Friday, July 01, 2005

Sajak 1

i

mana mungkin senyum kembang dari sedih?
darah sekeluarga dialirkan ke tanah dan air melaka,
oleh suami yang harus dikasihi kerana pernikahan.
rumah hidup ini jadi lembah tengkujuh
negeri sempit direnungi oleh kekejaman
hidup mungkin berakhir di kata fitnah.

ii

tiada manusia lain yang menjalani malam ini
seperti aku, dan aku juga sesedih melaka
yang menunggu di luar akan nafasnya,
di dalam hidup pendek ini
aku jadi saksi pada pembunuh ayah, suami
dan saudara yang berdarah dan berdaging bendahara,
aku melihat orang yang baik dijahatkan
dan orang yang pandai berkata dinobatkan.
melaka boleh dibeli dengan emas,
niat dikabulkan dengan bungkal pemberian,
rakus dagang dan pendatang
mudah menamatkan turunan keluarga.

tua negeri ini,
diketuai oleh umur di hujung usia,
akal nyanyuk dikekalkan
supaya pilihan berterusan,
kezaliman menjalar kepada anak muda,
wang merampas peraturan
pangkat menghalalkan perbuatan.
bagaimana mungkin senyuman datang ke bibir
kerana di negeri ini ada bau maut
yang bertiup dari kubur yang mengelilingi kota?
zalim bermaharajalela,
apakah akan terjadi pada melaka?



Professor Muhammad Haji Salleh
"Sajak-Sajak Sejarah Melayu", 1981

No comments: