Keluarga Azlina Jailani
Bagi pihak seluruh ahli keluarga Azlina Jailani kami mengucapkan jutaan
terima kasih di atas segala doa, bantuan dan sokongan seluruh warga Islam
yang prihatin kepada cubaan yang menimpa kami sekeluarga. Sesungguhnya
kami telah banyak mengalami pelbagai bentuk kesusahan dalam mengharungi
ujian getir ini dan sokongan yang diberikan sedikit sebanyak telah
meringankan beban yang kami tanggung.
Azlina Jailani telah kami besarkan dengan penuh kasih sayang dan
diberikan pendidikan sewajarnya termasuk pendidikan agama yang mencukupi.
Beliau merupakan seorang anak yang taat dalam menjalani kewajipannya
terhadap Ilahi sehinggalah episod yang menyedihkan ini berlaku.
Namun kasih sayang keluarga kepada Azlina tidak pernah pudar. Dari awal
lagi apabila keluarga mengetahui kecenderungan Azlina, keluarga telah
berusaha dengan pelbagai cara untuk memujuk Azlina kembali. Ini termasuk
meminta bantuan para alim ulama agar menasihati Azlina. Mak Som, Ibu
Azlina sendiri telah berusaha ke Mekah mengerjakan umrah semata-mata
untuk mendoakan agar Azlina kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya tidak
ada ikatan yang lebih kukuh selain ikatan kasih antara seorang ibu dengan
anaknya. Dalam ikatan kasih suci ibu pula, tidak ada yang lebih utama
selain memastikan anaknya sentiasa mengikuti jalan yang diredhai Allah
swt. Setiap Muslim tentunya mengharapkan seluruh ahli keluarganya dapat
berhimpun di akhirat kelak di syurga Allah.
Kami sekeluarga tetap mendoakan Azlina dapat kembali ke pangkuan
keluarga. Kami tidak menyalahkan beliau dalam hal ini. Bagi pihak yang
cuba untuk mempengaruhi beliau, kami memohon agar memahami penderitaan
ibu dan keluarga Azlina dan janganlah terus menghalang hubungan ibu dan
anaknya.
Sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah
membantu. Kami berharap semua agensi dan organisasi yang selama ini
membantu kami akan terus mempergiatkan usaha dan terus berdoa agar
penderitaan kami ini dapat diakhiri.
HAJAH KALTHUM OMAR
Ibu kepada saudari Azlina Jailani
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment