KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Seluruh rakyat Malaysia yang memilih
demokrasi diminta menjadikan semangat Pilihan Raya Kecil Dun Ijok
sebagai tapak barisan rakyat bagi menentang pemerintah zalim yang
merompak harta dan menipu rakyat, kata bekas Timbalan Perdana Menteri,
Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang berucap di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar sempena
Perisytiharan Semangat Ijok malam tadi berkata, rakyat hari ini perlu
melihat bahawa kerajaan yang memerintah hari ini adalah dari kalangan
pemimpin yang perangainya seperti lanun.
Menurut beliau, rasuah, jenayah dan penyelewengan berlaku dari peringkat
atas hinggalah ke bawah, malah dalam Pilihan Raya Kecil Dun Ijok
rasuah adalah manifestasi dari segala gerak kerja Umno/BN bagi menawan
undi rakyat.
"Bersama-sama kita malam ini menjadikan sambutan malam ini yang sangat
luar biasa satu lonjakan semangat baru.Jika benar apa yang Perdana
Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan konco-konconya yang
berulang kali kata dalam televisyen dan akhbar milik kroni BN, semangat
pembangkang sudah patah, Anwar dan KeADILan sudah tidak relevan.
"Jika demikian fatwa Abdullah Badawi saya tak nak jawab hujah beliau,
sebab pimpinan Abdullah sebenarnya sudah ketinggalan arus," katanya
sambil disambut dengan laungan reformasi dan takbir oleh penonton yang
membanjiri dalam dan luar Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor di Taman Melewar
malam tadi.
Turut serta berceramah ialah, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat
Isa; Calon KeADILan di Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Naib
Presiden KeADILan, Azmin Ali.
Melanjutkan polemiknya dengan Perdana Menteri Anwar berkata, kritikan
Abdullah itu sebenarnya hanya untuk menutup kelemahan kerajaan yang ada
hari ini memandangkan kadar jenayah besar dan kecil semakin meningkat,
malah hingga kini kes-kes jenayah berprofil tinggi tidak terungkai dan
ditutup begitu sahaja.
"Rasuah besar ditutup, parah dahulu tenat sekarang, yang lebih
mengecewakan kecoh sana-sini tetapi PM Malaysia hampir tidak tahu apa
yang berlaku di dalam negara, tanyalah beliau (Abdullah) tentang apa
sahaja, jawapannya hanyalah beliau akan teliti sahaja tanpa akan
tercapai apa-apa keputusan sekalipun," katanya.
Maka baginya, jika rakyat mengharapkan pemerintahan Abdullah ini akan
menyasat setiap kes jenayah, rasuah dan penyelewengan ianya hanyalah
satu harapan tanpa sebarang penyelesaian yang boleh dilakukan.
Beliau sendiri tidak yakin bahawa Abdullah mempunyai kekuatan untuk
bertindak sedangkan kepimpinannya dipenuhi dengan pemimpin yang rasuah
dan korupsi berada di tahap paling teruk.
Beliau juga berkata, korupsi dan penyalahgunaan wang besar berlaku di
Ijok dengan rakyat sekali lagi ditipu dengan segala macam ahdaih dan
pemberian sedangkan ianya hanya untuk menipu rakyat bagi memenangi
pilihan raya.
Sedangkan akhirnya rakyat akan terus dibiarkan dalam keadaan mundur,
miskin dan menyududkan rakyat kepada kelas miskin, hamba abdi dan hidup
melarat dalam pada pemimpin Umno terus membolot kekayaan negara memugar
poket orang miskin, katanya dengan disambut dengan tepukan gemuruh 8000
penonton di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar.
"Kalau ada rakan-rakan saya yang dalam Umno yang setia dan masih
mengharapkan demikian berlaku, maka mereka ini sebenarnya bermimpi
disiang hari,"katanya tegas.
Sementara itu beliau juga menyeru rakyat bangkit bagi menyatakan bantahan
ke atas kebobrokan demokrasi yang terhalang di negara ini.
Beliau menggesa rakyat menggerakkan satu semangat yang lahir dari segala
maklumat mengenai kerosakan sistem demokrasi yang dijalankan Umno di
Ijok dalam pilihan raya kecil yang lalu sebagai satu tapak kepada
perjuangan membebaskan Malaysia dari kemusnahan.
Beliau juga meminta golongan muda yang dilihat memberi undi keada
pembangkang di Ijok melakukan perubahan dan tidak lagi diperalatkan oleh
perasuah-perasuah yang menyogok sejumlah kecil wang untuk mendapatkan
kuasa.
"Anda (Pemuda-pemuda) hanya diberikan RM200 sahaja untuk bekerja sebagai
hamba kepada perasuah-perasuah ini sebagai jentera pilihan raya, betapa
murahnya harga diri, sedangkan perasuah-perasuah ini mengaut kekayaan
dengan merompak wang rakyat untuk hidup mewah," tegasnya.
Sementara itu Timbalan Presiden PAS yang turut berucap sebelum itu pula
turut senada dengan Anwar agar rakyat melakukan perubahan yang besar bagi
pilihan raya umum akan datang ini dengan melihat kes di Ijok sebagai
maklumat asas kepada kepincangan sistem demokrasi di negara ini.
Sambil menyifatkan demokrasi dan media di negara ini telah lama dirantai
kebebasannya oleh Umno/BN beliau menyatakan bahawa rakyat perlu mencongak
semula undi-undi yang diberi kepada pemerintah yang nyata tidak mampu
membela rakyat lagi.
Dalam pada itu beliau mengakui bahawa pilihan raya kecil Ijok adalah
pilihan raya kecil yang paling tidak demokratik dan sebagai satu sejarah
hitam dalam amalan demokrasi di negara ini.
Menurutnya, Umno/BN telah mempergunakan seluruh agensi kerajaanm kekuatan
media milik kroni Umno/BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi
memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Umno/BN juga memperalatkan pihak berkuasa polis dan yang lain bagi
menakut-nakutkan rakyat dengan kempen paling ganas dalam sejarah pilihan
raya mereka yang mana ketua kepada pelakon watak ganas ini ialah menantu
Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda Umno.
"Ingatlah tuan-tuan, bahawa Umno menggunakan lambang keris tidak bersarung
pada lambang pertubuhannya itu.Keris itu sentiasa tidak bersarung sejak
dahulu lagi untuk menikam siapa sahaja tidak kiralah Melayu, Cina dan
India untuk kesenangan pemimpin mereka, dan mereka ini tidak pernah
memperjuangkan hak rakyat terutamanya hak orang Melayu," tegasnya lagi.
Sementara itu beliau turut membayangkan bahawa Ijok adalah medan permulaan
yang cukup baik bagi barisan pebangkang khasnya PAS dan KeADILan memulakan
ledakan semangat rakyat kerana kerjasama yang cukup erat terhasil di Ijok.
Dalam setiap kempen bagi calon KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim, PAS dan
KeADILan sentiasa memberikan khidmat 100 peratus bagi menjayakan kempen
tersebut, ujarnya.
"Ini merupakan petanda baik yang mampu membuahkan hasil yang lebih baik
bagi pilihan raya akan datang," jelasnya.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment