4 Mei 2007
ABIM Persoal Motif Pembinaan Patung Mazu
Tertinggi di Dunia di Kudat
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah mempersoalkan motif
sebenar pembinaan âœThe Goddess of the Seaâ yang dicadangkan dibina di
Kudat. Apakah motifnya benar-benar untuk menarik pelancong atau sebaliknya
perancangan jangka panjang untuk mengubah landskap fizikal Negara, sama
seperti percubaan yang dibuat di Johor, atas nama spiritual tourism dan
Truly Asia, dengan berselindung di sebalik keuntungan ekonomi,
bermodalkan âœpolitik gertakâ menjelang pilihanraya umum, dan kononnya
selaras dengan prinsip Islam Hadhari.
Sebagai sebuah negara yang dalam perlembagaannya meletakkan Islam
sebagai agama rasmi, adalah penting sekali prinsip ini dipertahankan dan
dijelmakan dalam realiti kehidupan bermasyarakat di negara ini. Oleh yang
demikian, bagi ABIM, pembinaan patung Chinese Goddess di kawasan terbuka
di Kudat adalah satu perkara yang bertentangan dengan prinsip
perlembagaan di atas. Lebih-lebih yang bakal dibina merupakan patung
Chinese Goddess yang tertinggi di dunia.
ABIM tidak dapat menerima hujah yang mengatakan bahawa ia bakal
menjadi sumber tarikan pelancong di Malaysia, khususnya di Kudat, Sabah
kerana banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk menarik pelancong
ke negeri ini, dan bukannya perkara yang bakal mengundang sensitiviti
terutama daripada kalangan masyarakat Islam yang merupakan kelompok
terbesar di Malaysia. Yang perlu ditingkatkan ialah usaha-usaha
mempromosi keindahan alam sekitar negeri Sabah khususnya dan Negara amnya
sebagai khazanah alam yang sangat bernilai, yang diiktiraf sebagai salah
satu âœmega-biodiversity hotspotâ dunia. Malaysia sebagai âœTruly
Asiaâ perlu dipaparkan melalui realiti masyarakatnya yang majmuk tetapi
boleh hidup muhibbah dan harmoni, memiliki kepelbagaian budaya, kerana
aspek-aspek inilah yang lebih menarik dan wajar untuk dilihat dan
dipelajari oleh pelancong luar, bukannya aspek luaran-fizikal. Projek ini
juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan Petronas Twin Tower
yang merupakan projek nasional serta tidak membawa implikasi keagamaan
sebagaimana yang terdapat pada pembinaan patung ini.
Berikutan daripada itu, hujah bahawa ia boleh membawa
keuntungan ekonomi juga tidak dapat diterima kerana faktor ekonomi
haruslah disesuaikan dengan kepentingan setempat sesebuah negara. Ekonomi
bukan segala-galanya terutama dalam sebuah negara yang mempunyai komposisi
penduduk yang unik seperti Malaysia. Yang lebih harus diberi keutamaan
ialah kesatuan masyarakat dan persefahaman antara kaum dan agama.
Perkara-perkara yang bakal mengundang ketidakpuasan hati kaum lain
semestinya dielakkan dan diberhentikan serta merta.
ABIM juga tidak dapat menerima sokongan DAP mengenai perkara ini
kerana ini jelas menggambarkan tidak konsistennya pendekatan DAP yang
selama ini mewarwarkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular yang
menolak unsur-unsur keagamaan dibawa kepada ruang awam (public domain).
ABIM juga berpandangan bahawa tindakan membina patung ini sama
sekali tidak selari dengan prinsip Islam Hadhari, kerana walaupun Islam
Hadhari menjunjung kebebasan beragama dalam kalangan masyarakat di
Malaysia, namun ini tidak bermakna setiap agama boleh melakukan apa
sahaja terutama yang bersifat berlebihan seperti yang tergambar dalam
projek pembinaan ini. Kes pembinaan tiga patung Buddha di Kelantan juga
tidak terpakai di Kudat kerana di Kelantan ia dibina di kawasan majoriti
masyarakat Siam serta tidak mengundang bantahan penganut agama lain.
Pembinaan patung keagamaan harus bertujuan untuk hal ehwal peribadatan,
bukan untuk pelancongan kerana tuhan bukan untuk dijaja tetapi untuk
disembah.
ABIM juga berasa hairan mengapa sebuah patung yang tertinggi di
dunia harus dibina di Malaysia sedangkan masyarakat Cina di Malaysia
bukanlah merupakan masyarakat terbanyak di negara ini, apatah lagi di
Kudat? Masyarakat Islam khususnya Bumiputera rumpun Melayu yang walaupun
merupakan penduduk majoriti dan teras di negara ini, tidak pernah
bercita-cita untuk membina masjid terbesar di dunia. Jangan disebabkan
kita ghairah dengan slogan âœMalaysia Bolehâ maka tindakan kita
kadangkala mengenepikan realiti dan sensitiviti masyarakat setempat!
ABIM berpendapat bahawa kedudukan Kudat sebagai âœTip of
Borneoâ di samping kedudukan topografi yang indah, dan sebagai
sempadan wilayah kenegaraan terpenting dalam sejarah Kesultanan Berunai,
wajar sekali dibangunkan sebagai tapak warisan untuk manfaat
pembelajaran, penyelidikan dan mercu tanda Malaysia secara keseluruhan di
peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa semua pemimpin politik,
pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, dewan-dewan perniagaan, dan persatuan
suku kaum agar bertindak bijaksana dengan tidak membangkitkan isu-isu
sensitif yang boleh menimbulkan kegelisahan dan keresahan antara penganut
agama dan suku kaum. Sikap bertanggungjawab ini amat diperlukan jika kita
benar-benar ingin memelihara kestabilan dan keharmonian ke arah perpaduan
bagi memastikan program-program pembangunan Negara dapat diteruskan.
Negeri Sabah, yang merdeka menerusi Malaysia sejak 44 tahun lalu masih
muda dan amat memerlukan sebuah kesatuan yang utuh. ABIM meminta agar
kestabilan dan keharmonian ini dipertahankan dengan bersungguh-sungguh.
Jika perkara-perkara pokok yang terkandung dalam perlembagaan Negara
tidak difahami dan tidak dihormati atas nama kebebasan dan hak asasi,
ABIM bimbang kesannya kelak akan meranapkan pencapaian-pencapaian yang
dikecapi sekarang.
Dalam konteks ini, ABIM Sabah menyokong penuh keprihatinan Ketua
Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang menyatakan bahawa sebarang
keputusan berhubung isu patung Mazu ini dibuat demi kepentingan semua
masyarakat dan juga untuk mengekalkan keharmonian sedia wujud dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum di Kudat.
MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABIM Sabah
4 Mei 2007
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment