Sila lihat fakta kes berikut:
Insiden pertama: Sekumpulan pelajar SMK Belara, Manir, Kuala Terengganu
menghayati sambutan Hari Guru di sekolah itu pada 16 Mei lalu dengan
'berpesta' membaling kayu dan batu ke kawasan sekolah setelah melarikan
diri dari sekolah dengan memanjat pagar.
Kumpulan 50 pelajar itu berkumpul bersama beberapa pelajar yang
berpakaian biasa dan menunjukkan aksi-aksi berani ala mat rempit
termasuk aksi whelie (menunggang dengan satu roda apabila bahagian
depan motorsikal diangkat).
Pelajar-pelajar di negeri "Islam Hadhari Terengganu Bistari" itu juga
dengan bangganya menunjukkan sikap samseng apabila menjadikan jalan
raya di depan sekolah sebagai litar lumba motosikal. Kira-kira 20 buah
motosikal sengaja dipulas minyak sekuat hati hingga menimbulkan bunyi
bising ala Formula One di Litar Sepang.
Kehadiran kereta peronda polis sejurus kemudian hanya membuatkan
kumpulan pelajar itu bersembunyi dan setelah polis beredar, mereka
muncul semula dan meneruskan aksi ganas mereka.
Pelajar yang membentuk tiga kumpulan iaitu di depan pintu masuk
sekolah, asrama serta belakang kawasan sekolah hanya bersurai pukul 11
pagi selepas tiga jam mengadakan demontrasi Hari Guru.
Apa yang menarik, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri,
Superitendan Farid Mahmud, berkata kekecohan di sekolah itu berlaku
"setiap tahun" pada sambutan Hari Guru. Alasannya, tiada aktiviti
pembelajaran pada hari itu.
"Walaupun kita ada menghantar peronda tetapi susah nak kawal mereka,"
katanya.
Pada tahun lalu, media melaporkan tindakan ganas beberapa pelajar di
sekolah sama yang sengaja melempar mercun ke dalam kawasan sekolah.
Ia disusuli dengan kejadian pergaduhan beramai-ramai ala samurai
sehingga menyebabkan seorang pelajar cedera akibat ditikam dengan
senjata tajam pada Februari lalu. Lapor sebuah akhbar tabloid media
utama.
Insiden kedua: Dua insiden diganggu polis di dua tempat ceramah parti
KeADILan berlaku di Dun Ijok, 25 April lalu.
Kejadian pertama berlaku di Restoran Hai Yee Tian, Simpang Tiga Ijok
pada jam 8.30 malam apabila pemimpin DAP, Tan Seng Giau (Ahli Parlimen
Kepong) dan Chong Eng (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) didatangi seorang
pegawai polis yang dikenali sebagai ASP Ng meminta ceramah yang bakal
diadakan di situ dibatalkan serta-merta.
"If you can show me the valid assembly permit, you can proceed, simple
as that," kata ASP Ng kepada YB Tan, namun dibantah seorang peguam
Latheefa Koya bahawa pihak penganjur sudah pun memohon untuk mengadakan
permit pada malam itu, termasuk di enam kawasan yang berasingan.
Dalam keadaan kelam kabut, orang ramai yang hadir kira-kira 200 orang
melaungkan rasa tidak puas hati atas tindakan pihak polis yang berat
sebelah, sedangkan di seberang jalan, satu lagi ceramah BN yang
diadakan di Restoran Cheng Sung tidak mendapat sebarang gangguan.
Ceramah yang diadakan oleh BN tersebut hanya dihadiri sekitar 50 orang
walaupun jamuan makan malam tersebut telah ditaja secara percuma.
Sungguhpun begitu, YB Tan tetap meneruskan ceramahnya di hadapan orang
ramai, sambil meminta pihak polis melayan semua pihak secara adil tidak
kira sama ada pihak parti pemerintah mahupun parti pembangkang dan tetap
berpegang kepada moto profesionalisme polis iaitu "cekap, mesra dan
betul".
"Pisang sesikat susu sebelanga, tanda muafakat bersama-sama," dengan
pepatah Melayu Tan mencuit hati para hadirin yang majoritinya berbangsa
Tiong Hua yang tekun dan bersemangat mendengar ucapan beliau.
Selang 15 minit, secara tiba-tiba pihak penganjur telah dimaklumkan
bahawa permit kemudian diluluskan 'secara mudah' oleh pihak polis dan
ramai yang menyifatkan usaha awal menghalang cermah tadi adalah sebagai
tindakan provokasi polis serta cubaan psikologi untuk menakut-nakutkan
pengundi yang hadir pada setiap ceramah pemimpin pembangkang.
Sementara itu, di pekan Batang Berjuntai, satu lagi ceramah KeADILan
diganggu polis dengan sebuah 'water cannon' dan lima trak FRU, bersama
dengan kekuatan kira-kira 100 anggota FRU dan polis.
Keadaan itu menyebabkan jalan raya di situ menjadi sesak apabila pihak
polis bertindak menyekat jalan tersebut.
Ceramah tersebut diadakan pada jam 9.30 malam di pekarangan kedai
motosikal Seng Koe Trading, berhadapan Sekolah SRJK (C) Yuk Chih.
"Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa KeADILan telah menang di Ijok.
Ini adalah provokasi polis. Kita akan bersurai secara aman kerana kita
rakyat yang mematuhi undang-undang," tegas Naib Presiden KeADILan,
Azmin Ali yang turut berucap di majlis tersebut.
Dalam keadaan tegang itu, orang ramai yang hadir kira-kira 150 orang
bersurai secara aman walaupun dengan rasa tidak puas hati dan marah
atas kebiadapan pihak polis membatalkan ceramah seterusnya menyekat
kempen pilihan raya parti KeADILan.
Difahamkan, polis bertindak menghentikan tiga ceramah KeADILan di Ijok
malam tadi kerana mendakwa ianya diadakan tanpa kebenaran manakala,
tiga lagi ceramah KeADILan, yang tidak mendapat permit polis, berjalan
seperti yang dijadualkan.
Dua insiden di atas sebenarnya cukup mengukur tahap profesionalisme
polis negara ini dalam melaksanakan tugas mereka.
Insiden pertama mengisahkan sikap ganas sekumpulan pelajar yang menurut
polis berlaku saban tahun di sekolah itu bila sambutan hari guru
diadakan.
Para pelajar terbabit bukan sahaja melanggar disiplin dengan keluar
daripada kawasan sekolah di waktu pembelajaran, malah bertindak
memanjat pagar dan kemudiannya membaling objek kayu dan batu ke kawasan
sekolah.
Mereka juga yang pastinya tidak mempunyai lesen memandu bertindak liar
memperlihatkan aksi-aksi merbahaya ketika menunggang motorsikal dan
sengaja memecut dengan laju di hadapan kawasan sekolah.
Walaupun menyedari bahawa kejadian itu berlaku 'saban tahun' di sekolah
tersebut, pihak polis setelah mendapat aduan hanya menghantar satu
kereta peronda untuk sekadar 'meronda', dan apabila beredar, kumpulan
pelajar itu meneruskan aksi ganas dan liar itu tanpa halangan.
Soalnya, mengapakah pihak polis tidak bertindak tegas menghalang
perlakuan ganas, samseng dan liar kumpulan pelajar tersebut dan hanya
membuat alasan bahawa pelajar terbabit "sukar dikawal".
Sedangkan jika polis bertindak lebih awal dengan meletakkan para
anggotanya di sekolah terbabit (kerana telah pun meramalkan kejadian
itu bakal berlaku saban tahun), tindakan samseng para pelajar terbabit
boleh dihalang.
Berbanding dengan insiden kedua yang berlaku di Ijok semasa kempen
pilihan raya kecil April lalu. Polis dengan segenap kekuatan bersedia
mengambil tindakan kepada kumpulan pendengar ceramah anjuran KeADILan
hanya dengan alasan tiada permit. Sedangkan majlis ceramah itu
berlangsung secara aman, tiada rusuhan dan tiada kejadian baling
membaling objek.
Keadaan yang sama berlaku di Bilik Gerakan PAS di Kampung Melayu Ijok
pada hari yang sama apabila puluhan anggota polis simpanan persekutuan
(FRU) dipanggil bagi menyuraikan ceramah yang kononnya berlangsung
tanpa permit.
Sebenarnya bukan sahaja di Ijok, malah di serata Semenanjung, pasukan
polis yang lengkap bersenjata dibantu meriam air dikerah menyuraikan
ceramah parti-parti pembangkang walaupun diadakan di kawasan
persendirian.
Ironinya, apabila wakil-wakil penduduk bertemu dengan ketua balai polis
bagi memaklumkan tentang kejadian curi, rompak, ragut dan samun di
kawasan-kawasan perumahan; alasan yang sering diberi adalah "kami
kekurangan kakitangan dan terpaksa menjaga kawasan yang luas".
Sebenarnya, dimanakah letaknya keutamaan tugas polis dalam menjaga
keamanan negara? Adakah polis lebih peka memelihara survival politik BN
daripada memantau kejadian-kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi
sekarang.
Mengapakah polis boleh dan mampu menghantar puluhan malah ratusan
anggota bagi menyuraikan ceramah parti-parti pembangkang tetapi sering
memberi alasan 'kurang kakitangan' dalam membanteras jenayah? Mungkin
KPN boleh memberikan jawapan.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment