Sunday, September 02, 2007

Penduduk bantah tiga kuil di perkampungan Melayu

Penduduk bantah tiga kuil di perkampungan Melayu
Zaili Muhammad
Tue | May 15, 07 | 09:36:13 AM BUKIT
KATIL, 15 Mei (Hrkh) - Penduduk Kampung Tambak Paya yang terletak
kira-kira 10 km dari bandar Melaka membantah dengan keras tindakan pihak
tertentu yang membina tiga buah kuil Hindu di kampung tersebut sedangkan
jumlah penganut Hindu tidak sampai 300 orang pun di kampung tersebut.

Satu dari kuil Hindu tersebut masih dalam pembinaan dan jarak antara
kuil yang pertama dengan yang kedua hanyalah 500 meter sahaja, manakala
jarak yang kuil yang kedua dan ketiga kira-kira 100 meter.


Menurut Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS
Kawasan Bukit Katil, Ahmad Rafa'i Hassan, pihak pemuda kesal dengan sikap
pihak berkuasa di negeri ini yang membiarkan sahaja kuil tersebut dibina
dengan sewenang-wenangnya sehingga dalam satu kampung wujud tiga kuil
Hindu.


"Mana perginya Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka Ayer Molek, Dato' Md
Yunos Hussin, apakah beliau langsung tidak prihatin dengan luahan
perasaan tidak puas hati penduduk kampung," ujar beliau.


"Tindakan pihak tertentu membina tiga buah Kuil Hindu di dalam sebuah
kampung Melayu yang didiami hanya kira-kira 300 orang penganut Hindu
seolah-olah mencabar orang Melayu, apakah mereka sudah hilang rasa hormat
kepada jiran dan rakan-rakan beragama Islam yang merupakan penduduk
majoriti di kampung ini," tambah beliau lagi.


Sementara itu Ketua Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Ayer Molek,
Yassim Musa, ketika ditemui di tapak pembinaan kuil tersebut terkejut
dengan kewujudan tiga buah kuil Hindu dalam sebuah kampung Melayu, beliau
mendakwa keadaan ini terjadi kerana kurangnya sentiviti umat Islam
mutakhir ini terhadap kedaulatan Islam.


"Umat Islam hari ini sudah hilang kemuliaan dan 'izzah' kerana mereka
sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam sebenar disebabkan kelalaian dan
kealpaan mereka yang begitu cintakan kekayaan dunia.


"Ini semua disebabkan mereka sudah dibuai mimpi keduniaan yang
direncanakan oleh pemimpin Islam Hadhari hari ini, sepatutnya bukan tiga
buah, sebuah kuil pun mungkin tidak perlu sebab penduduk beragama Hindu
di sini kecil sahaja jumlahnya, bahkan mereka boleh pergi ke kuil
berhampiran yang jaraknya begitu hampir," kata beliau yang juga merupakan
AJK PAS Kawasan Bukit Katil.


Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap hubungan penduduk kampung
tersebut yang mungkin terjejas dan tegang dengan isu ini, malahan
tindakan Pemuda Umno Cawangan menggantung kain rentang dengan kata-kata
yang agak keras itu mungkin mencetuskan rasa kurang senang di kalangan
kedua-dua pihak.


Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan menyatakan kekesalannya
di atas ketidakprihatin pihak yang membina kuil tersebut yang langsung
tidak memperdulikan sensitiviti umat Islam sebagai penduduk majoriti di
kampung tersebut.


"Masjid di kampung ini pun hanya satu sahaja sedangkan penduduk Islam
mempunyai bilangan lebih dari 1000 orang, Kita tidak anti Hindu malah
kita menghormati kebebasan beragama tetapi sikap saling hormat
menghormati mesti dipelihara bersama," tegasnya.


Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Kampung Tambak Paya,
telah membuat bantahan secara terbuka dengan menaikkan kain rentang
berbunyi "Jangan cabar kesabaran kami" yang digantung di persimpangan
jalan berhampiran gerai Mawar Kg. Tambak Paya.


Lebih menyedihkan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek,
Dato' Haji Mo'min Abd Aziz yang sekarang merupakan Speaker Dewan
Undangan Negeri (DUN) Melaka seolah-olah lepas tangan dengan tidak
menghiraukan langsung bantahan penduduk Melayu tersebut.


Difahamkan kuil-kuil Hindu ini dibina di atas tanah persendirian milik
penduduk berbangsa India di kampung tersebut, namun tidak dapat
dipastikan samada pembinaan ini mendapat kelulusan dari pihak berwajib
seperti Majlis Kerajaan Tempatan atau tidak kerana semasa lawatan tapak
ke tapak pembinaan tersebut tiada langsung papan tanda pembinaan
dipacakkan seperti yang disyaratkan di bawah undang-undang kerajaan
tempatan. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: