Saturday, September 15, 2007

Orang Cina Tidak Boleh Baca Tulisan Cina

Taman Maluri, KL-6 Mei 2007: Dewan Pemuda PAS Titiwangsa telah mengadakan
program edaran risalah disekitar Pasar Malam Taman Maluri selepas solat
maghrib.

Dalam program ini, seramai 10 orang ahli pemuda telah hadir dan
dipecahkan kepada 2 kumpulan. Program yang diketuai oleh Ketua Pemuda
Titiwangsa, Sdr. Herman Samsudeen ini telah membawakan risalah Ren Min
Shi Shi dan Kempen Cegah Jenayah ketengah masyarakat Maluri, khusus untuk
memberikan informasi serta menampilkan imej prihatin PAS dalam misi
merakyatkan PAS di Parlimen Titiwangsa.

Program ini menerima sambutan yang agak sederhana dari para pengunjung,
khususnya dari kaum Cina. Kebanyakan mereka mengakui tidak boleh membaca
tulisan Cina, malah ada juga kalangan mereka yang tidak begitu fasih
berbahasa Cina. Kebanyakan pengunjung berbangsa Cina lebih senang
menggunakan Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi.

Senario ini jelas menunjukkan bahawa dasar tidak toleran Kerajaan
Malaysia melalui Kempen Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Subjek Sains dan
Matematik sedikit sebanyak menenggelamkan bahasa Ibunda mereka. Dahulu
kita risau jika Bahasa Melayu akan luput dari pemikiran umat Melayu.
Dalam masa yang sama tanpa kita sedari, desakan massa ini juga menghimpit
Bahasa Cina dan India yang selama ini gah dipertahankan melalui sistem
pendidikan Vernakular.

Polisi Kerajaan bagi menggalakkan pengembangan dan penggunaan Bahasa
Ibunda dalam pertuturan dan penulisan haruslah diwujudkan secara serius
dan tidak menganaktirikan sistem Vernakular dan Pendidikan Sekolah Melayu
melalui Sistem Pondok Moden. Revolusi pendidikan yang dibawakan oleh
Mahathir dan diteruskan oleh Pak Lah amatlah merugikan bangsa Melayu,
Cina dan India dinegara ini. Kemungkinan besar, suatu hari nanti akan
lahir generasi Melayu, Cina dan India yang hanya mampu menatap lembaran
sejarah dan tulisan sejarah bangsa mereka dikaca Muzium tanpa mengerti
apa-apa pun.

Walaupun risalah Bahasa Cina ini tidak boleh dibaca oleh segelintir Kaum
Cina, tetapi risalah Kempen Cegah Jenayah mendapat sambutan baik sebagai
alternatif pada program malam ini. Yang menarik sekali, sambutan agak
baik diterima khususnya dari para peniaga yang tanpa berselindung
memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada para petugas. Malah
mereka turut memberikan galakan agar program tersebut diadakan selalu.

Sokongan dan dorongan ini sekaligus telah melunturkan rasa letih para
petugas yang masih bersemangat untuk meneruskan aktiviti ini pada
minggu-minggu yang akan datang-AhmadHazieq

lawati :
http://dppwp.wordpress.com
http://syukran.wordpress.com

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: