Friday, July 01, 2005

Risalah Untuk Kaum Muslimin

Berikut adalah sedutan mukadimah penyampaian Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas di Seminar Faham Agama dan Kaitannya dengan Gejala Murtad, yang diadakan di Dewan Besar ISTAC, 26 Julai 1998.


Hampir 30 tahun yang lalu, saya ada menulis satu risalah yang dinamakan "Risalah Untuk Kaum Muslimin". Tapi risalah itu tidak diterbitkan, mungkin kerana pada waktu itu saya terasa tidak sesuai masanya untuk menerbitkannya. Tapi bila saya tinjau kini, hampir semua perkara yang saya bincangkan dalam risalah itu sedang berlaku sekarang. ABIM sendiri menggunakan istilah Risalah yang berasal daripada itu sebetulnya.

Untuk memulakan perbincangan kita, saya ingin membaca beberapa muka dari Risalah itu supaya meletakkan kita di dalam rangka perbincangan kita, yang juga turut menunjukkan masalah kita.

"Wahai saudaraku, seringkali telah kau tanyakan kepadaku oerihal Islam dan Kaum Muslimin dewasa ini. Seringkali telah kau tanyakan mengenai Islam dan peranannya sekarang dalam dunia yang sedang giat berubah corak dan nilai, yang sedang pesat mengalami perubahan-perubahan luas dan mendalam akibat perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Kau telah bertanya apakah makna Islam bagi Kaum Muslimin dewasa ini. Apakah Islam itu sesuai untuk zaman yang aneka rupa yang sedang dia tempuh kini? Tiadakah patut Islam pun harus mengalami perubahan-perubahan seperti yang dialami oleh agama-agama lain di dunia?

"Tiadakah patut pula kita, demi berusaha mentafsir semula Islam, dari memperoleh panduan kehidupan ini, kembali sahaja terus kepada Al-Qur'an dan Sunnah tanpa merujuk kepada sumber-sumber lain dalam perbendaharaan ilmu-ilmu agama Islam? Tiadakah harus kita kemukakan daripada hasil usaha kita sendiri faham-faham baru serta dalam pada itu kita ubah-gantikan fatwa-fatwa lama atau petunjuk naqali yang telah ditetapkan oleh beberapa ulama agung dan imam mujtahidin kita - penganut mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah? Mengapakah orang-orang Islam kini dikabuti kejahilan serta menderita kemunduran duniawi? Apakah sebabnya kita tercicir jauh ke belakang sedangkan bangsa-bangsa lain khususnya orang-orang Kristian Barat dapat berjaya menguasai kemajuan dunia dan hidup aman sentosa? Di manakah letaknya keistimewaan mereka? Adakah kepercayaan kita kepada qada' dan qadr mempengaruhi cara kita berbuat dan bertindak sehingga tiada sesuatu pun yang kita buat melainkan berdiam sahaja? Kononnya membiarkan ALLah S.W.T. melancarkan takdir-Nya?

"Sebab apakah ummat Islam mundur dalam bidang ekonomi? Adakah pendapat-pendapat serta hujah ilmu pengetahuan sains itu menggugat dasar-dasar kepercayaan Islam? Apakah peranan kita Muslimin khususnya beliau kita di masa hadapan?

Dan banyak lagi soal-soal seperti di atas ini timbul keluar. Dan akan terus ditimbulkan oleh orang-orang Islam sendiri bukan sahaja di negara kita ini bahkan di negara-negara Islam lain. Dan sesungguhnya, ini membayangkan penyakit-penyakit kekeliruan akal dan kesesatan kalbu yang kini sedang menyerang dan menggemparkan ummat Islam dengan hebatnya. Apakah sebabnya hingga terjadi nampak seolah-olah demikian buruk nasib keadaan kita ini. Dan apakah jawaban-jawaban yang harus dikemukakan bagi mengheningkan yang keruh kelam, menjelaskan yang samar-keliru, meluruskan yang kusut dan mententeramkan jiwa yang tegang dan getar ini? Bahawa sesungguhnya banyak masalah-masalah Kaum Muslimin kita dan kerumitan jiwa yang sedang dialami oleh orang-orang Islam itu adalah semuanya akibat jatuhnya maruah diri sendiri. Dan kekurangan ilmu ini sebagaimana juga yang dikatakan oleh Imam al-Ghazaliyy r.a. dalam sesetengah karyanya yang agung itu memanglah disebabkan oleh kekurangan ilmu khususnya ilmu yang sebenar mengenai Islam pada keseluruhannya. Islam itu pada hakikat batinnya dengan kesuciannya dan kemurniannya dan keluhurannya dan keagungannya, tetap sama Islam jua. Tiada tersentuh oleh pencabulan masa dan kekaburan atau perubahan seperti yang berlaku pada agama-agama dan falsafah-falsafah lain. Oleh kerana Islam itu hakikat yang sebenarnya, maka tiada dapat ia dipaksakan atau diubah-ganti dan ditokok-tambah oleh manusia atau oleh jejak-jejak peredaran masa dan sejarah. Akan tetapi justeru pada hakikat zahirnya Islam itu ditayangkan kepada dunia oleh para penganutnya Kaum Muslimin. Dan, Kaum Muslimin tiada senantiasa suci dan murni dan luhur dan agung.

Maka kita ini ibarat rupa zahir yang kononnya membayangkan hakikat batin Islam itu. Kita ini umpama cermin bidal tamsil yang menangkap sinaran mentari Islam yang terang benderang itu. Akan tetapi andaikata cermin ini kelam dikabuti debu atau kacanya tiada halus, bersih dan jernih, maka sesungguhnyalah sia-sia sahaja ...


Nota: "Risalah Untuk Kaum Muslimin" akhirnya diterbitkan oleh ISTAC pada tahun 2001. Buku tersebut mempunyai 74 perenggan yang termuat di dalam 209 halaman.

No comments: