Feb 21, 07 | 04:12:18 AM
Satu lagi teknik yang digunakan oleh CIA di Guantanamo Bay (Teluk
Guantanamao) dan digunakan oleh SB semasa soal-siasat ISA adalah teknik
'we know all'.Bahkan inilah teknik yang paling sering digunakan oleh
Pegawai Penyiasat (IO) dalam bilik soal-siasat.
SB serba tahu
Hampir semua SB telah 'dibrainwash' oleh 'boss-boss' mereka untuk percaya
bahawa mereka tahu segala-galanya di negara ini. Bahkan mereka dijadikan
untuk betul-betul beriman bahawa mereka adalah pihak yang menentukan
semua perkara di Malaysia. Paling malang terdapat ramai di kalangan
orang awam termasuk aktivis juga berfikir bahawa SB mengetahui
segala-galanya.
Itulah sebabnya jika anda bertemu dengan setinggi-tinggi SB dan
serendah-rendah SB, sama ada dalam keadaan biasa apatah lagi dalam
bilik soal-siasat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mereka akan
mengatakan perkara yang sama, iaitu mereka tahu dan merekalah yang
menentukan segala-galanya di negara ini.
Dengan itu, tidak hairan jika anda bertemu dengan boss nombor wahid SB
yang mengatakan bahawa SB tahu dan menentukan segala-galanya di
Malaysia. Demikian juga, jika anda bertemu dengan seorang prebet atau
kopral SB, beliau juga akan berkata dalam lenggok bahasa yang sama
seperti boss nombor wahid tadi.
SB lebih tahu dari 'boss-bossnya'?
Paling menakjubkan, seorang prebet atau kopral SB kadang-kadang akan
berlebih-lebih mengatakan kehebatan SB hingga mengatasi apa yang
dikatakan oleh 'boss-boss' di atasnya!
Gambaran bahawa SB berada di sana sini untuk memantau dan merisik segala
apa yang dilakukan oleh rakyat hampir-hampir menjadi satu kepercayaan
umum di kalangan orang ramai.
Benar, memang SB-SB hadir dalam ceramah, majlis dan apa-apa program
sahaja yang dianjurkan, khususnya oleh pembangkang. Tetapi tujuan utama
mereka hanyalah untuk menakut-nakutkan penganjur dan orang ramai.
Kakitangan awam, guru-guru, pensyarah dan profesor universiti, ahli-ahli
korporat dan perniagaan serta anggota-anggota NGO yang kurang
progresif, biasanya akan berfikir bahawa jika mereka hadir dalam
ceramah-ceramah pembangkang, muka atau kenderaan mereka akan dicam oleh
SB.
Dengan itu mungkin tindakan akan diambil terhadap mereka oleh majikan dan
kerajaan. Guru-guru mungkin dipanggil oleh pengetua mereka untuk tunjuk
sebab. Akujanji juga boleh digunakan bagi mengungkit 'kesalahan'
mereka. Bagi yang berniaga dengan bergantung kepada projek-projek
kerajaan, mereka khuatir syarikat mereka akan diblack-list. Untuk
mengelakkan perniagaan mereka daripada kena bungkus, lebih baik mereka
tidak pergi untuk menghadiri majlis-majlis pembangkang.
Mereka sentiasa merasakan majlis-majlis seperti itu akan ada sahaja SB-SB
memantau dan dengan itu mendedahkan mereka kepada satu risiko yang amat
besar!!
Tambah lagi jika penganjur lembik jiwa dan lemah perasaan, SB-SB ini akan
bermaharajalela datang mengambil gambar dan merakam video pada seluruh
majlis. Bahkan, SB-SB masuk campur sehingga menentukan apa yang boleh
dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh penganjur.
Halau SB, jangan takut dengan kehadiran mereka
Terdapat penganjur-penganjur berjiwa kerdil seperti ini yang akur kepada
'nasihat' dan desakan-desakan SB-SB, kerana jika tidak, susah hidup
nanti kerana dipanggil ke balai!
Sebenarnya, jika penganjur bertegas dan menghalau SB-SB daripada majlis
mereka, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh SB-SB itu. Dengan itu
tidak ada apa yang dapat SB-SB itu capai untuk menakut-nakutkan orang
ramai.
Masalah yang berlaku adalah kerana penganjur sendiri yang selalunya
memberi muka kepada SB-SB ini untuk menakut-nakutkan orang ramai, dan
sudah tentu diri mereka sendiri.
Kaedah termudah, halau sahaja SB-SB daripada masuk ke dalam majlis jika
ianya dianjurkan dalam dewan atau tempat tertutup!
Jika majlis itu diadakan di tempat terbuka, pastikan mereka tidak
sewenang-wenang membuat rakaman video. Jika ada SB yang tampil ke
hadapan menangkap foto penceramah, segera tugaskan seorang jurugambar
untuk bertalu-talu menangkap foto SB itu. Esoknya hantar foto itu ke
Harakah atau Harakahdaily!
Siarkan gambar SB
Kerjasama ketua-ketua pengarang media alternatif untuk menyiarkan gambar
SB-SB kurang ajar yang mengganggu majlis-majlis ceramah rakyat ini
pasti akan melenyapkan perangai naik minyak SB-SB ini.
Jika petua ini diikuti, insya'Allah ianya menjadi antara ubat paling
mujarab untuk menghapuskan kepercayaan khurafat di kalangan aktivis dan
orang amai yang SB mengetahui dan menentukan segala perkara di negara
ini.
Seperti yang telah saya jelaskan dalam siri-siri sebelum ini, di bilik
soal-siasat IO akan menunjuk-nunjuk fail tebal dan mengatakan bahawa
mereka tahu segala-galanya. IO akan mendabik dada mengatakan ia tahu
semua pergerakan tahanan. Ke mana sahaja tahanan pergi dan di mana
sahaja tahanan berada, semuanya diketahui oleh mereka.
Dengan itu, tahanan diberi amaran agar jangan berdolak-dalih dan
berbohong. Tahanan dibawa bertemu mereka hanya untuk mereka mengukur
sejauh mana kejujuran tahanan. Jika tahanan tidak jujur dan berbohong,
tiada gunanya kerana, semua aktiviti, pergerakan, percakapan,
penulisan.....bahkan mimpi tahanan juga sudah diketahui oleh SB!!!
Ingat! Apa susahnya nak tahu anda berada di mana dan pergi ke mana jika
anda adalah seorang aktivis yang bergerak di atas platform parti atau
NGO yang sah? Tidak susah mana! Bahkan tidak perlu anda takut dengan
ugutan mereka. Mereka hanya mahu anda percaya kehebatan mereka agar
dengan itu mudah bagi mereka menguasai anda sepanjang sesi soal-siasat.
Ingat!! They want to put you under their control!
Jikapun mereka mendakwa bahawa mereka tahu segala butiran yang terkandung
dalam mesyuarat-mesyuarat parti atau NGO anda, jangan pedulikan. Semua
parti atau NGO yang sah menghantar laporan rasmi tahunan kepada ROS –
Pendaftar Pertubuhan.
Kalau SB-SB ini mahu memantau atau menyiasat, sudah pasti mereka boleh
sahaja ke ROS bagi mendapat dan meneliti semua laporan rasmi parti atau
NGO sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat semua cawangannya.
Saya jamin, SB-SB tidak lakukan semua itu. Itu kerja berat bagi mereka.
Lagi pun apa sebab mereka perlu bersusah payah. Dah ada ISA, tangkap
sahaja sesiapa dan dalam bilik soal-siasat suruh sahaja mereka bercakap
dan bercerita tentang kegiatan parti atau NGO mereka, kegiatan
pemimpin-pemimpin dan kegiatan mereka sendiri.
SB ala zaman British
Ingatlah, beginilah modus operandi SB-SB di Malaysia. Sebenarnya mereka
masih dibuai mimpi dengan operasi SB zaman British dan era darurat
dahulu. Dengan kejayaan mereka menyusup dan menembusi barisan komunis
dalam hutan dan di bandar, mereka masih terbawa-bawa untuk
mempersamakan semua parti atau NGO pada hari ini juga beroperasi seperti
komunis era 1940-an dahulu.
Mereka masih menyangka bahawa parti atau NGO pada hari ini beroperasi
secara bawah tanah seperti gerakan komunis dahulu. Pengetahuan SB-SB
ini tentang falsafah, sistem dan amalan demokrasi amat cetek.
Pengetahuan mereka tentang kebebasan rakyat dan hak asasi manusia
adalah nol kata orang Indonesia dan sifar kata orang-orang Malaysia!
Itupun, tidaklah itu bermakna operasi SB zaman penjajah British dahulu
menampilkan kejayaan sepenuhnya. Ini kerana terdapat ramai rakyat awam
yang tersilap dan tersasar dijadikan mangsa. Ramai di kalangan rakyat
awam kaum Cina yang disangka komunis telah dipenggal kepala mereka
secara zalim oleh SB-SB penjajah British.
Zalim SB-SB British. Zalim CIA di Guantanamo. Zalim SB-SB Malaysia!/wann
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment