Friday, September 14, 2007

Implikasi bila Anwar marahkan Khairy

Mohd Sayuti Omar
Sun | May 06, 07 | 05:13:04 PM

ANTARA seribu kejadian dan peristiwa di Ijok yang paling menarik ialah
apabila Anwar Ibrahim menyerang dan membelasah Khairy Jamaluddin.
Walaupun serangan itu bersifat politik dan perlu dinilai dari sudut
politik, ia tetap mengejutkan.

Selama ini Anwar tidak pernah menyerang atau mengatakan Khairy seteruk
itu. Kalau pun beliau menyebut tentang Khairy tetapi masih berlapik dan
sipi-sipi saja.


Tetapi serangan malam terakhir kempen pilihan raya Ijok itu berlainan.
Nampak bersungguh. Malam-malam sebelumnya tidak ada kedengaran yang Anwar
membelasah atau menyerang Khairy maupun bapa mertuanya Abdullah Badawi
(Pak Lah). Apa yang menjadi sasaran ialah Najib Razak saja.


Saya mengikuti sebahagian besar ceramah politik Anwar dalam pilihan raya
kecil Ijok itu. Misalnya ceramahnya di Bukit Badong, di Pekan Ijok dan di
Batang Berjuntai. Anwar tidak pun menyentuh nama Khairy dan Pak Lah.


Seolah-olah Khairy tidak muncul dan menjadi pemain utama dalam kempen BN.
Orang juga terheran-heran mengapa Anwar tidak menyentuh batang tubuh
Khairy, sedangkan Khairy dikatakan antara orang (pemuda) paling aktif
berkempen di Ijok. Umum juga menunggu Khairy yang menjadi public figure
ketika ini dibelasah oleh Anwar di Ijok.


Tetapi apabila malam terakhir ketika berceramah di hadapan kaum Tionghua
di Pekan Ijok, Anwar telah membelasah dan mengkritik Khairy sampai keluar
perkataan yang sangat pedih untuk didengar sungguh mengkagetkan. Malam itu
Anwar mencemuh dan memperkecilkan Khairy walaupoun usianya setahun jagung
tapi memilik kekayaan berjuta ringgit.


Budak biadap
Terlucut juga perkataan biadap yang dihembur Anwar kepada Khairy. Semua
yang mendengarnya terkejut musang. Nampaknya Anwar marah benar pada
Khairy di malam tersebut? Apakah yang tidak kena atau Anwar terdesak
ketika itu melihat partinya yang sudah lemah dan kekalahan sudah
terbayang di juring mata?


Yang jelasnya, Anwar membantai Khairy selepas Khairy mengatakan Anwar
membisu mengenai pembelian saham Guthrie oleh Khalid Ibrahim. Anwar
begitu sensitif sekali terhadap perilaku Naib Ketua Pemuda itu. Kebetulan
pula siang harinya, mertua Khairy, Pak Lah turut turun ke Ijok untuk
memberi semangat kepada jentera pilihan raya BN.


Apa yang mengejutkan dengan bidasan Anwar terhadap Khairy itu kerana
sebelum ini orang melihat mereka berdua tidak bermasalah. Malahan Khairy
dikatakan sedang berusaha untuk membawa Anwar masuk semula ke dalam Umno.
Khairy dikatakan sedang bermain mata dengan Anwar dan sedang membina
terowong bawah tanah bagi Anwar masuk ke dalam Umno.


Khairy dikatakan memerlukan Anwar sebagai god fathernya di dalam politik.
Kahiry memerlukan seseorang taukeh dalam politik untuk menjamin masa
depannya. Dalam konteks ini Anwar adalah sosok paling sesuai bagi Khairy
menjadikan sebagai junjung politiknya.


Peranan dan juga gerak geri Khairy sudah terhidu oleh pemimpin Umno lain
termasuk Najib. Kerana itulah Najib telah memberi isyarat agar megawasi
gerak geri Khairy. Tetapi si Khairy ini bukan kecil anak. Apabila disudah
tahu gerak gerinya diperhati, beliau mula mengubah haluan dan mengalih
strategi.


Apakah tindakan Anwar membelasah Khairy di malam terakhir itu sebahagian
daripada strategi untuk menyelamatkan Khairy disabotaj oleh geng Najib?
Walahualam!


Terjumpa Khairy
Pada hari megundi (28 April) ketika pemimpin Keadilan dan BN mengerumuni
balai polis Ijok kerana membuat report mengenai penahan sebuah bas yang
disyaki membawa pengundi hantu di Bukit Badong, saya sempat bersua dengan
Khairy yang terkial-kial di pintu pagar balai polis bersama gengnya. Turut
sama taukeh 'mat rempit', Abdul Azeez Abdul Rahim.


Saya memberanikan diri dan bertanya Khairy mengenai tindakan Anwar yang
mencemuhnya itu.


"Kata Anwar bantai you malam tadi, betulkah?" Aju saya kepada Khairy.


"Tak ada… tak ada," balasnya biasa dan selamba saja.


"I dapat maklumat teruk dia belasah you, sampai kata you biadap dan
sebagainya," tekan saya lagi.


"Tak ada… I.. tak dengar apa-apa pun," balas Khairy lagi menafikan apa
yang berlaku tanpa mengerutkan kening.


Saya tidak bertanya panjang dan terus menyimpul, bahawa pemuda hitam
tampuk mangis ini pandai juga berpolitik. Dia dapat mengawal perasaanya
dan tidak mudah termakan dengan apa-apa hasutan.


Saya tetap percaya Khairy sudah pun tahu yang Anwar membelasahnya malam
itu. Sudah pasti ada orang memberi tahunya kalau dia sendiri tidak hadir
pada ceramah Anwar itu.


Apabila beliau menafikan dua kali, dan tidak memberi apa-apa respon apa
lagi menunjukkan sikap jengkil kepada Anwar ketika itu, ternyata Khairy
orang yang boleh tahan muka dan terlinga. Telinganya tidak mudah pedih
mendengar apa-apa yang tidak baik mengenainya. Mungkin kerana itulah maka
beliau boleh bertahan walaupun seluruh Malaysia telah mencemuh dan
memurkainya termasuk Mahathir Mohamad.


Persoalannya apakah dengan penafian itu sudah ada persefahaman
(understanding) antara Khairy dengan Anwar? Anwar perlu berbuat begitu
untuk menutupi rasa curiga Najib mengenai usaha Khairy untuk membawa
Anwar menyertai Umno.


Bagaimana pun sekiranya babak di Ijok itu benar, ini membawa senario baru
dalam politik pembangkang. Suasana itu tentulah ditunggu pembangkang yang
selama ini mahu memutuskan impian dan harapan Anwar untuk menjadi Perdana
Menteri menerusi Umno.


Persepsi hubungan antara mereka berdua menjadi subur sejak pemergian
Khairy ke rumah Anwar untuk menguruskan pemerosesan passport Anwar suatu
masa dulu. Orang beranggapan kalau tidak ada mengada, masakan menantu PM
pergi ke rumah bekas TPM! Dari babak itulah orang menyimpulkan Kahiry dan
Anwar ada sesuatu....


Dan apakah sesuatu itu sudah berakhir bila Anwar bertindak memarahkan
Khairy, atau ianya suatu episod yang sedang dimulakan!


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: