Friday, July 01, 2005

Surat Saifuddin Nasution 22 Feb 1999

Surat Saifuddin Kepada Kakitangan Awam

Kepada:

Semua Kakitangan Awam yang di hormati,

BERKHIDMAT UNTUK AGAMA BANGSA DAN NEGARA

Seluruh rakyat Malaysia sesungguhnya bersyukur dengan adanya kakitangan awam yang cekap, berdedikasi, rajin dan bertimbangrasa. Melaluinya rakyat akan mendapat perkhidmatan yang baik tanpa melibatkan karenah birokrasi yang keterlaluan.

Satu faktor yang kuat mempengaruhi kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam ialah kepemimpinan politik negara. Apabila berlaku campurtangan yang berlebihan kuasa politik ke atas kakitangan awam, amanah rakyat yang terpikul pada bahu kakitangan awam akan terjejas. Kepentingan siapa yang wajib dipertahankan, kepentingan rakyat terbanyak atau kepentingan segelintir pemimpin politik?

Kita percaya kakitangan awam yang juga anggota masyarakat sangat perihatin dengan isu-isu keadilan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan negara. Fitrah manusia yang dijadikan Tuhan sentiasa terdorong kepada kebaikan dan bencikan kezaliman dan penyelewengan. Melainkan apakala nafsu serakah menguasai diri, manusia tidak lagi dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk.

Pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 17 tahun telah melalui banyak perubahan sejak 1981. Sumbangannya bukan sedikit. Tempoh 17 tahun itu menyaksikan negara kita mengalami banyak perubahan. Ekonomi negara rancak tumbuh dan berkembang. Pendapatan per kapita penduduk meningkat. Kadar pengangguran menurun. Pembangunan dilihat di mana-mana, terutamanya pembangunan fizikal. Bangunan tertinggi di dunia, lapanganterbang terhebat, lebuhraya tercanggih dan serba serbi yang semuanya lebih dari orang lain.

Rupa-rupanya di sebalik kejayaan dan kehebatan itu rakyat terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Tanpa sedar, negara kini menyaksikan penguasaan berlebihan Dr Mahathir ke atas pelbagai instrumen pemerintah yang sepatutnya berkhidmat untuk kepentingan rakyat. Polis, hakim, mahkamah dan media kini berjalan mengikut skrip yang ditentukan oleh Dr Mahathir. Skripnya cukup mudah, Dr Mahathir dan familinya mestiá dipertahankan. Untuk itu Dr Mahathir mesti terus berkuasa, supaya perniagaan anak-anaknya dan kroninya dapat terus dibantu.

Perniagaan mereka besar. Hutangnya juga besar. Berbeda dengan perniagaan Pak Abu yang menjual nasi lemak di Pokok Sena, perniagaan Mirzan Mahathir, Mokhzani Mahathir, Mukhriz Mahathir, Ting Pek Khing, Ananda Krisna dan Vincent Tan (sekadar menyebut beberapa nama), mampu menyumbang 28 % cukai korporat sebagai pendapatan negara. Lagi pula perniagaan mereka punya reputasi sebagai industri strategik negara. Sementara perniagaan Pak Abu bebas dari Nepotisma, Kroni, Kolusi dan rasuah, perniagaan mereka sudah tentu tidak mampu hidup tanpa amalan jijik ini. Pinjaman bank dijamin oleh kerajaan. Kekadang diberikan tanpa collateral atau cagaran. Kalau tidak mampu bayar balik kerana krisis ekonomi sekarang, kerajaan akan bayarkan untuk mereka. Sedangkan permohonan pinjamaná bank Pak Abu sebesar RM30 000 ditolak kerana tiada cagaran. Itupun setelah menunggu selama setahun. Ramai lagi yang senasib dengan Pak Abu lantaran tidak kenal orang besar.

Apabila projek Bakun ditangguhkan, Ting Pek Khing mendesak dibayar pampasan. Ting minta dibayar sehingga RM 1.6 billion, walaupun Price Waterhouse yang dilantik kerajaan cuma meluluskan separuh dari jumlah itu.

Apabila Mirzan Mahathir mengalami masalah dengan perniagaan kapalnya Konsortium Perkapalan/Diperdana, Dr Mahathir sendiri mengarah supaya Petronas membayar RM 2.2 billion. Anwar Ibrahim dan Petronas akhirnya terpaksa bersetuju membayar RM 1.7 billion. Dr Mahathir sangat marahkan Anwar dan percaya Mirzan mengalami rugi besar. Ini cuma secebis maklumat yang kita percaya kakitangan awam amat maklum mengenainya.

Rahsia perkhidmatan awam diketahui oleh kakitangan awam. Misalnya dalam projek penswastaan. Cadangan projek dikaji oleh kementerian terbabit, EPU dan Perbendaharaan. Kakitangan awam tahu kos sebenar projek. Kakitangan awam juga tahu cost overrun. Kakitangan awam juga terdedah dengan kuasa ghaib (influence paddling) yang sentiasa menyebelahi syarikat swasta. Ini berlaku apabila perjanjian IPP-YTL dengan TNB ditandatangani. Tan Sri Ani Arope tidak boleh berbuat apa-apa apabila didesak menandatangani perjanjian tersebut walaupun syarat-syarat perjanjian tidal adil kepada TNB dan pengguna. Sekarang apabila Tan Sri Tajuddin Ali cuba berunding semula, Dr Mahathir kata tidak boleh sebab perjanjian telah ditandatangani. Rupa-rupanya Mokhzani Mahathir mempunyai kepentingan 20% dalam IPP-YTL!

Alasan yang sama diberikan apabila rakyat membantah kenaikan bayaran tol. Jelas apabila berlaku percanggahan antara kepentingan rakyat dengan kepentingan kapitalis swasta, Dr Mahathir akan berpihak kepada kapitalis swasta. Slogan Tradisi Membela Rakyat terbang dibawa angin. Slogan ini akan muncul lagi menjelang pilihanraya nanti. Rakyat senang 'dijaga'. Lima tahun sekali waktu kempen pilihanraya berikan mini tar, subsidi, kain batik, tanah merak, titi dan jambatan kecil. Selepas menang pilihanraya, kepentingan rakyat diabaikan. Kita percaya saudara kakitangan awam tidak dapat menerima keadaan ini. Marilah kita teruskan berkhidmat kepada rakyat. Kita pastikan semua institusi kerajaan samada perkhidmatan awam, polis, tentera, badan berkanun dan kehakiman berkhidmat secara jujur, adil dan amanah. Teruskan perbincangan dan perbahasan di pejabat saudara mengenai isu ini. Sebarkan maklumat seluas-luasnya secara lisan, surat, internet dsb.

Renungilah pesanan Saidina Ali karramallah huwajhah: "Penindasan berjalan apakala berlaku kerjasama baik antara penindas dan yang ditindas ". Semoga Allah swt memberi keampunan dan keberkatan kepada kita.

Sekian. Terima kasih.

Saifuddin Nasution Haji Ismail

Bekas Setiausaha Politik Pemuda UMNO Malaysia
Bekas Setiausaha Politik Menteri Pertahanan
22 Feb 1999.

No comments: