Azamin Amin
Wed | May 16, 07 | 06:13:16 PM KUALA
LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Kerajaan diminta menaikkan gaji kakitangan
kerajaan secara puratanya kepada RM1,700.00 sebulan supaya dapat meringan
beban kos kehidupan yang semakin meningkat di samping mengelakkan gejala
rasuah daripada berleluasa.
Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata dengan kenaikan gaji oleh kerajaan di
antara 10 hingga 40 peratus itu juga secara tidak langsung dapat
memotivasi kakitangan awam demi meningkatkan produktiviti serta
memperbaiki mutu serta penyampaian maklumat kerajaan kepada awam dengan
lebih berkesan.
"Saya percaya nak hapuskan secara terus memang susah tetapi sedikit demi
sedikit, sama ada rasuah dan produktiviti akan dapat diperbaiki jika
tuntutan kenaikan gaji ini dipenuhi," katanya dalam Rancangan Hujah di
TV9 semalam.
Selain beliau, ahli panel lain adalah Presiden Fomca M. Marimuthu Madison
bagi membincangkan topik yang bertajuk :'Kenaikan gaji kakitangan awam,
kesan dan kewajarannya'dan rancangan tersebut dipengerusikan oleh
Profesor Agus Yusoff.
"15 tahun dahulu kita tidak pernah mendengar keluhan dan bantahan, tetapi
sekarang dari masa ke sama, gaji tidak semak, sara hidup makin tinggi dan
masyarakat mempertikaikan. Produktiviti menurun, rasuah berlaku dan
rangking rasuah kita naik," katanya lagi.
Katanya statistik Cuepacs mendapati, kakitangan kerajaan atau individu
yang bergaji RM5,000 ke atas,53 peratus daripadanya terlibat dengan
rasuah manakala 30 peratus terlibat dengan gejala itu terdiri daripada
yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.
Bagi yang bergaji RM1,500 ke bawah pula sebanyak 18 peratus terbabit dalam
rasuah dan kenaikan gaji diharap dapat menghapuskan gejala ini secara
berperingkat termasuk dapat meningkatkan kualiti serta matlamat minda
kelas pertama akan tercapai, katanya lagi.
Marimuthu turut menegur sikap kerajaan selama ini yang sering membiarkan
satu-satu perkara atau isu terlalu lama tanpa sebarang semakan dan kajian
dibuat dan ini turut berlaku terhadap gaji kakitangan awam, begitu juga
dengan barangan keperluan dan makanan.
Tanpa sebarang kajian yang betul maka kenaikan harga barang akan dilihat
naik secara mendadak dan secara tidak langsung dianggap akibat daripada
kenaikan gaji kerajaan.
"Seperti harga gula, sudah 15 tahun tak semak. Dan kita perlu tahu kos
kehidupan semakin meningkat, kita bukan negara pengeluar makanan dan kita
bergantung penuh daripada sumber negra luar," katanya
"Jika disemak sudah tentu harga barangan ini akan dinaik secara sedikit
demi sedikit tidak akan berlaku seperti sekarang mendadak naik," katanya.
Beliau turut menambah masalah gaji yang tidak mencukupi ini akan
menimbulkan masalah sosial yang lain seperti tekanan perasaan yang
kemudiannya menjurus ke arah perbuatan bunuh, bunuh diri, curi dan rompak
yang berpunca daripada tidak cukup pendapatan. - mr
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment