Saturday, September 15, 2007

Insan teladan terunggul yang dipuja sepanjang zaman

Meskipun zahir bentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:
Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.
Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.
Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papan tulis belum tercatat,
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.
Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat
Dalam diriku semua terlibat.

(Puji-pujian Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad salla' Llahu alayhi wa
sallam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum
Muslimin)

Utusan Terakhir

Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. mendapat ejekan daripada Abu Jahal, Abu
Lahab, Al-`As bin Wa`il, Uqbah bin Abi Mu`ith dan lain-lain bahawa
Baginda akan terputus keturunan kerana semua anak lelaki Baginda
meninggal dunia. Salah seorang daripada mereka berkata, "Biarkanlah dia.
Dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki. Dan
perjuangannya tidak lama lagi akan berakhir begitu sahaja".
Tipu daya kecil mereka memberi kesan sedikit sebanyak, menusuk hati dan
membuatkan Baginda berasa sedih. Arab Quraisy sememangnya amat bermegah
dengan anak yang banyak lebih-lebih jika anak lelaki.
Namun telahan mereka meleset sama sekali. Mereka memikirkan Baginda
sebarangan orang, sama seperti tokoh-tokoh dan pemuka Quraisy yang lain.
Hakikatnya, hingga kini Baginda sentiasa diingati, bukan sahaja sewaktu
awal kewafatannya bahkan hingga ke akhir zaman.
Berjuta lidah sentiasa menyebut dan menyeru namanya tanpa henti di
sepanjang longitud bumi, berjuta manusia bersilih ganti menuruti
sunnahnya, dan berjuta hati sentiasa mencintainya di seluruh pelusuk
dunia. Baginda sentiasa diberi ucapan salawat dan salam oleh Allah
subhanahu wa ta`ala, para malaikat dan oleh kaum muslimin. Kaum muslimin
mengingati dan menyebut nama Baginda lebih kerap daripada menyebut dan
mengingati nama ibu bapa sendiri.
Baginda diingati kerana Baginda Nabi Allah, penghulu dan penutup segala
nabi dan rasul terdahulu sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s, kekasih
Allah dan kekasih malaikat. Bagindalah satu-satunya insan teladan yang
dapat dijadikan panduan dan ikutan dalam serba-serbi lapisan dan lapangan
kehidupan. Beriman kepada Allah tidak lengkap tanpa beriman kepada Baginda
kerana Bagindalah yang menyampaikan perintah Allah.
Nama baginda sentiasa seiring dengan nama Allah dalam kalimah shahadat.
Seseorang yang beriman dengan Allah tetapi menolak kerasulan Baginda,
sama ada menolak sepenuh atau sebahagian daripada ajarannya, adalah
kufur. Pengakuan dan penyaksian kepada Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang
membezakan kaum muslimin dengan penganut-penganut agama lain.
Usaha Meruntuhkan Wibawa
Betapapun begitu, musuh-musuh Islam sejak dulu hingga kini, baik secara
langsung mahupun melalui wakil mereka dari kalangan kaum muslimin
sendiri, dengan segala tipu daya tetap berusaha menggugat dan meruntuhkan
wibawa Baginda. Pertama, dari segi autoriti al-Qur`an itu sendiri bahawa
kitab itu adalah rekaan Baginda, atau bukan wahyu Allah sepenuhnya tetapi
mengalami pencairan atau menempuh perubahan atas sifat Baginda sebagai
insan biasa. Kedua, dari segi akhlak Nabi. Ketiga, dari segi periwayatan
hadis yang sampai kepada kita, bahawasanya ia mengikut hawa nafsu para
sahabat, tabi`in dan ulama yang juga manusia biasa dan bisa melakukan
kesilapan.
Cubaan pertama musuh-musuh Islam itu telah dijawab secara tuntas oleh
ulama sejak awal lagi. Kalaulah benar dakwaan bahawa Baginda mereka-reka
al-Qur`an, bagaimana mungkin seorang insan ummi (tidak pandai menulis dan
membaca) yang terkenal dengan gelar al-Amin (amanah) sebelum diangkat
menjadi Rasul, boleh mengarang karya sehebat itu walhal Baginda tidak
pernah dikenali sebagai penyair. Tidak mungkin seorang manusia yang
mengalami perubahan usia, emosi dan kematangan boleh mengekalkan sifat
ayat-ayat al-Qur`an yang, meskipun tidak berkesinambungan, tetapi
menyentuh dan berbicara tentang pelbagai tema secara konsisten dan
selaras dalam tempoh 23 tahun.
Baginda sentiasa mensucikan Kitab Suci ini dengan memulai bacaan dengan
memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan. Baginda sentiasa
berulang kali membaca al-Qur`an ketika di khalayak ramai dan ketika
bersendirian sebagai sumber petunjuk dan kekuatan tanpa jemu dan letih,
sesuatu yang mustahil jika al-Qur`an karangan sendiri kerana biasanya
penulis cepat muak membaca karya sendiri. Bahkan Allah s.w.t. sendiri
menempelak dan mencabar mereka yang meragui kekudusan al-Qur`an agar
menghasilkan sepuluh surah (Hud: 13), atau satu surah semisalnya
(al-Baqarah: 23 dan Yunus: 38), dengan bantuan seluruh insan dan jin.
Sungguh benarlah apa yang disampaikan Baginda itu kalam Allah s.w.t. tanpa
sedikit pun pengurangan atau tokok-tambah atau pencairan sebagaimana
ditohmahkan oleh golongan orientalis dan modernis. Allah s.w.t. sendiri
memperakui bahawa apa-apa yang disampaikan Baginda adalah wahyu lewat
firman-Nya: "Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa
nafsu. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan
(kepadanya)." (an-Najm: 2-3)
Dari sudut akhlak, akhlak Baginda adalah jelmaan daripada al-Qur`an
seperti diperhati dan diakui oleh isteri Baginda, `Aisyah r.a.. Tiada
sebarang percanggahan antara kehidupan umum dan kehidupan peribadi
Baginda. Sahabat-sahabat yang hidup sezaman dengan Baginda tidak seorang
pun pernah mencemuh akhlak Baginda, sama ada sebelum ataupun selepas
Baginda diangkat menjadi Rasul, seperti yang dilakukan oleh mereka yang
keliru yang hidup terkemudian.
Malah Allah Yang Maha Tinggi memberi pengiktirafan paling tinggi apabila
memuji Baginda dengan pujian: "Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad)
memiliki akhlak yang agung" (al-Qalam: 4), bersesuaian sekali dengan misi
Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia dalam kalangan
manusia.
Dalam soal keraguan terhadap hadis yang tiba kepada kaum muslimin hari
ini, hakikatnya hadis-hadis telah dikumpul dengan penuh sistematik oleh
orang berwibawa. Bahkan Baginda sendiri dan para sahabat karib
mengeluarkan banyak kenyataan dan mengambil tindakan bagi mempastikan
bahawa al-Qur`an dan al-Hadis tidak bercampur-baur.
Tradisi ini diwarisi para tabi`in dan pengikut mereka, seterusnya
berlanjutan kepada enam ulama hadis, iaitu: Imam Bukhari, Imam Muslim,
al-Nasai, Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibn Majah.
Ada juga segolongan kecil daripada kaum muslimin terkeliru dengan sabda
Baginda: "Sesungguhnya aku manusia seperti kamu juga" lalu mereka melihat
Baginda sebagai entiti fizikal, makhluk biologi (basyari) seperti manusia
biasa yang lain, sama seperti anggapan kafir Quraisy tadi, dan sama juga
sebagaimana Iblis melihat Adam dari aspek fizikal semata-mata. Walhal
Baginda berkata begitu kepada orang-orang yang tidak beriman bagi
menafikan tanggapan mereka bahawa Baginda adalah Tuhan lantaran segala
kata yang diucapkan amat luar biasa sekali.
Dalil al-Qur`an, serta hujah sejarah dan psikologi yang dapat diterima
oleh akal yang sihat ini membawa kepada kefahaman penting bahawa
Junjungan Besar Nabi Muhammad salla' Llahu alayhi wa sallam adalah Utusan
Terakhir yang memiliki wibawa yang terpelihara dan tidak dapat
diganggu-gugat apatah lagi diruntuhkan. Reaksi balas spontan kaum
muslimin terhadap sebarang percubaan menghina kemuliaan Baginda yang
berpunca daripada kejahilan, iri hati, dendam kesumat dan provokasi liar
menunjukkan betapa cinta, kasih, hormat dan dekatnya mereka kepada
Baginda.
Teladan par excellence
Sehubungan dengan ini, kaum muslimin adalah paling bertuah kerana
mempunyai role model yang terbukti paling unggul. Sudah menjadi tabiat
semula jadi insan suka meniru atau mencontohi orang lain. Dengan erti
kata lain, insan hidup dengan model. Model pilihan mempengaruhi corak
kehidupan seseorang kerana model itulah yang mengisi acuan idealismenya.
Sekurang-kurang contoh tauladan mempunyai ciri-ciri terpuji dan menonjol
dalam tiga aspek, iaitu: keilmuan, ketrampilan dan akhlak.
Sejarah mencatatkan bahawa penghormatan para sahabat terhadap Baginda amat
tinggi. Dalam satu peristiwa, misalnya, seorang sahabat sengaja mencari
helah untuk mencium perut Baginda sebelum berperang, dengan berkata:
"Sekiranya saya terbunuh dalam peperangan ini, saya berpuas hati kerana
sekurang-kurangnya saya sudah menyentuh Engkau, ya Rasul Allah".
Di tempat lain dicatatkan bahawa bekas makanan Baginda disimpan, demikian
juga kuku, janggut dan segala pakaian dan peralatannya. Belum pernah ada
mana-mana tokoh sepanjang sejarah di muka bumi dilayan sebegitu tinggi
seperti Baginda. Baginda sungguh diagungkan oleh para sahabat tetapi
tidak pun diangkat sebagai Tuhan.
Hal ini berlaku kerana meskipun jasad Baginda berbentuk basyari, Baginda
makan dan minum, berkahwin dan tidur seperti insan-insan lain, namun
makam rohani Baginda terlalu tinggi tidak terperi. Untuk mencapai makam
setinggi begitu, tentulah memerlukan persiapan luar biasa. Mana mungkin
rohani biasa mampu menerima sesuatu yang mengandung bawaan yang berat
seperti wahyu, sedangkan jika al-Qur`an diturunkan ke atas gunung,
pastilah gunung akan tunduk hancur berkecai kerana takut kepada Allah
(al-Hasyr: 21).
Sedangkan untuk membuat penaakulan terhadap hukum graviti itu pun, yang
kini disifatkan sebagai penemuan terhebat, Newton harus mempersiapkan
diri yang bukan kepalang. Demikian juga dengan Archimides dan Prinsip
Ketumpatannya. Kedua-duanya tidak mungkin secara tiba-tiba memahami hukum
dan prinsip tanpa persiapan awal. Tetapi apa yang ditemui mereka tidaklah
mencapai taraf wahyu. Akal yang rasional dapat membuat perbandingan
betapa hebatnya persediaan rohani Baginda menerima wahyu itu.
Baginda adalah sebaik-baik contoh teladan (uswatun hasanah) bagi sekalian
bangsa manusia, sebaik-baik ikutan kerana baginda juga adalah sebaik-baik
makhluk. Insan tanpa mengira usia, baik kanak-kanak, orang dewasa, orang
tua, lelaki, perempuan, yang bujang mahupun yang sudah berkahwin,
semuanya mengambil Baginda sebagai ikutan.
Hal ini dapat disaksikan sejak Baginda masih hidup lagi. Semasa menyambut
ketibaan Baginda di Yathrib dalam peristiwa Hijrah, semua peringkat umur
berkumpul menunggu dengan penuh sabar dan debar, bersama-sama menyanyikan
lagu segar sepanjang zaman "thala `al badru `alayna ….(telah terbit bulan
purnama ke atas kami ...)."
Dalam menyiapkan angkatan perang ketika mempertahankan diri atau menyerang
musuh, anak dan bapa, suami dan isteri, bersedia dan bersatu dalam
pimpinan Baginda.
Baginda adalah contoh teladan unggul bagi wanita muslim, bukannya Fatimah
atau `Aishah. Dalam satu kisah, seorang remaja wanita sanggup menyanggah
anjuran ibunya agar tidak mencairkan susu sekali pun tiada siapa yang
nampak. Bagi remaja muslim, contoh teladan haruslah Baginda, bukan Ali
atau Fatimah. Dengan mengambil Baginda sebagai contoh teladan, nescaya
kaum muslimin berpotensi mencapai piawaian Ali atau Fatimah atau `Aishah.
Jika Ali, Fatimah, `Aishah atau sahabat lain dijadikan model, piawaian
yang dicapai mungkin lebih rendah daripada itu. Ali, Fatimah dan `Aishah
hanya dijadikan rujukan untuk melihat bagaimana mereka mencontohi
Baginda.
Pembentuk Identiti
Terbukti Bagindalah yang memberi identiti kepada masyarakat Islam, tanpa
mengira suku kaum, keturunan, warna kulit atau bahasa lalu membentuk
identiti umat Islam. Dalam mana-mana masyarakat, terdapat tiga golongan
yang kerap kali saling berkonflik antara satu sama lain, iaitu:
remaja–belia, dewasa dan tua.
Dalam masyarakat Barat khususnya, golongan dewasa tidak mampu memimpin
remaja-belia untuk mencontohi role model yang baik pada pandangan mereka
kerana mereka suatu ketika dahulu juga pernah menuntut kebebasan dalam
memilih role model. Masyarakat Barat sukar mencapai kesepakatan memilih
satu role model untuk semua kerana masing-masing mempunyai idola sendiri.
Mereka juga sentiasa mencari-cari role model sebenar yang mampu diteladani
dalam aspek keilmuan, ketrampilan dan akhlak.
Sebaliknya, dalam masyarakat Islam, semua orang, baik remaja–belia, dewasa
mahupun tua, mencontohi orang yang sama. Oleh itu tidak berlaku jurang
antara generasi atau apa yang kini dikenali sebagai krisis identiti.
Banyak tokoh dan pemuka masyarakat Barat yang kelihatan seolah-olah layak
menjadi role model dipertikaikan oleh ahli masyarakat mereka sendiri
kerana tidak memiliki integriti, moral yang kacau-bilau, dan moral serta
penampilan kehidupan awam yang amat kontradik dengan perwatakan sebenar.
Paul Johnson dalam `Intellectuals' telah menjelaskan secara terperinci
kehidupan dan karektor sebenar pemikir dan ilmuwan terkenal masyarakat
Barat, contohnya Jean Jacques Rousseau (penulis buku Emily yang dianggap
buku pendidikan yang terkenal), Ernest Hemingway (novelis terkenal
Amerika Syarikat), Leo Tolstoy (novelis terkenal Russia), Bertrand Russel
(ahli falsafah terkenal) yang rata-rata filsafat mereka sahaja nampak
cantik, tetapi ilmu dan amalan mereka berlawanan sekali dengan filsafat
mereka.
Dari satu sudut lain, golongan yang mereka gelar 'bintang', seperti artis,
ahli sukan dan sebilangan politikus, secara terang-terangan mendedahkan
jiwa mereka yang kosong lagi hampa. Hal ini telah disebut dalam
konteksnya dengan tepat sekali oleh Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya
Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna.
Justeru, Michael H. Hart ternyata benar apabila secara jujur memilih
Muhammad bin Abdullah sebagai pilihan pertama dalam The 100 A Ranking of
the Most Influential Persons in History, walaupun pada hakikatnya, Nabi
Muhammad tidak wajar sama sekali diletakkan sekelas dengan para ahli
teologi, pemimpin, ilmuwan, saintis atau aktivis mengikut ukuran
manusiawi.
Umpama Pasak Bumi
Baginda adalah umpama gunung yang mengakar kukuh dan kuat, menjadi pasak
bumi dan mengikat sekelilingnya, yakni kaum muslimin, menjadi padu dan
satu. Jika autoriti Baginda diserang dengan penuh helah dan tipu-daya
oleh para orientalis dan pengikut mereka atas nama ahlul-Quran, gerakan
feminisme, golongan modernis, orientalis atau gerakan penilaian semula
hadis, maka lagak mereka laksana kerakusan golongan pemusnah pasak dan
perosak alam sekitar yang, jika dibiarkan, akan membawa akibat jauh lebih
buruk kepada jiwa kaum muslimin berbanding kerosakan alam sekitar
semata-mata.
Dari Buaian ke Liang Lahad
Demikian peri pentingnya Baginda dalam kehidupan kaum muslimin, lantaran
Baginda sendiri adalah sumber ilmu, maka sudah menjadi kewajipan setiap
muslim mempelajari dan memahami sejarah dan ajaran Baginda, malah
mengenali Baginda secara mesra. Mesra dalam hal ini merujuk kepada dekat,
atau hampir, biarpun tidak pernah bersua muka.
Kanak-kanak yang sedang tumbuh membesar wajar sekali didedahkan dengan
sejarah dan akhlak Baginda, sama ada secara formal ataupun tidak formal,
sebagai lanjutan dari laungan azan, iqamat dan berzanji. Kanak-kanak
perlu diajar sejumlah hadis, terutamanya yang berkaitan soal keutamaan
ilmu dan akhlak mulia.
Salah satu pendekatan kreatif dalam rangka mendekatkan kanak-kanak dengan
sejarah dan ajaran Baginda ialah menerusi filem animasi "Muhammad: The
Last Prophet". Tayangan Amal Perdana filem ini telah dibuat pada tahun
2004 di Ibu Negara dan di negeri-negeri di Malaysia sempena Majlis
Sambutan Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., anjuran bersama
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Negeri-negeri. Filem yang sudah dialihbahasakan ini harus dimiliki setiap
keluarga di Negara ini sebagai salah satu kaedah pendidikan dalam
keluarga.
Usaha memahami konsep kerasulan ini seterusnya dilanjutkan lagi pada
peringkat dewasa dan usia lanjut menerusi pengajian ilmu al-Hadis dan
segala implikasinya dalam realiti kehidupan masa kini, secara berterusan,
misalnya, melalui usrah (study circle). Memahami konsep kerasulan dan
kenabian harus berlaku bersekali dengan memahami konsep-konsep penting
seperti konsep Tuhan, al-Qur'an, insan, ilmu, akhlak dan kebahagiaan.
Konsep-konsep ini adalah perkara pokok dalam membina kerangka berfikir
muslim yang jelas dan mantap serta mempunyai pandangan alam Islam. Dengan
pendidikan begini, kaum muslimin akan sentiasa berasa dekat dan mesra
dengan Baginda sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Baginda
sebagai model operasi yang boleh dijelmakan dalam diri. Allahumma salli
`ala sayyidina Muhammad wa `ala alihi wa ashabihi wa sallim.

* Muddin Beting ialah Yang Dipertua ABIM Negeri Sabah


# Artikel ini juga disiarkan dalam Berita Harian 31 Mac 2007/ 12
Rabiulawal 1428 .

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: