Monday, July 11, 2005

[Malaysia] Khalid Jafri Bersalah!

Khalid Jafri dihukum setahun penjara
Arfa'eza A Aziz, Malaysiakini
Jul 8, 05

Penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", Datuk Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah hari ini dijatuhkan hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Ampang kerana didapati bersalah menulis maklumat palsu dalam buku berkenaan.

Buku tersebut memainkan peranan besar dalam pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998.

Hakim Mohamad Saman Mohamed Ramli mendapati Khalid bersalah pada 25 Jun lalu dan menetapkan 6 Julai lalu untuk menjatuh hukuman. Bagaimanapun, ia kemudian ditangguh sehingga hari ini.

Hukuman tersebut berkuatkuasa mulai hari ini. Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan. Mahkamah juga melanjutkan ikatjamin ke atasnya.

Khalid, bekas wartawan, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Media Pulau Lagenda, Taman Kosas, Ampang di sini, pada Mei 1998.

Berniat jahat

Dia didakwa mengikut Seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Khalid didakwa menerbitkan dengan niat jahat berita palsu mengenai hubungan sulit Anwar dengan dan isteri bekas setiausaha sulitnya, Shamsidar Taharin, sehingga melahirkan seorang anak perempuan, pada muka surat 50 Dalil itu.

Khalid mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 12 Ogos 1998 dan pada peringkat pendakwaan, seramai 11 saksi memberi keterangan.

Pada 19 Februari 2003, Mohamad Saman mengarahkan Khalid membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pembelaan telah mengemukakan dua saksi iaitu Khalid sendiri dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan serta memanggil semula saksi pendakwaan Supt Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin.

Khalid kelihatan tenang ketika keputusan dibuat, tetapi enggan mengulas mengenai hukuman penjara itu, dengan berkata beliau tidak mahu didakwa menghina mahkamah.

“Tapi kita kembali kepada hukum tuhan. Yang haram tetap haram Tak boleh yang haram dihalalkan,” katanya.

Ketika menjatuhkan hukuman, Mohamad Saman berkata Khalid gagal untuk mengambil langkah yang mencukupi untuk mengesahkan kebenaran tuduhan bahawa Shamsidar dan Anwar mempunyai anak di luar nikah.

Kesan terhadap anak terbabit

Sebaliknya, kata beliau, ianya telah dibuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa anak tersebut adalah anak kepada Mohd Azmin and Shamsidar.

Menurut Mohamad Saman lagi, kesalahan Khalid itu mungkin memberi kesan kepada anak tersebut yang identitinya dilindungi oleh pihak mahkamah.

Katanya, dalam tempoh 20 tahun lagi apabila anak tersebut sudah besar, dia mungkin terbaca laporan perbicaraan ini yang mendapat liputan meluas pihak media dan begitu juga buku berkenaan.

“Persoalan mungkin timbul di fikirannya. Dia mungkin bertanya dirinya, siapakah saya?” tambah Mohamad Saman.

Anak tersebut, katanya, mungkin akan mendapat tahu yang emak saudaranya, Ummi Hafilda adalah orang pertama yang membuat tuduhan tersebut.

Menurutnya, persoalan-persoalan itu pastinya akan mengganggu anak tersebut dan katanya, beliau sedih apa yang berlaku terhadapnya.

Mohamad Saman berkata, ketika menjatuh hukuman, beliau turut mengambil kira umur Khalid, keadaan kesihatannya dan kedudukan kewangannya.

Katanya, beliau juga menyedari bahawa buku tersebut tidak dijual dengan banyak berikutan perintah mahkamah yang diperolehi oleh Anwar untuk menyekat penjualannya ketika itu.

Mohamad Saman berkata, beliau juga tahu yang Khalid tidak mendapat banyak keuntungan daripada jualan buku tersebut.

No comments: