Sunday, September 30, 2007

KeADILan desak Ketua Hakim Negara jawab isu rakaman klip video

KeADILan desak Ketua Hakim Negara jawab isu rakaman klip video
Sep 25, 07 | 4:55:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz
berhubung kononnya Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz menafikan
pembabitannya dalam perbualan bersama peguam dalam isu klip video yang
didedah Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Setelah mewakili Ahmad Fairuz dalam menafikan perkara itu hari ini Nazri
pula menjelaskan mengapa beliau memberi kenyataan dan katanya beliau
berhak memberi kenyataan berikutan portfolionya sebagai menteri yang
bertanggungjawab dalam hal perundangan.

"Mengapakah Dato' Seri Nazri Aziz begitu beria-ria bercakap bagi pihak
Ketua Hakim Negara tentang skandal video ini?" soal Naib Presiden
KeADILan, Sivarasa Rasiah dalam satu komennya terhadap isu itu hari ini.


Pertamanya, agak pelik dan luar biasa bagi seorang Ketua Hakim Negara
untuk meminta seorang Menteri mempertahankan integritinya, kata Sivarasa.


"Bilakah permintaan ini dibuat? Nazri Aziz tidak pula menjawab soalan
ini," katanya.


Keduanya kata beliau, isi responsnya itu tidak kurang peliknya, dan
sebenarnya sukar untuk dipercayai.


"Ini adalah kerana satu-satunya respons yang telah diberikan kepada
rakyat oleh Ketua Hakim Negara sendiri, tanpa bantuan sebarang Menteri,
hanyalah sekadar kenyataan 'Tiada komen' dalam tulisan semata-mata, iaitu
dua hari selepas pendedahan dibuat," katanya.


Baginya, adalah satu perkara yang tidak elok untuk seorang yang menjawat
jawatan di peringkat eksekutif, apatah lagi seorang Menteri di Jabatan
Perdana Menteri bercakap bagi pihak pegawai tertinggi iaitu badan
kehakiman, katanya.


Tindakan ini secara langsung mencabar kewibawaan prinsip pengasingan
kuasa yang menjadi salah satu tunjang demokrasi negara ini, katanya.


Respons luar biasa yang diberikan Nazri membawa satu persoalan sama ada
Tun Ahmad Fairuz tidak mampu mempertahankan integritinya sendiri,
katanya.


"Nazri juga sedang cuba mempersoalkan kebenaran video tersebut. Akan
tetapi, persoalan ini sudah tentu dapat dijawab dengan senangnya jika
disiasat oleh pasukan forensik yang berkebolehan," katanya.


Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah adakah Ketua Hakim Negara
bercakap dengan VK Lingam pada tahun 2002, (berdasarkan isi perbualan
itu, bahagian yang menyebut melantik Tan Sri Mokhtar Abdullah sebagai
Hakim Tinggi Malaya menunjukkan bahawa perbualan ini berlaku sebelum Tan
Sri Mokhtar Abdullah terjatuh dan mengalami koma pada bulan Ogos 2002),
katanya.


Menurut Sivarasa, soalan ini bukanlah terlalu sukar untuk dijawab dan
setelah pasukan penyiasat mendapat semua nombor telefon mereka pada masa
itu, rekod telefon mereka untuk tahun tersebut boleh diteliti untuk
memastikan sama ada mereka pernah berbual bersama, katanya.


"Mungkin Menteri kita ini bolehlah memberikan cadangan ini kepada pihak
penyiasat. Jika kita ingin menyelamatkan integriti bidang kehakiman kita,
salah satu daripada tiga tiang utama sistem pemerintahan kita, maka
persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab serta-merta," katanya. - mns


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: