Saturday, September 15, 2007

Membiarkan saja Anwar, BA disembelih media!

Ahmad Lutfi Othman
Thu | May 03, 07 | 04:50:35 PM

Hakikatnya, tidak ramai berminat mengikuti perdebatan tentang isu
kebebasan media. Ramai sudah bosan mendengarnya. Dalam dunia praktis di
Malaysia, pemerintah Umno-BN yang rakus itu terus mahu menguasai
semutlaknya media perdana, sekali gus mengongkong akhbar alternatif,
termasuk lidah pembangkang seperti Harakah.

Tadi, selepas makan malam di Restoran Haslam, saya menjenguk kedai
majalah di sebelahnya. Taukehnya, seorang India Muslim, pernah
mengusahakan sebuah gerai akhbar di kampung saya, Tunjang, Kedah.


Melihat Harakah ada dijual, saya bertanya: "Banyak lagi Harakah? Tak
laku?" Dia menjawab pantas: "Susah jual Harakah, kelmarin tiga orang
polis ugut saya, kalau jual Harakah lagi, kami saman. Jadi saya kena
letak Harakah di bawah."


Dalam kempen pilihan raya Ijok misalnya, terserlah kerakusan tidak
bersempadan itu. Tarian ringkas Anwar Ibrahim ketika disambut dalam satu
majlis ceramah di kawasan pengundi India diulang tayang berkali-kali,
semata-mata mahu memberi imej buruk buat bekas Timbalan Perdana Menteri
itu.


Soalnya, seperti kata Anwar, apa kesalahan dan dosa yang dilakukannya,
hanya kerana mahu menghormati tradisi kaum India. "Apakah saya bunuh
orang, kacau anak isteri orang, atau terbabit dalam skandal seks seperti
yang berlaku kepada sesetengah pemimpin Umno? Atau, apakah saya peluk
pelakon wanita terkenal?" tanya Anwar dalam satu pertemuan di pejabatnya,
baru-baru ini.


Yang peliknya, kata Anwar, orang seperti Menteri Penerangan, Zainudin
Maidin, yang diketaui umum sikapnya terhadap agama, boleh mengeksploitasi
hal itu melalui RTM. Khabarnya stesen tv lain pun turut terikut-ikut
dengan taktik kotor itu selepas menerima arahan Zam.


Begitu juga dengan kes calon KeADILan, Abdul Khalid Ibrahim yang tersasul
ketika menutup satu ceramahnya semasa berkempen, beberapa hari sebelum
mengundi. Masakan orang yang bertungkus-lumus berkempen, siang malam,
menghabiskan duit dan tenaga, tiba-tiba meminta pengundi menyokong
lawannya.


Soalnya, beretikakah stesen tv seperti TV3 mengulang-tayang insiden
tidak disengajakan itu semata-mata mahu membantu kempen BN secara tidak
bermoral? (Tapi, mungkin ramai bertanya balik, bila pula TV3 memegang
prinsip moral dalam operasinya? Bukankah selama ini, setiap kali musim
pilihan raya, bilik operasinya bertukar menjadi bilik gerakan kempen BN?)


Keprihatinan saya dalam hal ini ialah bagaimana media, khususnya
televisyen dan akhbar harian, diperalat semahunya demi kepentingan
politik pemerintah, dan segalanya seperti berlalu begitu saja. Bagi
sebahagian besar kita, fenomena itu sudah terlalu biasa dan diterima
sebagai kelaziman. Malah ada yang menempelak: "Masa Anwar TPM dulu pun,
semua media terkongkong di bawah dagunya!"


Justeru, usaha membebaskan media menjadi usaha terpisah dan tidak
diperhatikan sangat. Ketika saya kecoh dan heboh mengangkat "keranda
Detik", ada kawan-kawan menyindir bahawa saya menjadi begitu bersemangat
hanya kerana Detik yang diharamkan KDN itu membabitkan perniagaan saya.
Terkedu juga saya mendengarnya.


Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang agak ramai di Dewan Rakyat ketika itu
juga seperti tidak berminat menimbulkan hal ini. Bagaimanapun, Ketua
Pembangkang, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah membincangkan isu
pengharaman Detik dan Wasilah, sebelum beliau sendiri mengungkitkan
perkara itu dalam ucapannya di Parlimen.


Saya lebih suka mahu tumpuan difokuskan kepada sikap dan keprihatinan
pembangkang sendiri, daripada pemimpin atasan sehingga penyokong akar
umbinya. Cukupkah sekadar meluahkan rasa jengkel dan protes terhadap
kebiadaban media milik BN itu? Dan apa yang kita dapat selepas
pembangkang melancarkan boikot dan pernah akhbar-akhbar harian utama itu
dibakar?


Pilihan raya sudah dekat, malah dekat sangat. Tidak lama dulu saya pernah
memberikan tempoh 200 hari, dengan ingatan kita sudah terlewat untuk
membuat persiapan. Saya tak pasti apakah tempoh itu sudah melurut
sehingga mungkin berbaki 100 hari lagi.


Peranan berkesan Anwar di Ijok tentu membuatkan pilihan raya umum ke-12
nanti diadakan sebelum edah Anwar sebagai "bekas banduan" berakhir, yakni
menjelang April 2008. Agak ramai menelah Parlimen mungkin dibubarkan
selepas Bajet 2008 dibentangkan, sekitar Oktober dan November.


Maknanya tarikh itu dekat sangat dah. Peluang membentuk kerajaan baru,
atau lebih tepat jumlah kerusi Parlimen yang akan dikuasai, dan
negeri-negeri tertentu yang dapat ditawan, banyak ditentukan oleh
persiapan yang dilakukan pembangkang hari ini. Bagaimana dengan bekalan
kewangan, tenaga kerja, strategi kempen, pembentukan manifesto,
persefahaman pembangkang, keutamaan isu, dan pendekatan untuk membuatkan
rakyat tertarik dengan tawaran pembangkang nanti?


Kita terbukti arif untuk menyalahkan media, tetapi sejauh mana media
sedia ada, termasuk yang berpotensi untuk diusahakan, dimanfaatkan
sebaiknya. Memang benar Harakah kini tinggal 15 hari sekali dengan
edarannya hanya tinggal separuh daripada era September 1998 - Fabruari
2000, tapi apakah dengan itu segalanya sudah berakhir, dan kita hanya
bijak memprotes dan meluahkan amarah?


Dahulu puluhan laman web pro-reformasi yang mendedahkan seribu satu
keburukan pemerintah, khususnya PM Dr Mahathir Mohamad dilayari.
Kandungan tulisannya juga bernas, walaupun banyak juga yang berselirat
antara benar dan palsu, fakta dan khayalan. Ia difotokopi dan beredar ke
seluruh pelosok negara. Semua penjuru, kota mahupun desa, diasak
bahan-bahan internet ini. Impaknya, orang ramai begitughairah untuk
mendapatkan apa saja isu terkini jika sumbernya internet!


Media alternatif selain Harakah yang ketika itu terbit dua kali seminggu,
seperti Detik dan makalah politik tidak berkala, mendapat sambutan luar
biasa. Tamadun keluaran Oktober 1998 misalnya pernah diulang cetak
sehingga 150,000 naskhah, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam
penerbitan majalah.


Ramai yang tidak akan lupa fenomena 1998-99 itu. Ya, amat sukar dan
mungkin mustahil untuk mengulangi episod itu dalam usia kita. Segalanya
sudah berlalu. Sekarang, kita mesti memulakan semula, dengan keringat dan
air mata aktivis sendiri. Massa kini lebih suka memerhati daripada turut
menyinsing lengan.


Semasa era reformasi, ramai individu bekerja keras untuk membantu
pembangkang, dan di antara mereka ada yang sehingga kini langsung tidak
dikenali. Begitu juga dengan web master, mereka bekerja siang malam tanpa
mengharapkan upah walaupun risikonya cukup berat. Penerbit makalah politik
juga begitu, mungkin sambutan pembeli membuatkan mereka menarik nafas
lega.


Suasana yang berubah hari tidak harus menyebabkan pemimpin pembangkang
masih mahu mengharapkan sokongan semulajadi itu. Mereka harus mendorong
dan menggerakkan kembali suasana 1998-99 itu, sudah pasti memerlukan
dokongan tenaga dan dana. Yang bulat tidak lagi datang menggolek.


Justeru, cabaran hari Kebebasan Akhbar Sedunia buat pembangkang ialah
bagaimana untuk mewujudkan satu permainan sama rata, dengan inisiatif
sendiri, bukan lagi merintih dan mengeluh, apatah lagi apabila keluhan
dan rintihan itu tidak pernah bertukar menjadi satu laungan yang
membingitkan telinga penguasa.


Usah harapkan kemunculan bloggers sebagai fenomena baru yang dapat
mengulangi fungsi dan pengaruh laman web dulu. Usahakan sendiri media
berpengaruh, terutama bahan bercetak, dengan menekankan soal kualiti dan
sikap tanpa kompromi dari segi profesionalisme. Fikirkan juga bagaimana
mahu merakyatkan segala bahan dalam internet supaya proses pendemokrasian
maklumat dan idea dapat diserapkan ke akar umbi.


Idea ini pernah saya lontarkan kepada teman-teman rapat. Sepantas kilat
salah seorang daripadanya memintas: "Jangan cakap banyak Lutfi, kau
sendiri patut memulakan usaha besar ini. Segalanya ada di tangan,
gerakkan sebelum terhormat. Tingkatkan harakahdaily, kemaskan mutu
beritanya, cari penganalisis hebat, buat laporan khas, dan jangan lupa
sisipkan wawancara eksklusif."


Ooops, aku pula yang terkena kali ini.


POSTING AWAL


Apa yang mahu dirayakan pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia?
Hari ini 3 Mei, diiktiraf sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Namun
begitu, bukan saja majoriti rakyat mungkin tidak mengetahuinya, malah
pengamal media sendiri tidak menghiraukan, apatah lagi merayakannya.
Maaf, saya juga hampir kehilangan stamina untuk berbicara tentang topik
ini, yang bagi kebanyakan teman-teman media, sudah dianggap basi!


Lagipun, apa yang mahu dirayakan pada hari ini? Kualiti kebebasan media
di negara ini terus merosot. Peralihan kuasa daripada Dr Mahathir
Mohamad, yang pernah dianggap seteru utama akhbar, kepada Abdullah Ahmad
Badawi langsung tidak memberi nafas lega buat penguasaha media
alternatif.


Harakah, misalnya, terus ditimpa keperitan. Selepas kekerapannya
dipancung, daripada seminggu dua kali kepada 15 hari sekali, kandungannya
pula dicemburui. Pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mahu
mengasak Harakah sekadar menjadi surat berita. Apa pun, tafsiran tentang
maksud newsletter itu juga akan menimbulkan polemik baru.


Saya kira, khususnya pengamal media alternatif, perlu menggembleng tenaga
dan buah fikiran, termasuk bloggers dan pengendali laman web, memacu usaha
lebih sistematik dan bersungguh-sungguh, bagi menggerakkan kembali proses
memaknakan hari kebebasan akhbar ini.


Memang ia memenatkan, juga mengundang risiko, namun menyerah kalah hanya
akan memberikan "kemenangan percuma" buat musuh-musuh kebebasan akhbar
yang mungkin kini bersalin kulit dan pendekatan.


Saya tidak mahu mengulas panjang hal-hal yang telah saya timbulkan sejak
awal tahun 2000 lagi. Untuk menghormati hari bersejarah ini, 3 Mei,
diterbitkan semula beberapa artikel yang saya dan kawan-kawan dalam
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), khususnya Fathi Aris Omar,
pernah usahakan, ketika kami merayakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada
malam 3 Mei 2001, di sebuah hotel, di Kuala Lumpur.


Banyak fakta kes tentang pencabulan terhadap kebebasan akhbar di
Malaysia, bermula Mei 2001 hingga Mei 2007, boleh dimasukkan kemudian!


I. Tiada siapa rugi jika media bebas
KEBEBASAN akhbar tidak sepatutnya menakutkan mana-mana pihak, termasuk
pemimpin parti pemerintah, malah ia dapat membantu kerajaan yang
demokratik, adil dan pro-rakyat.


Kebebasan akhbar adalah hak kita semua untuk menikmatinya. Benar sekali
kata bistari, kebebasan akhbar mungkin disalahgunakan dan boleh membawa
keburukan, tetapi tanpa kebebasan akhbar, natijahnya hanyalah keburukan
semata-mata.


Namun, bagi pemerintah yang takut-takutkan bayang-bayang sendiri,
kebebasan akhbar adalah igauan ngeri. Segala saluran maklumat dimonopoli
dan dibelenggu. Khalayak diperbodohkan dengan bahan berita dan sudut
pandangan yang ditapis oleh kacamata pemimpin pemerintah.


Maklumat yang benar dan analisis yang berwibawa sukar diperolehi.
Akhirnya, khabar angin lebih dipercayai berbanding khabar rasmi media
arus perdana.


Dengan perkembangan teknologi maklumat yang pesat dan perubahan drastik
lanskap politik tanahair, isu-isu kebebasan bersuara yang selama ini
terpinggir, mula dibahaskan secara terbuka dan menarik minat ramai.
Tuntutan agar segala akta kolot, usang dan ketinggalan zaman dimansuhkan
-- misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan Akta Keselamatan Dalam
Negeri -- semakin lantang disuarakan.


Alhamdulillah, mutakhir ini, keresahan dan kegelisahan pengamal media
arus perdana tidak dapat dibendung lagi. Selain memorendum yang dihantar
oleh lebih 1,000 orang wartawan kepada Timbalan Perdana Menteri, para
editor kanan juga membangkitkan soal sekatan ini dalam satu pertemuan
dengan seorang menteri ekoran tragedi di Kampung Medan.


Justeru, sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2001 selayaknya diraikan
bersama oleh seluruh pengamal media, tidak kira dari media arus perdana
ataupun media alternatif. Kita sebenarnya mempunyai cita-cita luhur yang
sama, manakala perbezaan pandangan dalam beberapa isu lain tidak
seharusnya mengasingkan kita dari menuntut dan memperjuangkan agar
kebebasan media dikembalikan seberapa segera yang boleh.


Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan Harakah cuba merintis jalan
membina persefahaman lebih kental di kalangan seluruh warga media,
sekurang-kurangnya bagi mencetuskan iklim lebih selesa buat kita menulis
dan berkarya. Diharapkan selepas ini, idea dan tuntutan kebebasan media
akan dibincangkan oleh khalayak yang lebih besar.


II. Usaha sistematik menindas media
SEMUA akhbar dan stesen penyiaran arus perdana di Malaysia dipunyai atau
dikawal pemerintah, BN. Sementara itu penerbitan dan pengedaran
akhbar-akhbar bebas dihalang dan diharamkan, khususnya selepas pilihan
raya 1999.


Wartawan yang terus menerbitkan tanpa mengikut syarat permit menurut
Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang dikuatkuasakan Kementerian
Dalam Negeri (KDN) diugut, diserbu, dirampas dan didakwa di mahkamah.


Dua syarikat penerbitan, satu di Jalan Pahang, Kuala Lumpur dan satu
lagi di Gombak, Selangor diserbu dua kali sepanjang tahun 2000.
Difahamkan ramai pencetak yang berani telah diugut polis, dan kerana
takut permit dibatalkan, mereka tidak lagi bersedia untuk mencetak
bahan-bahan yang tidak selari dengan pemerintah. Pegawai-pegawai KDN juga
merampas bahan-bahan terbitan. Seorang kakitangan syarikat Penerbitan
Pemuda didakwa di mahkamah pada November 2000.


Sementara dua syarikat percetakan di Selangor, satu di Shah Alam dan
satu lagi di Sungai Buloh, juga diserbu KDN. Selain itu, operasi merampas
dan menangkap pengedar-pengedar penerbitan bebas dijalankan -- beberapa
kali di Wisma Yakin, Kampung Baru di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Shah
Alam (Selangor) dan beberapa negeri lain.


Dalam rampasan ini, kaset, video cakera padat (VCD), majalah dan tabloid
dirampas. Pengedar juga ditahan di balai-balai polis untuk tempoh beberapa
jam hingga hampir 24 jam.


Kerajaan Selangor juga mengeluarkan pekeliling mengharamkan sebarang
penerbitan pembangkang dan "anti-kerajaan" diedar dan dijual di bangunan
miliknya, termasuk yang di bawah PKNS. Akibat tekanan yang berterusan
tidak semua pengedar sanggup meneruskan jualan dan hasil pengedaran
sedikit sebanyak menurun.


Mac 2000, akibat ketewasan mengejut Umno dan kehilangan pengaruh yang
besar di kawasan-kawasan pengundi Melayu, kerajaan mengurangkan
penerbitan akhbar pembangkang berpengaruh Harakah kepada dua kali
sebulan, daripada lapan kali sebelumnya.


Januari tahun yang sama, kerajaan mengheret editor Harakah, Zulkifli
Sulong, dan syarikat percetakannya ke mahkamah berasaskan sebuah rencana
yang diterbitkan pada 1999. Syarikat percetakan itu mengaku bersalah dan
dikenakan denda.


Zulkifli, jika sabit kesalahan di bawah Akta Hasutan, boleh dipenjara
selama tiga tahun. "Kerajaan cuba menutup mulut kami," katanya.


Tahun 2000, majalah-majalah Detik (bermula Disember, 1999) serta
Al-Wasilah (Ogos 2000) dan tabloid mingguan Eksklusif (April 2000)
dibatalkan permit penerbitannya oleh KDN tanpa sebab yang kukuh dan
meyakinkan. Malah, permit Detik sebenarnya telahpun diperbaharui KDN dan
bayaran RM500 telah dijelaskan, tetapi ia ditarik balik atas arahan Pak
Lah.


Februari 2001, sebuah majalah politik bulanan, Gosip, tidak diperbaharui
permitnya dan hingga kini terus tergantung. Menjadi kelaziman KDN, mungkin
untuk membendung protes terbuka, dengan melambat-lambatkan proses
pengharaman sesuatu permit penerbitan.


Di kalangan wartawan yang bertugas dengan organisasi media arus perdana
– yang dikawal ketat syarikat kroni dan KDN -- mereka mengamalkan
penapisan sendiri sebagai budaya semula jadi akibat tekanan kerajaan dan
ketua-ketua pengarang mereka.


Wartawan di negara mendapat bayaran terbaik di rantau Asia Tenggara,
tetapi kebebasan sangat terhad atau tidak ada sama sekali. Pendek kata
wartawan arus perdana berjaya dijinakkan. Seorang dua yang tidak sabar
akan meninggalkan kerjaya itu atau mencari pekerjaan dengan
syarikat-syarikat media luar negara.


Selain syarikat media, pertubuhan rasmi wartawan untuk wartawan --
misalnya NUJ, Persatuan Wartawan Melayu dan Persatuan Wartawan Wanita
Malaysia (Pertama) -- semuanya dikawal oleh golongan yang bertugas dengan
media arus perdana. Kawalan yang ketat ini diteruskan dalam
organisasi-organisasi ini -- tugas utama menjaga kebajikan, gaji dan
sosial wartawan.


Sebagai contoh NUJ, dan begitu juga beberapa organisasi wartawan tadi,
berdiam diri apabila kerajaan menutup tiga penerbitan Melayu berpengaruh
itu. Bagaimanapun, sekumpulan wartawan arus perdana yang digerakkan
wartawan kanan di The Star dan New Straits Times (dengan sokongan hampir
1,000 rakan mereka) menghantar memorandum agar KDN menghapuskan Akta
Penerbitan dan Mesin Cetak. Usaha ini diteruskan sejak 1999 lagi.


Kumpulan ini juga menemui Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan
Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, pada April 2000 dan sempat
membincangkan beberapa idea progresif, misalnya penubuhan 'Majlis Akhbar'
yang bebas dan dikawal selia oleh wartawan sepenuhnya.


Selepas menghadapi tekanan yang semakin serius, sekumpulan wartawan
Melayu akhirnya bergabung dan menghantar memorandum tujuh perkara kepada
Suhakam pada awal Oktober.


Gabungan longgar beberapa aktivis dan wartawan media bebas itu
menggelarkan diri mereka 'Kumpulan Aktivis Media Independen' (KAMI).
Kumpulan ini akhirnya bergerak lebih cergas untuk menahan arus tekanan
yang semakin kuat dan membangkitkan kesedaran pelbagai pihak bahaya
tekanan kerajaan ini.


Ekoran itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad sendiri sudah tahun
berturut-turut sejak 1999 diisytiharkan seorang dari 10 pemimpin negara
yang dianggap "musuh utama akhbar" di peringkat antarabangsa.


Senarai 10 nama ini diterbitkan beberapa organisasi di peringkat
antarabangsa, seperti Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang beribu
pejabat di New York (Amerika Syarikat)dan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF)
yang berpangkalan di Paris (Perancis), pada 3 Mei setiap tahun, sebagai
bantahan masyarakat antarabangsa terhadap pemimpin politik dan kerajaan
yang menindas kebebasan akhbar.


Sejak Februari dan Mac, kerajaan secara rasmi melarang wartawan sebuah
akhbar web harian, Malaysiakini.com, daripada menghadiri acara-acara
rasmi dan sidang akhbar kerajaan. Media-media arus perdana juga
menyiarkan kecaman-keceman menteri dan pegawai kerajaan terhadap akhbar
ini.


Malah Perdana Menteri sendiri menganggap akhbar web ini sebagai
"pengkhianat negara" dan "sesiapa yang sayangkan negara ini tidak harus
menyokongnya (akhbar web tersebut)" dalam isu kontroversi apabila
Malaysiakini.com cuba dikaitkan kononnya menerima sumbangan George Soros.


Walaupun sering mengecam secara umum media-media luar negara, kerajaan
sebelum ini belum mengambil sebarang tindakan. Pada akhir Februari dan
berlanjutan sehingga Mac 2001, kerajaan melambat-lambatkan pengedaran dua
majalah mingguan terkenal, Asiaweek dan Far Eastern Economic Review (FEER)
sehingga sampai tiga minggu. Kerajaan juga menubuhkan jawatankuasa bersama
antara Kementerian Luar dengan Kementerian Penerangan kononnya untuk
memantau laporan-laporan negatif media asing.


Awal Mac 2001, polis merampas komputer pengendali laman web 'Kempen
Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin untuk siasatan berhubung
kes hasutan dan pada 11 April 2001, beliau ditahan di bawah ISA bersama
sembilan lain. Turut ditahan ISA, penulis kolum Malaysiakini.com,
Hishamuddin Rais.


Pertengahan April pula, kerajaan mengeluarkan kenyataan untuk
mengetatkan undang-undang berhubung media, khususnya undang-undang
internet dan akta penerbitan (PPPA).


Walaupun belum ada langkah konkrit diambil setakat ini, tetapi kenyataan
yang semakin serius untuk memantau penerbitan dan pengedaran media bebas,
selain kejayaan media ini mendedahkan isu-isu penting negara, usaha
kerajaan ke arah mengawal internet dan media cetak (terbitan syarikat
persendirian) dijangkakan akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan tahun ini
juga.


II. Nyatakan sokongan terbuka untuk kebebasan akhbar 3 Mei
PADA 3 Mei, seluruh dunia akan menyambut 'Hari Kebebasan Akhbar'. Hari
ini telah diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) mulai 1993 tetapi sambutannya di peringkat antarabangsa telah
dimulakan sejak 1991.


Menurut PBB, 3 Mei adalah hari untuk:


1. menggalakkan dan membina usaha bagi menyokong kebebasan akhbar


2. menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia


3. mengingatkan kerajaan masing-masing agar menunjukkan iltizam untuk
menghormati kebebasan akhbar


4. menyedarkan orang ramai betapa pentingnya akhbar itu bebas


5. mengingatkan petugas-petugas media dan menggalakkan debat di kalangan
mereka betapa pentingnya kebebasan akhbar dan etika kewartawanan


6. mengenang jasa wartawan yang terkorban di seluruh dunia


7. menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi
mangsa tindakan-tindakan menghalang, atau usaha menghapuskan, kebebasan
akhbar.

Memandangkan pencabulan dan kawalan semakin meningkat terhadap media
bebas (cetak), penerbit dan pengedarnya, media web (Internet), media luar
negara dan juga media pembangkang di negara ini, KAMI menggesa supaya
sambutan 'Hari Kebebasan Akhbar' pada 3 Mei 2001 (Khamis)diadakan secara
besar-besaran.


Sambutan ini – sejajar dengan matlamat yang telah digariskan oleh PBB
dan juga perjuangan organisasi-organisasi wartawan peringkat antarabangsa
seperti UNESCO (sebuah agensi PBB), WAN (Persatuan Akhbar Sedunia) dan
IFEX (Rangkaian Kebebasan Bersuara Antarabangsa) – adalah untuk:


(a) mengingatkan kerajaan Malaysia agar menunjukkan iltizam untuk
menghormati kebebasan akhbar, dan


(b) menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi
mangsa tindakan-tindakan kerajaan Malaysia untuk menghalang, atau
menghapuskan, kebebasan akhbar.


Keputusan untuk menegaskan kepentingan perjuangan kebebasan media telah
dicapai di kalangan aktivis media bebas KAMI dengan kumpulan-kumpulan
penerbitan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada
pertengahan bulan ini.


Oleh itu, KAMI menggesa semua syarikat penerbitan bebas di negara ini,
penulis-penulis sambilan, laman-laman web reformasi dan biro-biro
penerangan (serta penerbitan) parti-parti politik agar menyiarkan berita,
rencana, wawancara, surat, pandangan dan kenyataan ke arah memupuk dan
mempertahankan kebebasan akhbar di negara ini mulai hari ini hingga 3
Mei, 2001.


KAMI juga menggesa parti-parti politik Barisan Alternatif dan
anggota-anggota Dewan Rakyat BA membawa isu ini dalam ceramah-ceramah
mereka di seluruh negara dan juga dalam sidang dewan yang sedang
berlangsung sekarang.


Sebagai sekumpulan wartawan bebas, KAMI sedar parti-parti pembangkang
dan NGO negara ini telah dinafikan hak untuk bersuara dan mendapat
liputan media yang adil dan saksama daripada Radio Televisyen Malaysia
(RTM) dan akhbar-akhbar arus perdana.


Oleh itu, kepada segenap lapisan rakyat sebagai pengguna maklumat, KAMI
menggesa rakyat agar bersatu tenaga bagi menyekat tindakan-tindakan
anti-demokrasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


----- Tulisan-tulisan ini dipetik daripada
http://www.detikdaily.net/detik2002/

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: