Friday, July 29, 2005

[Malaysia] TNB Mahu Semak Tarif 3 Bulan Sekali

TNB mahu kaedah semakan tiga bulan sekali digunakan untuk menentukan kenaikan atau penurunan kadar tarif

Berita Harian, 29 Julai 2005


TENAGA Nasional Bhd (TNB) memberi jaminan sebarang kenaikan tarif elektrik tidak akan memberi kesan menyeluruh kepada semua pihak dan akan dibuat secara berperingkat. Ketua Eksekutifnya, Datuk Che Khalib Mohd Noh, berkata jika kerajaan memutuskan untuk menaikkan tarif elektrik, ia membabitkan pelarasan dengan kadarnya berbeza di antara kategori pengguna.

Beliau menjelaskan, sebab itulah dalam cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan, TNB memberi cadangan digunakan semula formula “pass-through” dalam menentukan kadar tarif elektrik.

Mengikut formula itu, semakan terhadap kos bahan bakar dibuat setiap tiga bulan, yang mana ia menentukan keputusan sama ada untuk menaikkan atau menurunkan kadar tarif elektrik.

Tanpa menyatakan sama ada kerajaan meluluskan permohonan semakan tarif yang dikemukakan TNB, Che Khalib berkata, formula itu berkesan kerana kadar yang dibayar pengguna akan ditentukan berdasarkan kepada kos bahan mentah, terutama produk petroleum.

Beliau berkata, bagi mengelak kesan mendadak kenaikan tarif elektrik, TNB juga meminta kerajaan menimbangkan harga gas dinaikkan secara berperingkat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Pada satu pertemuan dengan media di Kuala Lumpur, semalam, Che Khalib menegaskan, cadangan TNB bukan semata-mata mengenai kenaikan tarif, sebaliknya lebih kepada menerangkan isu yang dihadapi TNB.

"TNB menjelaskan kepada kerajaan mengenai pelbagai perkara yang perlu dilakukan (bagi pembaikan perkhidmatan) termasuk aspek penyelenggaraan dan penggantian aset," katanya.

Che Khalib menegaskan, TNB yang kini dibebani hutang RM30.5 bilion tidak boleh terus berhutang untuk membiayai perbelanjaan modalnya.

Setiap tahun TNB perlukan antara RM4-RM4.5 bilion yang mana sebahagian besarnya untuk penyelenggaraan dan membaiki aset penghantaran dan pengagihan.

"Dalam tempoh 20 tahun lalu, tarif hanya dilaraskan semula dua kali iaitu pada 1996 dan 1997. Itupun disebabkan kenaikan harga minyak dan perubahan pertukaran mata wang.

"Sedangkan dalam tempoh itu, pelbagai kos lain seperti gaji kakitangan, peralatan dan aset penghantaran dan penjanaan telah naik," katanya.

Che Khalib berkata, disebabkan pendapatan yang semakin terhad, TNB terpaksa memilih antara menyelenggara aset dan sistem dengan membuat pelaburan penyambungan tenaga ke kawasan pembangunan baru.

"Dalam banyak keadaan, kami mesti memberi tumpuan kepada penyambungan ke kawasan baru yang setiap tahun membabitkan peruntukan sehingga RM1.5 bilion, pada masa sama memperuntukkan untuk pembaikan sistem dan aset. Kami tidak boleh menanti sistem rosak baru hendak diganti," katanya.

Che Khalib, antara beberapa ketua eksekutif yang menamatkan tahun pertama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) "berjiwa baru" turut menggariskan beberapa pencapaian TNB dalam tempoh itu.

Antaranya ialah kutipan tunggakan hutang bil, mengurangkan kerugian kehilangan teknikal (penghantaran elektrik), mengekang kegiatan mencuri elektrik dan peningkatan keberkesanan kos.

Sehingga kini, TNB mengutip RM190 juta hutang daripada lima kilang besi yang menjadi pemiutang terbesar, sementara 100 pasukan pengesan kecurian elektrik telah mengutip bil tertunggak RM143 juta, mengurangkan kos perbelanjaan pejabat sebanyak RM70 juta dan sistem KPI untuk kakitangan pengurusan.

"Secara keseluruhannya TNB mensasarkan penjimatan RM800 juta tahun ini, dan setakat ini kami mencapai RM400 juta," katanya

No comments: