Monday, July 11, 2005

[Malaysia] Pendirian ABIM Tentang Program "Harm Reduction" KKM

Bengkel Keprihatinan Isu-Isu Sosial: Implikasi Pemberian Jarum Dan Kondom Percuma Terhadap Masyarakat

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengadakan Bengkel Keprihatinan Isu-isu Sosial yang membincangkan Implikasi Pemberian Jarum dan Kondom Kepada Pesakit HIV/AIDS di Kompleks Anjung Rahmat, Gombak pada Ahad, 10 Julai 2005.

Bengkel tertutup yang dihadiri oleh lebih kurang 50 orang dari pelbagai pertubuhan profesional dan NGO telah dipengerusikan oleh Dr. Rayney Azmi Ali dari Pusat Perubatan Kohilal. Empat orang pembentang telah menjelaskan kedudukan dan memberi penyampaian di dalam bengkel tersebut, iaitu:

(i) Dr. Kamarul Azhar Mohd Razali, Pakar Perunding Kanak-kanak dan Penyakit Berjangkit, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur,

(ii) Dato’ Dr. Faisal Haji Ibrahim, Pengurus Program HIV/AIDS, Kementerian Kesihatan Malaysia,

(iii) Dr. Ishak Mas’ud, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kampung Baru, dan

(iv) Dato’ Seri Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Perbincangan bengkel selama empat jam ini diakhiri dengan satu sidang media selama lebih kurang sejam sebagai merumuskan keempat-empat pembentangan. Di dalam sidang media tersebut, Dato’ Dr. Faisal Ibrahim telah menjelaskan kehadiran beliau ke bengkel tersebut manakala ABIM menjelaskan pendiriannya mengenai cadangan tersebut sepertimana yang dimaklumkan di dalam memorandumnya kepada YAB Timbalan Perdana Menteri pada 18 Jun 2005.

ABIM menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil kira pandangan agama dan adab susila budaya masyarakat yang dipegang selama ini. Pandangan ini mestilah dipertimbangkan secara menyeluruh dalam usaha membenteras penyakit HIV/AIDS yang semakin menular di dalam masyarakat. Ianya juga seharusnya diambil serius dan peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan usaha dapat dibuat secara bersungguh-sungguh. Yang jelas, Islam telah mengemukakan penyelesaian yang dapat merubah sikap manusia kepada yang lebih baik. Pendekatan Barat tidak semestinya menghasilkan kesan yang baik dan sesuai pada semua tempat. ABIM dengan ini bersedia membantu Kementerian Kesihatan dalam menangani isu ini.

No comments: