Friday, July 01, 2005

Kisah Namrud dan Fir'aun Dalam Al-Qur'an

GOLONGAN BONGKAK DAN ANGKUH (MUSTAKBIRIN) MENURUT AL-QUR'AN

[Makalah ini adalah berdasarkan catatan yang dibuat dalam kuliah Tafsir Mawdu'iyy yang dipimpin oleh Dr Siddiq Fadhil, pada 27 Februari 1999]


Dr Siddiq Fadhil memulakan kuliahnya dengan mengetengahkan beberapa watak seperti Fir'aun, Namrud dan Qarun di dalam Al-Qur'an yang disifatkan sebagai mewakili golongan yang bongkak, angkuh dan sombong, yang dikenali sebagai golongan mustakbirin. Kehadiran golongan ini memang mempunyai kesahihan sejarah, dan bukan khayalan dan rekaan sesiapa. Umumnya, golongan angkuh-sombong ini mempunyai pola fikir dan watak yang typical yang sentiasa mewarnai mentaliti manusia-manusia yang seumpama mereka di sepanjang zaman dalam sejarah manusia.

Golongan bongkak dan angkuh ini muncul kerana terlalu asyik dilimpahi nikmat kekuasaan dan kekayaan, yang kemudiannya mewujudkan semacam suatu fenomena istikbar, sikap angkuh dan bongkak, lalu melakukan pendurhakaan dan merasakan diri mereka menjadi tuhan. Dr Siddiq Fadhil seterusnya menjustifikasikan fenomena ini dengan mengambil iktibar sejarah pertembungan di antara Fir'aun dan Nabi Musa a.s. seperti mana yang dirakamkan di dalam Surah Zukhruf, ayat 51-56.

Ketika merasakan kekuasaannya terancam lantaran kemungkinan kaum Bani Israel akan mengalihkan sokongan dan kesetiaan mereka kepada Nabi Musa a.s., Fir'aun bertindak dengan mengadakan perhimpunan dengan kaumnya dan menyeru (dengan mengisytiharkan) dengan penuh bangga dan sombong kepada kaumnya: Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Negeri Mesir ini milik bagiku, dan (perhatikanlah) sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Apa! Tidakkah kamu melihatnya? [Surah Zukhruf: 51]. Banyaknya air yang mengalir dari Sungai Nil dari bawah mahligainya menunjukkan secara simbolis tentang kekuasaan, kemakmuran dan kedaulatannya.

Fir'aun meneruskan retorikanya, bahkan, bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini (Nabi Musa) yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan kata-katanya dengan terang? Kemudian, mengapakah gelang-gelang emas tidak dipakaikan kepadanya (oleh Tuhan-Nya) (yang menandakan ia seorang Rasul), ataupun mengapakah tidak datang berbaris-baris bersama-sama dengannya para mala'ikat (sebagai saksi-saksi tentang kebenarannya)? [Surah Zukhruf: 52-53].

Al-Qur'an menyatakan seterusnya, dengan demikian maka Fir'aun memperbodohkan kaumnya, dan mereka taat kepadanya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq (derhaka terhadap ALlah). [Surah Zukhruf: 54].

Fir'aun amat khuatir kesetiaan kaumnya akan beralih arah kepada Nabi Musa, lalu mengeksploitasi kebodohan kaumnya dengan hujah-hujah dangkal yang diterima dengan penuh rela oleh kaumnya yang sememangnya membiarkan diri mereka diperbodohkan. Malah, kaum Fir'aun ini tidak dapat melihat lebih jauh dari apa yang telah ditonjolkan oleh Fir'aun yang cuma sejumlah bukti yang dekat kepada pengalaman hidup mereka seperti segala kemegahan dan kebanggaan kebendaan yang dimiliki oleh kerajaan Mesir ketika itu. Sedangkan bukti-bukti yang ditampilkan oleh Nabi Musa yang berupa Kerajaan Yang Menguasai Langit dan Bumi tidak dapat ditanggapi oleh kaum tersebut yang sememangnya dangkal pemikirannya.

Fenomena sejarah ini juga menampilkan betapa rakyat yang bodoh akan dieksploitasikan oleh pemerintah yang zalim dan para penguasa yang sering mengambil untung dari kejahilan dan kebodohan rakyat. Dalam hal ini, Fir'aun ternyata bijak memanfaatkan kebodohan rakyat semaksimanya kerana rakyatnya sudah tidak beriman, fasiq dan rosak moralnya. Namun, hanya akal dan hati yang beriman sahaja yang dapat menilai dengan lebih jauh tentang apa yang berlaku. Mereka yang beriman yang sentiasa mencari kebenaran tidak akan dapat diperbodoh dan diperhambakan.

Sehubungan itu, dakwaan Fir'aun tentang Nabi Musa yang tidak petah berbicara adalah suatu maklumat yang tidak lengkap yang mungkin telah dilaporkan kepada Fir'aun oleh para pembesar-pengampu kerajaan Mesir ketika itu. Memang pada awalnya Nabi Musa tidak dapat bercakap petah kerana sewaktu kecilnya ketika dibesarkan di istana Fir'aun, lidahnya telah terkena bara api. Namun, Nabi Musa telah berdoa kepada ALlah S.W.T. untuk memulihkan pertuturannya agar seruannya dapat diterima oleh kaum Bani Israel. Dan, doa baginda dimakbul Ilahi. Fakta inilah yang masih tidak diketahui oleh Fir'aun yang terus-terusan mengungkit kekurangan Nabi Musa yang bukanpun hasil kesalahannya. Fir'aun berfikir bahawa Nabi Musa masih seperti dahulu. Dan tergamak pula Fir'aun yang tidak beradab itu mengeksploitasi kecacatan pada kejadian seseorang.

Fir'aun terus menghina Nabi Musa dengan membandingkan apa yang dikuasainya dengan apa yang dimiliki oleh Nabi Musa. Bagi Fir'aun, bagaimanakah Nabi Musa hendak dilantik menjadi pemimpin sedangkan baginda tidak mempunyai harta. Fir'aun menilai kenabian (nubuwwah) sebagai suatu kemegahan yang punya segala kezahiran. Sikap Fir'aun ini juga diteladani oleh kaum Quraisy yang tidak menerima hakikat bahawa wahyu diturunkan kepada RasuluLlah S.A.W. yang tidak berharta. Bagi kaum Quraisy, sekiranya wahyu diturunkan, ia sewajarnya diturunkan kepada salah seorang dari dua orang hartawan dari Taif dan Mekah.

Pola fikir manusia sebegini ialah pemimpin mestilah dari kalangan yang kaya berharta dan tidak miskin. Bagi mereka, golongan yang kaya itu merupakan tanda disayangi Tuhan. Kerana itulah Fir'aun dengan bongkaknya bertanya mengapakah gelang-gelang emas, yang merupakan lambang kekuasaan tidak dipakaikan kepada Nabi Musa sebagai bukti kerasulan baginda.

Menurut asy-syahid Sayyid Qutb di dalam tafsirnya, Fi Zilal li 'l-Qur'an (Di Bawah Naungan Al-Qur'an), amalan memperbodohkan orang ramai bukanlah sesuatu yang pelik. Fenomena ini biasa dan lumrah dilakukan oleh para penguasa yang curang dan zalim. Yang pertama mereka lakukan ialah memencil dan mengasingkan rakyat dari segala saluran yang membawa maklumat yang benar (makrifah). Sekaligus mereka menutup pintu kebenaran (haq) dan menyembunyikan fakta sehinggakan mereka sendiri terlupa tentang fakta-fakta tersebut. Maka dengan itu mudahlah para penguasa zalim itu mengendali dan memperbodohkan rakyat mereka.

Tegasnya, usaha memperbodohkan ini hanya boleh dilakukan ke atas rakyat yang telah fasiq, yang sudah tidak terbimbing lagi oleh hidayah Ilahi. Sedangkan orang-orang yang beriman yang sentiasa mencari kebenaran tidak akan dapat diperbodohkan sama sekali. Manakala, mereka yang fasiq bukanlah pula tergolong di dalam kalangan pencari kebenaran.

Surah Zukhruf seterusnya merakamkan kesudahan riwayat hidup Fir'aun: Kemudian akhirnya setelah mereka menyebabkan Kemurkaan Kami (dengan perbuatan durhaka mereka itu), maka Kami menyeksa mereka, iaitu Kami tenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga mereka binasa). Dan Kami jadikan mereka (suatu kaum) yang telah lalu sebagai contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian. [Surah Zukhruf: 55-56].

Fir'aun akhirnya ditenggelamkan di Laut Merah dan kisahnya disejarahkan sebagai pengajaran kepada kaum-kaum yang akan datang kemudiannya. Sekaligus ini menandai akan wujudnya sejumlah manusia yang mewarisi tingkah, olah dan telatah Fir'aun yang muncul di sepanjang zaman.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh at-Tabrani, RasuluLlah S.A.W. bersabda: apabila kamu melihat ALlah memberikan segala-gala kepada seorang hamba. Apa yang dia mahu akan dipenuhi, tetapi hamba yang mendapat segala-gala itu terus-menerus melanggari perintah ALlah, maka ketahuilah bahawa itu bukan lagi rahmat dari Tuhan, tetapi adalah istidraj. Lalu RasuluLlah S.A.W. pun membaca ayat 55-56 dari Surah Zukhruf tersebut.

Yang menjadikan Fir'aun bongkak ialah kerana ia mendapat segala kecukupan dalam hidupnya. Melihatkan kebejatan ini, Nabi Musa pun merayu dalam doanya: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan kepada Fir'aun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan serta harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Maka wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau telah kurniakan kepada mereka itu) akibatnya menyesatkan (manusia) daripada Jalan Engkau (dengan sebab kekufuran mereka itu). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta mereka itu, dan masukkanlah sifat keras hati pada hati mereka itu, maka dengan itu mereka tidak beriman, sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. [Surah Yunus: 88].

Dr Siddiq Fadhil seterusnya menganalisa pula watak Namrud ketika berdialog dengan Nabi Ibrahim a.s. Dialog ini dirakamkan di dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-258.

"Tidakkah engkau tujukan pandangan engkau (wahai Muhammad) kepada seseorang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana ALlah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang Mematikan." Ia menjawab, "aku juga boleh menghidupkan dan mematikan." Nabi Ibrahim berkata lagi, "Sesungguhnya ALlah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang kafir itu (lalu diam membisu). Dan ingatlah, ALlah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Kisah ini menyentuh kesombongan yang timbul daripada kekuasaan yang ada pada seseorang itu dan bagaimana lemahnya kekuasaan manusiawi dilihat dalam menghadapi Kekuasaan ALlah. Namrud diberi peluang oleh ALlah untuk berkuasa sebagai Raja Babylon selama 400 tahun; suatu jangka waktu yang cukup lama yang telah menjadikan dirinya kufur sehingga merasa menjadi tuhan.

Apabila Nabi Ibrahim menyatakan bahawa Tuhannya ialah Tuhan Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan, Namrud lalu menjawab bahawa diapun mampu melakukan perkara yang sama. Dan, untuk membuktikan kebenaran kata-katanya, Namrud memanggil dua orang yang telahpun dijatuhkan hukuman mati; mereka yang sudah tiada masa hadapan. Seorang daripada mereka dilaksanakan hukuman mati lalu beliaupun dibunuh, manakala seorang lagi dibiarkan terlepas dari hukuman dan terus hidup. Ternyata, Namrud tidak memahami konsep ketuhanan ini. Memandangkan demikian pola fikir Namrud, Nabi Ibrahim pun menampilkan satu lagi hujah untuk memahamkan Namrud. Kata Nabi Ibrahim: Tuhanku menerbitkan matahari dari timur. Namrud pun terpinga-pinga kehabisan akal. Namun ia tetap kufur dan enggan menerima hujah Nabi Ibrahim. Tegasnya, ALlah S.W.T. tidak akan memberi sebarang petunjuk kepada mereka yang zalim, yang tetap tidak mahu menerima kebenaran.

Sebelum mengakhiri kuliahnya, Dr Siddiq Fadhil menyimpulkan bahawa di zaman moden ini, namrud-namrud yang wujud akan cuba pula mematikan dan menghidupkan sekehendak hati mereka kehadiran seseorang di tengah-tengah perjalanan kehidupan ummat. Mereka begitu ghairah mematikan orang-orang yang tidak bersalah dan menghidupkan orang-orang yang nyata bersalah.

No comments: