Friday, September 14, 2007

Tragedi Batu Buruk: Satu konspirasi jahat polis dan Umno-BN

*Intan Abdullah*
Mon | Sep 10, 07 | 05:27:43 PM

*KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) -* Insiden berdarah di Pantai Batu Buruk 8
September lalu adalah hasil konspirasi jahat dan provokasi pihak polis
yang
dipergunakan oleh Umno-BN.

Maklumat tersebut disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato'
Mustapa
Ali dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja
Laut tengahari ini.

Jelasnya, beliau mendapat maklumat daripada Adun Wakaf Mempelam,Abdul
Wahid
Endut yang menyatakan bahawa terdapat saksi yang telah menyatakan bahawa
ia
adalah 'pre-plan' yang melibatkan antara Setiausaha Politik Perdana
Menteri,
Senator Dato' Wan Farid.

"Maklumat tersebut menyebutkan bahawa kira-kira jam 3 hingga 4 petang pada
8
September lalu, sewaktu satu kursus diadakan, seorang polis yang
mengendalikan kursus tersebut telah menerima satu panggilan yang
memaklumkan
bahawa satu 'huru-hara' akan berlaku menjelang malam nanti di pantai Batu
Buruk dan pegawai polis bertugas yang tidak beruniform dikehendaki
memastikan identiti dengan memakai riben," jelasnya.

"Jika fakta ini dipertikaikan, dia boleh soal siasat saya," ujarnya
menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung kenyataan tersebut.

*Polis roboh pentas bila tuan rumah tiada*

Menceritakan kronologi kejadian tersebut, ujar Mustapa oleh kerana ia
adalah
'pre-plan' atau usaha terancang, pihak polis telah bertindak berjumpa
dengan
tuan rumah yang menjadi premis ceramah Gabungan Pilihan raya Bersih dan
Adil
(Bersih) untuk memujuk tuan rumah agar tidak membenarkan pihak Bersih
mengadakan ceramah pada malam itu.

Tuan rumah tersebut diminta untuk menandatangani sepucuk surat pada 7
September yang tidak mengizinkan Bersih meneruskan hasrat mereka.

Namun, tuan rumah yang enggan berbuat demikian menyatakan bahawa rumahnya
adalah premis tetap pembangkang mengadakan ceramah sejak tahun 1990-an
lagi.


Polis telah meneruskan usaha yang sama pada keesokan harinya, 8 September
jam 3 petang namun usaha mereka gagal.

Dua jam kemudian, pihak polis telah datang ke rumah tersebut sewaktu
ketiadaan tuan rumah lalu bertindak merobohkan pentas ceramah yang akan
diadakan ceramah malam nanti.

Ujarnya, penganjur telah membuat rayuan untuk meneruskan ceramah, dan
telah
dipanggil untuk berunding pada jam 5 petang, tetapi mereka tetap tidak
memberikan kelulusan.

Pada jam 9 malam, Yang DiPertua Kawasan Batu Buruk, Abdul Wahid Endut
telah
menghubungi Ketua Polis Terengganu untuk merayu agar membenarkan ceramah
tersebut diteruskan namun gagal.

Kemudian pada jam 9.40 malam beliau bersama-sama pemimpin Bersih telah
pergi
ke rumah tersebut bagi menjelaskan kedudukan sebenar status ceramah
tersebut
kepada tuan rumah, tetapi mereka telah dihalang dari masuk ke kawasan
rumah
terbabit.

*Tembak membabi buta*

Setelah perbincangan dibuat, polis masih tetap berkeras untuk tidak
memberikan keizinan kepada pihak penganjur di saat orang ramai telah
berhimpun kira-kira setengah kilometer dari tempat kejadian.

Kemudian, FRU mula menembak 'water cannon' dan gas pemedih mata secara
membabi buta ke arah orang awam yang berterusan hingga jam 1.30 pagi.

Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah
melepaskan
beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam, dan telah terkena
kepada
Suwandi Abdul Ghani, 37, yang menembusi paru-parunya, serta Muhammad Azamn
Aziz, 21, yang terkena pada lehernya.

Sementara itu, pihak polis juga telah bertindak menangkap beberapa
pimpinan
PAS yang dimulai oleh Exco PAS Terengganu yang juga bekas Ahli Parlimen
Kuala Nerus, Haji Shukrimun.

Orang awam yang turun bagi menghadiri ceramah tersebut juga cuba menangkap
pegawai polis yang tidak beruniform setelah menyedari kehadiran dan
tindakan
mereka yang mencurigakan.

Dalam keadaan yang tidak terkawal tersebut, polis telah berjaya menangkap
23
orang awam, berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat parah.

Mustapa kesal dengan perancangan yang dibuat oleh polis dan Umno-BN
mencetuskan provokasi yang menyebabkan kekecohan terjadi.

Bahkan beliau percaya terdapat campurtangan Umno kerana ada pihak yang
melihat ada beberapa 'orang yang tidak dikenali' muncul setelah kejadian
tersebut membawa bendera Umno serta membakarnya.

"Kemudian, mereka menuduh pembangkang yang mencetuskan provokasi tersebut
disebabkan adegan membakar bendera tersebut," katanya tegas.

Terdapat tiga orang wartawan yang ditangkap serta semua jurugambar juga
dirampas kamera mereka.

"Sebab itu kita lihat hampir semua akhbar menyiarkan gambar yang sama,
kerana sumber maklumat serta gambar itu adalah daripada polis yang
bertugas,
bukan daripada wartawan dan jurugambar yang bertugas," tegasnya lagi.

*PAS tubuh 'legal team, hantar memorandum pada Suhakam*

Ini adalah kali pertama pihak polis menggunakan peluru hidup dalam majlis
ceramah bagi menyuraikan orang ramai yang hadir dan bertentangan dengan
prosedur polis.

Katanya, PAS juga telah membuat laporan polis bagi pihak mangsa yang
ditembak.

Beliau menyerahkan tugasan untuk menyiasat kejadian tersebut kepada
pasukan
'legal team' yang diketuai oleh AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin

PAS juga ujarnya, akan mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia(Suhakam), Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Terengganu
berhubung insiden tersebut.

Sidang media yang diadakan bertujuan memperbetulkan maklumat yang telah
disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang menyatakan bahawa
pembangkang
telah bertindak.

Sidang yang dipengerusikan oleh AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman dimulai
dengan
penjelasan Dato' Mustapa Ali yang diikuti oleh kenyataan beberapa pimpinan
Barisan Alternatif lain iaitu, Setiausaha Agung Keadilan, Tan Sri Khalid
Ibrahim; Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Arutchelvan;
Jurucakap
Bersih, Ronnie Liu; Ahli Parlimen Seputeh, Theresa Kok dan Jurucakap
Suaram,
Yap Swee Seng.

Dalam sidang tersebut, beliau menyatakan kebimbangan terhadap orang ramai
yang telah mempunyai persepsi buruk kepada penganjur iaitu PAS sebagai
tuan
rumah yang mengadakan program Bersih ini sebagai tidak melakukan proses
yang
sepatutnya menurut undang-undang.

"PAS telah mengemukakan permohonan untuk mengadakan program tersebut
berdasarkan bukti surat yang bertarikh 30 Ogos," ujarnya sambil
menunjukkan
lampiran surat yang dikemukakan.

Pihak polis ujarnya menjawab permohonan tersebut, bahawa ia tidak
diluluskan
pada 6 September yang lalu kerana semua alasan ini tidak boleh diterima
kerana ia tidak benar.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato'
Kamarudin Jaafar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Anuar
Tahir;
Dato' Abu Bakar Chik; Dr Dzulkifli Ahmad; Ketua Penerangan PAS, Mahfuz
Omar;
Sekretariat Bersih, Faizal Mustafa; Hanipa Maidin dan Ketua Angkatan Muda
KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Sidang media kira-kira dua jam tersebut mendapat liputan yang meluas
daripada seluruh media serta pegawai-pegawai polis yang diarahkan datang
bertugas untuk mendapatkan maklumat. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: