Friday, July 29, 2005

[Malaysia] PAS mohon PM kaji balik permit Harakah

PAS mohon PM kaji balik permit Harakah
Thursday, July 28 2005

Setelah disekat mulai tahun 2000 kepada dua kali sebulan sahaja
Oleh EKMAL YUSOF

SRI MANJUNG (Perak), 28 Julai (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa memohon Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkaji balik permit Harakah agar boleh dikeluarkan dua kali seminggu sebagaimana sebelum ini.

"Kita pohon kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar dapat meluangkan sedikit masa demi untuk rakyat, yang sesama Melayu, Islam, satu keturunan dan bahasa agar dapat memberi masa 15 minit bercakap mengenai Harakah.

"PAS meminta yang Dato' Seri Abdullah sebagai sifat sebagai Menteri Dalam Negeri melonggarkan syarat supaya dapat Harakah diterbitkan dua kali setiap minggu seperti dulu."


Nasharudin berkata demikian dalam ucapannya di majlis ceramah dekat Air Tawar disini baru-baru ini.

Ini adalah majlis pertama beliau di Perak selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS di Kota Bharu sebelum ini.

Harakahdaily difahamkan, Nasharudin selaku Setiausaha Agung PAS sebelum ini telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk membolehkan kedua-dua belah pihak, Harakah dan kerajaan, bertemu bagi membincangkan soal permit Harakah itu.

Mulai Mac 2000, permit Harakah telah disekat oleh kerajaan iaitu Kementerian Dalam Negeri yang dipimpin oleh Abdullah sendiri.

Kalau sebelum itu Harakah boleh diterbitkan dua kali seminggu, selepas Mac 2000, Harakah hanya dibenarkan terbit dua kali setahun sahaja.

Kononnya, ia selaras dengan penerbitan media milik parti politik yang lain.

Walau pun sudah sekian lama surat itu dihantar, maklum balas mengenainya belum diperolehi dari Pejabat Perdana Menteri.

Permit Harakah perlu diperbaharui pada setiap 28 Februari pada setiap tahun.

“Apalah salahnya Harakah terbit dua kali seminggu, takkan Umno dan BN bolih tumbang dengan permintaan sedikit itu.

"Ini kerana kerajaan ada pelbagai media arus perdana termasuk TV, RTM dan radio.

"Lagipun ini hak kami bukan perkara baru hanya menuntut dikembalikan hak PAS sahaja iaitu memiliki akhbar yang dibenarkan terbit dua kali seminggu untuk melaporkan aktiviti PAS sebagai sebuah parti politik yang sah, bukan akhbar harian pun," kata Nasharudin di majlis itu.

No comments: