslim dengan mengadakan
ekspo untuk mereka selama dua atau tiga minggu dengan kerjasama UiTM,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Fama dan sebagainya.


Kenangan pahit pula bagaimana?
Sebagai Imam Besar saya terpaksa berhadapan dengan individu yang
bermasalah terutamanya rumah tangga dari peringkat orang bawahan
sehinggalah orang atasan.


Masalah rumah tangga yang 'berprofil tinggi' pun pernah dikaunselingkan.
Memandangkan amanah yang diberikan, saya tidak pernah mendedahkan
nama-nama siapa yang terlibat.


Yang paling mencabar pernah berlaku ialah kematian seorang wanita di
kalangan isteri pemimpin negara di mana dua buah kereta datang serentak
untuk menuntut mayat. Kedua kereta itu daripada pihak gereja dan
Jabatan Agama.


Sebab berlaku begitu kerana si suami tidak berani bertanggungjawab sama
ada isterinya Islam atau tidak walaupun suaminya orang Islam. Tetapi,
oleh kerana kita ada rekod keislamannya maka ia diselesaikan dengan
baik.


Satu lagi peristiwa yang tidak boleh dilupakan sampai hari ini ialah
peristiwa tidak boleh berkhutbah di Masjid Negara tanpa sebab. Ia
terjadi pada tahu 1989.


Menteri di JPM, Dato' Abdul Hamid Othman sendiri menyampaikan hasrat
tersebut dengan lisan.


Walaupun alasan tidak pernah diberikan namun saya yakin ia berpunca
daripada teguran dari mimbar berhubung lawatan penyanyi Tina Turner ke
Malaysia serta masalah arak yang berlaku di serata pelosok ibu kota.


Selepas itu saya bertekad ke UPM selama dua tahun dan bila kembali ke
Masjid Negara dinaikkan pangkat ke Imam Besar.


Bagaimana membahagikan masa antara politik dan dakwah?
Sebagai ahli politik ia agak berlainan dengan tugasan kita semasa bekerja.
Ini kerana, berpolitik ada seni yang tersendiri. Kita memang kena rapat
dengan rakyat baru golongan akar umbi tahu kemanisan bersama parti yang
memperjuangkan Islam.


Ustaz membantu kerja rumah?
Kerja rumah dilakukan bila lapang sahaja. Isteri saya cukup masak dengan
tugas yang diamanahkan.


Apa harapan Ustaz terhadap PAS?
Saya berharap PAS terus maju dan tidak hanya berada dalam lingkaran
tertentu sahaja kerana dunia kini berada dalam era global.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: