Monday, July 25, 2005

Dedahkan jumlah cukai dari penerima AP - Husam


AP : PENDEDAHAN CUKAI DAN DASAR BARU PERLU

Keberanian YAB Perdana Menteri untuk mendedahkan senarai penerima AP
adalah sesuatu yang harus di puji. Ia boleh menjadi satu langkah ke
hadapan ke arah pengurusan yang telus dan pruden. Kepujian harus diberikan
dua kali ke atas langkah berani PM, yang telah mengubah fikirannya untuk
mengumumkan penerima AP walaupun sebelum ini
menegaskan tidak akan berbuat demikian.

2. Namun, pendedahan senarai tersebut bukanlah jawapan mutlak terhadap isu
bagaimana pengeluaran AP boleh menjurus kepada:

a) Amalan kronisma, dimana segelintir insan istimewa terpilih menikmati
kekayaan mudah yang luar biasa.

b) Kesan pengeluaran AP ini ke atas kedudukan kereta nasional.

c) Manipulasi oleh pemegang AP berhubung isu cukai, mengimport kereta lain
daripada AP yang diluluskan dan lain-lain.

3. Pendedahan ini hanya memberikan gambaran kasar seperti berikut:

i. Ada individu tertentu diberikan jumlah AP yang lebih besar berbanding
individu yang lain. Sebagai contoh: SM Nasimudin, Datuk Syed Azman, Datuk
Mohd Hanif dan satu dua lagi bolehlah digelar sebagai Raja AP kerana
memiliki 28,283 atau bersamaan 56.9% dari 49,632 AP francais yang
dikeluarkan oleh kerajaan. Mengapa ini berlaku?

ii. Amalan memberikan keutamaan kepada insan terpilih ini bukan sahaja
berlaku di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir, tetapi berlaku juga pada
masa pemerintahan YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebagai contoh,
selain meneruskan kelululusan AP kepada penerima sedia ada, sebanyak 13,
535 AP tambahan dikeluarkan sepanjang tahun 2004 dan
2005. Dari jumlah ini, 2,487 AP tambahan diberikan kepada Datuk Syed
Azman dan Datuk Mohd Hanif, iaitu sebanyak 18.37% dari jumlah tambahan AP
yang dikeluarkan pada tahun 2004 dan 2005, semasa Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi sudah menjadi Perdana Menteri.

iii. Tiada tanda-tanda pemberian AP ini dibuat di atas asas merit
sepenuhnya, pengagihan yang lebih meluas dan asas pemilihan yang telus.
Ia semacam pembahagian ghanimah secara tersembunyi.

4. Pendedahan ini mengundang persoalan-persoalan baru. Antara yang paling
penting ialah jumlah cukai yang dibayar oleh syarikat-syarikat dan
individu ini kepada kerajaan. Sebagai contoh , jika diandaikan setiap AP
bernilai RM30,000 (kadar terendah, mungkin) ia telah menjanakan kekayaan
seperti berikut;

a) SM Nasimudin 12, 524 AP = RM375.7 juta

b) Datuk Syed Azman dan Datuk Mohd Hanif 15, 759 AP = RM472.7juta
Berapakah jumlah cukai yang telah dibayar oleh mereka bagi setiap tahun?

5. Saya dengan ini mendesak dua langkah segera seperti berikut:

a) Mendedahkan jumlah cukai yang dibayar oleh pemegang-pemegang AP ini.

b) Merangka satu dasar baru yang lebih saksama dan telus.

Sekian terima kasih

HAJI HUSAM MUSA
NAIB PRESIDEN PAS
19 Julai 2005

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: