Tuesday, July 12, 2005

[Malaysia] Tangani Polemik Undang-Undang Moral

Menangani polemik "undang-undang moral" dari perspektif ketamadunan
Khalif Muammar, 18 Mei 2005, Malaysiakini

Dalam isu penguatkuasaan undang-undang moral baru-baru ini, berlaku
simpang-siur dalam memahami permasalahan dan kedudukan moraliti bagi umat
Islam. Persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah hubungan moraliti dengan
negara? Apakah moraliti itu hal peribadi ataupun berkaitan secara
langsung dengan masyarakat dan negara?

Pada saat ini tampak wujud kekeliruan masyarakat dalam memahami isu
penguatkuasaan undang-undang moral atau "moral policing". Isu tersebut
timbul akibat bantahan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu
kerajaan tempatan tidak lagi mengamalkan "penguatkuasaan undang-undang
moral".

Mereka berpendapat isu moral adalah hal individu oleh itu tidak perlu
campurtangan negara untuk menentukan apa yang baik dan buruk bagi
individu terbabit. Golongan ini berpegang kepada dualisme dan dikotomi
antara agama dengan keduniaan, individu dengan publik, moral dengan
politik.

Jika ditelusuri pandangan yang memisahkan antara kedua-dua aspek ini, ia
sebenarnya diambil daripada paradigma pemikiran Barat yang sekular.
Persoalannya, mengapakah masyarakat Islam perlu tunduk kepada cara
berfikir Barat tersebut? Ini kerana, pada hakikatnya, ia tidak
menjanjikan apa-apa kebaikan kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Masyarakat Islam mempunyai pegangan yang berlainan dengan masyarakat
Barat. Tentunya kelainan ini perlu dibiarkan, bahkan dipertahankan.
Kerana itu, masyarakat Islam tidak perlu dipaksa untuk mengikuti cara
hidup dan cara berfikir yang asing. Bahkan masyarakat hari ini sedar
kesan negatif budaya hedonistik dan materialistik yang dieksport Barat
melalui media massa.

Masyarakat, pada umumnya, juga mengharapkan adanya kekangan dan sekatan
dilakukan agar budaya hidup bebas tidak meresap ke dalam diri generasi
muda bangsa. Politik dan moral sememangnya dua perkara yang berbeza.
Namun, keduanya tidak harus dipisahkan. Ini kerana pemisahan hanya akan
mengakibatkan kepincangan dalam politik dan pemerintahan itu sendiri.

Melahirkan generasi muda

Kalau dalam masyarakat bukan Islam, moraliti hanya dikaitkan dengan agama
dan agama difahami sebagai urusan individu yang hanya melibatkan aspek
spiritual dan ritual, tetapi lain pula halnya dengan ajaran Islam.

Islam mengajarkan agar penganutnya mentaati segala perintah Allah S.W.T
dalam segala aspek kehidupan manusia, agar ada kesinambungan antara
kehidupan peribadi, kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Bagi
melahirkan generasi muda yang cemerlang memerlukan suasana yang kondusif
dan bersih dari segala keruntuhan akhlak dan budaya yang tidak sihat.

Ketika arak diharamkan dalam Islam, baik diambil secara bersendirian
mahupun dalam tempat umum, baik sedikit ataupun banyak, yang pastinya ia
akan menimbulkan masalah. Masalah ketagihan tidak mungkin ditangani
dengan menyerahkan kepada individu terbabit untuk mengawal diri sendiri.

Walaupun al-Quran telah lama mengakui adanya sedikit faedah daripada
meminum arak dalam keadaan-keadaan tertentu, tetapi demi menjaga
kepentingan bersama (masyarakat), Islam mengambil langkah mengharamkannya
secara mutlak. Pengharaman ini memerlukan sokongan penguasa Muslim, demi
merealisasikan masyarakat yang sihat dalaman dan luaran.

Demikian juga ketika Islam mengharamkan zina. Ia diharamkan sama ada
dilakukan secara sukarela mahupun paksaan (rogol). Walaupun yang pertama
(suka sama suka) pada zahirnya tidak memberi masalah kepada masyarakat,
akan tetapi ia mempunyai kesan yang besar kepada ikatan kekeluargaan
(suami-isteri), keturunan (anak luar nikah), masyarakat (pengguguran dan
pembunuhan bayi), risiko penyakit dan lain-lain lagi.

Oleh itu, Islam melihat bahawa moraliti bukan hal individu yang terpisah
daripada perhatian dan peranan publik. Justeru, dalam pandangan Islam,
baik publik mahupun penguasa, perlu memastikan agar moraliti dapat dijaga
oleh semua pihak. Di sinilah Islam meletakkan prinsip amar ma’ruf nahi
munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar) untuk dipegang
oleh masyarakat Islam.

Tingkat kesedaran umum

Dengan berpegang kepada prinsip ini, Allah menjamin umat Islam akan
menjadi sebaik-baik umat. Namun demikian, mencegah kemungkaran tidak
bermakna akan mengorbankan hak peribadi seseorang. Ia masih boleh
memastikan hak-hak peribadinya dihormati. Apa yang dituntut adalah agar
masyarakat dan kerajaan bertanggungjawab terhadap segala kegiatan yang
bersifat publik yang dapat menjejaskan moraliti masyarakat.

Yang menyedihkan ialah apabila ada kecenderungan masyarakat yang acuh tak
acuh terhadap gejala keruntuhan akhlak, walaupun ianya menjolok mata. Ini
tentunya akan memberi lesen kepada budaya yang lebih tidak bermoral.
Pembangunan sesebuah negara pada hari ini biasanya dikaitkan dengan
tingkat kesedaran umum dan masyarakat sivil.

Sebenarnya Islam telah meletakkan asas kepedulian publik ini dalam bentuk
amar ma'ruf nahy munkar sebagai kaedah menciptakan masyarakat yang
cemerlang. Islam menolak pemikiran dualistik dan dikotomis kerana manusia
dan segala apa yang wujud di alam ini adalah makhluk Allah yang mesti
tunduk kepada perintah Allah S.W.T sebagai Pencipta dan Pengatur alam.
Sedangkan dikotomi antara agama dengan sains, politik dengan moral, hanya
boleh diterima dalam masyarakat Barat yang sekular.

Tuhan, dalam pemikiran sekular, hanya berada dalam ruang lingkup agama
yang sempit, dan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hal-hal
keduniaan. Pemisahan dan sekularisasi di Barat pada akhirnya memaksa
masyarakat Barat menanggung akibat yang besar dari segi krisis moral dan
kerohanian: keruntuhan akhlak, kekeliruan dan kebingungan dalam
menentukan jalan hidup dan nilai-nilai moral.

Tiba saatnya para pendukung sekularisme menyedari bahawa sekularisme bukan
satu pendekatan yang objektif dalam memahami dan mengatur kehidupan,
tetapi ia membawa mesej dogmatik yang berakar pada immanentisme dan
berakhir dengan dunia tanpa nilai-nilai luhur.

Kelemahan yang ada pada tamadun Barat perlu dijadikan pengajaran agar
tidak menjadi kelemahan masyarakat Islam pada hari ini mahupun akan
datang.

Ikut acuan kita sendiri

Ramai penulis Barat sendiri seperti John L Esposito dan Peter L Berger
mengatakan bahawa sejak dua dekad terakhir abad ke-20, telah wujud apa
yang dikatakan sebagai kebangkitan agama secara global kerana agama telah
kembali untuk mempersoalkan kebenaran dogma-dogma yang ditanamkan oleh
para nabi modeniti (the prophets of modernity).

Apabila masyarakat dunia sendiri diramalkan akan kembali kepada agama
untuk mencari jawapan bagi permasalahan yang tidak dapat diselesaikan
oleh falsafah Barat, bukankah lebih utama masyarakat Islam yang
sememangnya beragama, untuk menghidupkan kembali keyakinannya terhadap
agama?

Kajian juga menunjukkan adanya ancaman liberalisasi dalam hal berkaitan
dengan agama dan dalam hal ini, termasuk juga moraliti masyarakat yang
banyak diwarnai oleh agama Islam. Oleh itu, kita tidak boleh menerima
pendapat yang mengatakan biarlah individu menentukan sendiri apa yang
baik dan apa yang buruk, masyarakat dan negara tidak perlu masuk campur.

Walaupun ini adalah inti kebebasan berpendapat dan bersuara, tetapi ia
tidak sepatutnya diikuti secara membabi buta. Jalan yang lebih baik
adalah dengan menilai terlebih dahulu segala nilai-nilai asing yang ingin
diambil. Kalau kita semua menginginkan masyarakat yang sihat dan
cemerlang, maka kita perlu berfikir bagaimana ia dapat dihasilkan
mengikut acuan kita sendiri dan tidak perlu berkiblat ke mana-mana.

Yang jelas, Islam memberikan perhatian yang sama kepada individu,
masyarakat dan negara. Kerana hanya dengan mendidik individu, mengatur
masyarakat dan memandu negara, maka akan muncul kehidupan yang harmoni
dan sejahtera. Sebaliknya jika individu rosak, maka masyarakat akan
rosak. Rosak akhlak rosaklah bangsa, baik akhlak majulah negara.

Penulis adalah peneliti di Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) dan pensyarah
di Kolej Dar al-Hikmah.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: