Friday, July 01, 2005

[Anwar Ibrahim] Warkah Penjara 3 Mac 1999

WARKAH DARI PENJARA

3 Mac 1999
Penjara Sungai Buloh, Selangor

Yang Mulia Tan Sri Pengerusi dan
Ahli-Ahli, Suruhanjaya Siasatan
Kecederaan Anwar Ibrahim,
Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Assalamu 'alaykum WarahmatuLlahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Selaku pengadu dan mangsa keganasan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya atas keprihatinan dan wewenang memberikan ruang kepada saya melaporkan peristiwa malang malam 20 September 1998 yang lalu. Sikap Tan Sri Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya mencerminkan komitmen pengendalian urusan kehakiman yang sewajarnya bebas, bijaksana untuk mencari kebenaran dan menegak keadilan.

Saya telah memohon melalui peguam untuk memberikan kesempatan menjelaskan beberapa isu mendesak setelah membaca laporan keterangan daripada saksi-saksi lainnya dan Tan Sri Rahim Nor sendiri. Keterangan yang saya berikan sebelum ini adalah sebelum mendengar keterangan saksi-saksi utama dan memperolehi laporan doktor. Saya juga perlu memberikan pandangan bersabit dengan kenyataan Dato' Seri Mahathir Muhammad dan Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara berhubung kecederaan yang saya alami. Dan saya kira ianya masih relevan merujuk kepada bidang tugas Suruhanjaya mengenai kecederaan dan konspirasi yang menyebabkan kecederaan. Saya menghormati keputusan Suruhanjaya untuk melanjutkan penyiasatan setelah "pengakuan terhad" Tan Sri Rahim. Justeru itu, saya memohon pertimbangan Suruhanjaya untuk menerima kenyataan bertulis sebagai penjelasan lanjut.

"Pengakuan Terhad" Tan Sri Rahim Nor

Dari satu sudut, saya merasa lega dengan "pengakuan terhad" Tan Sri Rahim kerana sekurang-kurangnya telah mengesahkan kepercayaan saya selama ini. Saya telah dibelasah kuat ala-gestapo; dipukul dan ditampar hingga parah. Dengan pengakuan tersebut, percubaan berselindung dan menafi gagal. Ia juga menolak tanggapan nakal dan tidak bertanggungjawab termasuk Dato' Seri Mahathir yang secara gopoh mengandaikan kemungkinan kecederaan dialami akibat tindakan saya sendiri untuk meraih simpati, atau kerana provokasi terhadap polis. Sebahagian daripada sentimen tersebut dipertahankan oleh Tan Sri Mohtar Abdullah, kononnya sebahagian dari sentimen dan kecederaan yang saya dakwa adalah tidak benar.

Malangnya pengakuan Tan Sri Rahim Nor setelah berdolak-dalik selama lima bulan menzahirkan keangkuhan, tidak mengakui kesilapan, tidak memohon maaf dan masih terus dengan penipuan dengan mendakwa kononnya beliau terhilang punca kerana provokasi dari saya yang menuduhnya "bapa anjing". Dalam ingatan saya, istilah "bapa anjing" hampir tidak terpakai dalam bahasa Melayu. Tetapi istilah "bapa lanun" mungkin lebih serasi. Lagi pun pada ketika itu, mata saya ditutup dan tangan digari. Keterangan para doktor dan pegawai kanan polis telah memaksa beliau membuat pengakuan; namun sikapnya tetap angkuh dan degil. Apakah beliau merasakan akan terbela jua dengan jaminan oleh pihak tertentu?

Sementara Tan Sri Rahim melakukan keganasan di hadapan Pengarah Siasatan Jenayah, Dato' Yaakob M. Amin dan pegawai kanan polis lainnya, tidak ada laporan polis dibuat; tidak ada yang berani menerima laporan dari saya seolah-olah terdapat "konspirasi menyepi". Bahkan Tan Sri Rahim boleh terus menjalankan tugas seperti biasa tanpa sebarang sentuhan dhamir atau conscience. Beberapa hari kemudian beliau sanggup menipu rakyat dengan kenyataan bahawa saya berada dalam keadaan aman dan terkawal ("safe and sound"). Ini menimbulkan persoalan penting mengenai kewibawaan polis dan "budaya polis".

Sikap melampau sedemikian hanya tertera setelah pemecatan saya pada 2 September 1998. Saya sering diberikan amaran dengan nada angkuh oleh Ketua Polis Negara. Pasukan Khas di bawah SAC II Musa Hassan, yang kini telah dinaikkan pangkat, dan dibantu oleh ASP Rodwan, ASP Mazeli dan lain-lain berhempas pulas mengugut, mendera untuk mendapatkan pengakuan yang direka untuk mengaibkan saya bermula dengan kes Dato' Nalla diikuti oleh Dr. Munawwar, Sukma Darmawan dan Mior Abdul Razak. Seperti mana yang saya tegaskan dalam keterangan saya tempoh hari, Tan Sri Rahim pada awal bulan Ogos lalu telah merayu supaya saya menyelesaikan masalah politik dengan Perdana Menteri dengan sebaiknya. Perubahan sikap polis secara mendadak dipercayai atas arahan Perdana Menteri yang memperalatkan polis dan Jabatan Peguam Negara dan tentunya media tempatan untuk membinasakan karier politik saya. Tidak sekali dijangka bahawa pergelutan politik boleh berlarutan sehingga mengakibatkan kecederaan fisikal yang parah.

Tahanan Di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Pada malam 20 September, kawasan rumah saya dikepung, seterusnya pasukan Polis Tindakan Khas telah memecah pintu rumah dan menyerbu masuk seolah-olah saya adalah pengganas bersenjata. Pada hal saya telah membuat kenyataan umum dan peguam saya telah menulis kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara memberi pengakuan bahawa saya akan patuh menyerah sekiranya dikehendaki. Mungkin mereka mendapat arahan untuk menyerbu supaya saya cuba melarikan diri. Alasan inilah yang diidamkan mereka. Malangnya buat mereka, saya tidak mahu terperangkap dengan konspirasi peringkat tertinggi tersebut dan memilih untuk menenangkan keadaan dan bersedia untuk ke Bukit Aman diiringi oleh Azizah dan anak-anak. Penguasa Polis Brickfields memaklumkan bahawa saya ditahan di bawah Seksyen 377B dan D Kanun Keseksaan.

Namun setelah dibelasah teruk, dan melihat kecederaan yang parah, tahanan dipinda di bawah ISA. Seklali lagi ISA digunakan. Kali ini untuk menutup kemungkinan kecederaan diketahui oleh rakyat. Strategi mereka menggunakan pertuduhan seks yang direka-cipta akibat konspirasi terpaksa ditangguh buat seketika. Alasan dipinda kerana rusuhan dan keselamatan negara. Lantas saya bertanya mengapakah Akta Polis dan ISA menjadikan senjata ampuh untuk mempertahankan seseorang pemimpin meskipun tidak disenangi rakyat? Bahkan lebih parah lagi ialah manakala penderaan, keganasan dan kekejaman dibenarkan berlaku atas keselamatan negara.

Rawatan Perubatan

Keterangan para doktor mengenai kecederaan akibat dipukul kuat amat menggerunkan. Dr. Halim Mansa, pakar forensik menyebut bahawa bentakan bertubi-tubi di kawasan genting "lethal" telah mengakibatkan kecederaan parah dan berkemungkinan membawa maut. Di dalam keadaan sedemikian jua pun, rawatan perubatan dinafikan selama lima hari. Tan Sri Rahim menjelaskan beliau tidak menerima maklumat. SAC I Musa Hassan dan Dato' Ramli Yusuf telah menolak permohonan rawatan segera. Saya dibiarkan terlantar di atas simen lokap No. 6 Bukit Aman. Mujurlah anggota polis biasa yang bertugas begitu simpati, membantu mendemah bengkak dan seterusnya menyampaikan maklumat penting kepada saya.

Dalam keadaan kesakitan dan lemah, saya dipaksa beralih dengan perjalanan satu jam ke bilik kurungan tertutup rapi Cawangan Khas. Dalam keadaan saya yang terhoyong-hayang ACP Aziz dan pasukannya masih meneruskan soal siasat. Soalan hanya reda manakala saya menyentuh soal rasuah, bail-out untuk sanak saudara dan kroni, rompakan harta dan khazanah negara. Pada hari kelima, Dr. Vasantha muncul untuk memberi rawatan pertama. Menurut keterangannya, beliau diberi amaran supaya jangan mengemukakan pertanyaan mengenai kecederaan. Permohonan beliau untuk rawatan lanjut dari pakar optamologi dan ortopedik ditolak.

Siapakah yang bertanggungjawab mengarah supaya penderaan berlanjutan? Dan mengapakah senjata ISA dan Akta Polis diperalatkan demikian rupa tanpa kawalan dan pertanggungjawaban?

Penglibatan Peguam Negara

Saya juga telah menyentuh perilaku-perilaku Tan Sri Mohtar, Peguam Negara setelah saya dipecat. Kenyataan dan tindakan beliau dan jabatannya adalah mencurigakan. Afidavit polis (sekali lagi Musa Hassan dan Peguam Negara dalam kes Dato' Nalla) dibuat dengan cara yang leceh, tidak berdasarkan pertimbangan undang-undang atau prinsip keadilan, bahkan menjadikan Jabatan Peguam Negara sebagai alat dan perkakasan politik murahan atas arahan Dato' Sri Mahathir. Beliau sanggup mengumpulkan pertuduhan menakjubkan menjadikan saya sebagai penderhaka, mengamalkan rasuah dan salah laku seks; gabungan kesalahan paling hebat dalam sejarah malang bagi Jabatan Peguam Negara yang kini diremehkan ke peringkat serendah dan sekeji ini.

Dalam sidang khas pegawai tinggi polis di Bukit Aman pada 22 September 1998 bagi membahaskan di antara lain soal penangkapan saya, Dato' Gani Patail turut terlibat. Arahan perubahan tahanan di bawah ISA dibuat semasa beliau di sana. Setelah pasukan Siasatan Khas yang diketuai oleh ACP Mat Zain Ibrahim menyelesaikan tugas, laporan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, diteliti oleh Dato' Gani dan Azhar Mohammad. Kebetulan juga mereka terlibat dengan pendakwaan saya dan bersabit dengan tuduhan serius dalam akuan bersumpah Manjeet Singh.

Di hari pertama saya dihadapkan ke mahkamah pada 29 September 1998, satu permohonan oleh peguam Y.M Raja Aziz Addruse yang dikira biasa bagi tertuduh, yang didakwa didera tatkala dalam tahanan polis melaporkan kepada majistret telah dibantah oleh Dato' Gani Patail. Menurutnya, saya hanya mengalami "kecederaan ringan" sahaja.

Walau bagaimanapun, saya dibenarkan memberi kenyataan ringkas, beberapa jam kemudian. Saya beranggapan wujudnya perancangan untuk menutup maklumat kecederaan dari diketahui umum. Bahkan pihak polis mengambil langkah-langkah luar biasa melarang dan melindungi agar gambar saya tidak diambil.

Saya telahpun memohon supaya Suruhanjaya mengkaji beberapa laporan yang dikemukakan kepada Peguam Negara oleh ACP Mat...... Oleh kerana ia berkaitan dengan isu kecederaan perlu diteliti peranan yang dimainkan oleh Dato' Gani dan Azhar dalam menilai laporan tersebut, lebih-lebih lagi kerana prasangka jelas mereka terhadap saya. Ini dapat disahkan dari kenyataan Peguam Negara bertarikh 5 Januari 1999 yang cukup lemah, tidak profesional dengan menzahirkan niat serong terhadap saya. Setelah mendapat keterangan delapan doktor pakar, beliau tokok alasan munasabah mengundang pakar forensik tambahan yang tidak menemui atau menyiasat saya tetapi membuat laporan mempertikai laporan doktor pakar terdahulu, walau bagaimanapun, keterangan Dr. Abdul Rahman Yusof kepada Suruhanjaya memperakui laporan tersebut. Apakah beliau kurang senang dengan perakuan tersebut sehingga terpaksa mencari pandangan lain lagi berdasarkan satu pendapat ini. Peguam Negara membuat kesimpulan yang memberi sedikit kepuasan kepadanya, kerana mempertikaikan perakuan dan aduan.

Setelah memengap laporan siasatan khas selama dua bulan, beliau membuat keputusan mempertikai sebahagian kecedaraan yang diadu: belum bersedia mengemukakan kes prima facie; dan seterusnya meletakkan PDRM sebagai bertanggungjawab. Hanya Peguam Negara yang memilih untuk terkeliru di antara kecederaan baru dan masalah saya sebelumnya, termasuk refflux oesophagitis dan cervical spondylitis. Kini tidak ada doktor yang mempertikai. Cuma prasangka tebal Tan Sri Mohtar menyebabkan beliau cepat menghukum saya tidak memberikan keterangan yang tepat. Mengenai sama ada terdapat asas prima facie, alasan dan bukti lebih kukuh sekiranya Peguam Negara tidak terikat dengan pendekatan "pendakwaan terpilih". Mengenai tanggungjawab polis, kita tidak perlu menunggu dua bulan dari tempoh laporan dan hampir empat bulan dari tempoh kejadian untuk diberitahu maklumat asas tersebut. Yang agak menarik ialah apakah Kementerian Dalam Negeri tidak ada kaitan sama sekali?

Perdana Menteri Dan Menteri Dalam Negeri

Saya akui kesulitan Suruhanjaya, lebih-lebih lagi Ketua Penyiasat Tan Sri Abu Talib untuk menjemput Dato' Seri Dr. Mahathir membantu penyiasatan dan memberi keterangan. Tetapi, sekurang-kurangnya beliau harus memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat lengkap selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu. Ketua Polis Negara bertangungjawab langsung kepadanya. Dalam keadaan yang cemas dan gawat, menurut Tan Sri Rahim Noor sendiri dengan perhimpunan sekitar 60,000 orang, mustahil bagi beliau untuk tidak melaporkan setiap perkembangan yang berlaku.

Sekiranya Dato' Seri Dr. Mahathir menyatakan tidak dimaklumkan sama sekali tentang apa yang berlaku, nyata sekali pimpinan daif dan meleset kerana kurang bertanggungjawab. Justeru itu pimpinannya tidak relevan lagi. Di sebaliknya, andai kata mengetahui mengenai keganasan yang berlaku, mengapa beliau memilih untuk berdusta kepada rakyat. Pertama, beliau menuduh saya dan penyokong reformasi mengadakan perhimpunan untuk mengelak diri saya dibawa ke mahkamah, walhal kecederaan parahlah yang menyebabkan kes terpaksa ditangguh. Kedua, beliau menyangkal mengenai kecederaan dengan menyatakan kemungkinan saya mencederakan diri saya sendiri. Bahkan setelah kecederaan diketahui umum, beliau sama sekali tidak menunjukkan sikap prihatin dan bertanggungjawab. Kenyataan-kenyataan lebih didorong perasaan berang dan dendam kesumat. Inilah sikap yang memungkinkan hulubalang dan "lanun" bertindak ganas untuk menjaga kepentingan tuan mereka!

Dan selaku Perdana Menteri, Peguam Negara akan merujuk semua urusan utama. Saya telah cuba membuktikan berdasarkan dokumen-dokumen bahawa Peguam Negara tidak bebas dalam memutuskan pertuduhan yang melibatkan mana-mana tokoh penting atau dalam memutuskan perkara besar.

Maka tidak mustahil bagi Peguam Negara untuk mendapatkan kelulusan Perdana Menteri sebelum mengeluarkan kenyataan hambar mengenai penyiasatan pada 5 Januari 1999. Dan kini, setelah lebih 5 bulan peristiwa tersebut berlaku, Perdana Menteri dengan kuasa yang hampir mutlak mampu sekadar mengatakan bahawa beliau menyerah segala-galanya kepada Peguam Negara!

Penutup

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana sekurang-kurangnya dalam tempoh singkat, keterangan kepada Suruhanjaya telah mendedahkan banyak fakta yang sengaja dirahsiakan atau cuba dibendung selama ini. Atas alasan-alasan sedemikianlah saya telah berulang kali merayu agar Suruhanjya menimbangkan aspek-aspek kecederaan, punca dan suasana selepas serangan termasuk konspirasi berkaitan. Seperti mana yang saya tekankan, saya tidak berhasrat menonjolkan kes dan pengalaman tersebut sebagai isu peribadi. Jika pengalaman seteruk ini boleh menimpa seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, apakah jaminan keseluruhan undang-undang serta pertimbangan keadilan bagi rakyat biasa di negara Malaysia tercinta ini?

Peristiwa tersebut harus dijadikan pengajaran. Undang-undang harus dipatuhi oleh semua dan dilaksanakan secara adil. Orang yang diamanahkan harus memikul tanggungjawab dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Rakyat kian insaf dan sedar. Kejadian tersebut juga telah mendedahkan ratusan kisah penderaan dan keganasan pihak berkuasa dan polis. Akta Polis dan pengendalian Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh Cawangan Khas bukanlah sijil untuk digunakan sewenang-wenangnya secara rakus. Ketidakadilan dan keganasan harus dihentikan. Pihak polis harus mengerti tugas menjaga keamanan dan keselamatan yang amat penting. Dan ini dibedakan dengan urusan parti politik dan kepentingan individu pemimpin yang tidak tergolong atau harus dirangkul sebagai tanggungjawab polis.

Akhir sekali, kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga pendedahan kes ini memulakan prinsip ketelusan tidak percubaan berselindung; prinsip keadilan dan tidak mempertahankan keganasan dan kezaliman; kepada pihak Suruhanjaya, saya ucapkan terima kasih kerana sumbangan ke arah usaha mencari kebenaran dan menegak keadilan.

Was 's-Salamu 'alaykum WarahmatuLlah dan Salam Hormat.

Ikhlas,

Anwar Ibrahim.

No comments: