September 6, 2007
www.yussamir.com
Artikel kali ini lebih menjurus kepada kehangatan hadis malaikat Jibril
yang sekarang sedang disebar-luas dalam pelbagai medium.Dan kehangatan
ini terus membara dengan 'kerajinan' menFowardkan' hadis berkenaan, saya
dengan rendah diri merayu dan mengharapkan kepada semua agar tidak lagi
untuk mengforwardkan hadis berkenaan. Ini semua disebabkan hadis ini
tidak dapat dipastikan lagi sumber periwayatannya, oleh itu perkara yang
utama dalam berhadapan dengan perkara sebegini adalah berdiam diri dari
membincangkannya dan menyebarkannya. Ini bertepatan dengan satu
peringatan dari Nabi iaitu:
"Takutlah(hati-hatilah) kamu didalam menyampaikan hadis daripada saya,
kecuali apa-apa (hadis) yang engkau semua telah ketahuinya" (A)
Di bawah ini saya bawakan kembali hadis (tidak diketahui asal usulnya)
berkenaan yang sedang hangat disebar luas melalui pelbagai medium,
terutama di Universiti dengan menggunakan Yahoo Messenger (YM) :
Doa Malaikat Jibril Menjelang Ramadhan "Ya Allah tolong abaikan puasa umat
Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan
hal-hal yang berikut:
1.. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika
masih ada);
2.. Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;
3.. Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya." Maka
Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. (B)
Saya bersama dengan beberapa sahabat cuba mencari sumber hadis tersebut
dengan menggunakan beberapa buah kitab hadis dan juga Maktabah Syamilah
(CD Rom yang memuatkan beratus kitab bahasa Arab termasuk kitab-kitab
hadis). Tapi malangnya kami tidak berjumpa dengan sumbernya.
Akhirnya saya telah mengadukan hal di atas kepada sahabat saya yang
sememangnya bergelumang dengan hadis dan bertanyakan hal ini kepada
beliau adakah beliau tahu mengenai hadis di atas. Dan beliau secara
peribadi mengatakan beliau tidak pernah mengetahui adanya hadis di atas
(beliau adalah seorang pelajar Timur Tengah yang mengambil bidang
hadis). Namun menurut beliau hadis yang di dalamnya terdapat Rasullulah
mengaAminkan doa Malaikat adalah seperti dibawah ini:
Maksud hadis:
Dari Ka'ab Bin `Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam)
bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun
berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin.
Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika
menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau
turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar
sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya
sebelum ini. Lalu baginda menjawab:
"Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya:
Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga
diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak
tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut
namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu.
Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang
ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang
sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan
dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. (C)
Oleh itu saya berharap semua orang dapat menghentikan menyebarkan hadis di
atas yang tidak tahu asal-usulnya, dan dapat menggunakan hadis satu lagi
yang sudah terang akan kesahihannya itu. Dan saya juga sarankan para
pembaca untuk membaca ulasan tambahan dari salah seorang sahabat saya
yang turut bersama-sama mencari sumber hadis berkenaan iaitu di
http://demipena.blogspot.com
*Terima kasih kepada sahabat saya yang telah bersusah payah mencari hadis
ini, untuk memastikan penggunaan Hadis yang satu lagi itu tidak
disebarluas. Moga ada manfaat untuk kita bersama. Dan kepada sesiapa yang
tidak dapat membaca font Arabic matan hadis sahih tersebut, feel free
untuk minta pada saya. Sekian.
(A) Riwayat Imam Tarmidzi dan Abu Syaibah di dalam kitab Mubahas fi ulumul
hadis oleh Manna' Khalil Al-Qathan.
(B) Hadis ini tidak dapat dipastikan asal-usulnya oleh itu lebih baik kita
berdiam diri dan tidak menyebar luaskannya.
(C) Hadis riwayat Al-Hakim dan sanadnya sahih.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment