Monday, July 11, 2005

[Malaysia] Nenek jatuh jambatan maut, selepas pendedahan Harakah tidak dihirau

Nenek jatuh jambatan maut, selepas pendedahan Harakah tidak dihirau
Thursday, June 30 2005

KETEREH, 30 Jun (Hrkh) – "Inilah padahnya apabila suara rakyat tidak
dihiraukan, laporan akhbar alternatif enggan diambil peduli," kata
seorang penduduk Kampung Dendang, dekat sini kerana kecewa wakil rakyat
kawasan itu tidak "ambil pusing" keluhan mereka.

Katanya, biar pun segalanya sudah ditakdirkan, namun ada ikhtiar yang
boleh dilakukan manusia. Beliau melahirkan rasa terkilan kerana jambatan
merentangi tali air Kada di kampung itu tidak diperbaiki sehingga
sekarang.

Malam Isnin lalu seorang ibu tua, Khatijah Rahmatullah, 65 dipercayai
terjatuh dari atas jambatan itu dan mayatnya ditemui kira-kira 500 meter
dari tempat kejadian, keesokan harinya. Sebelum itu, ada penduduk terjatuh
ke dalam tali air itu bersama motosikalnya. Seminggu lalu, Harakah
mendedahkan masalah tersebut dengan memaparkan rungutan penduduk.
Wakil akhbar berkenaan sebenarnya meninjau permasalahan itu sejak April
lalu. Namun selepas dua bulan berlalu, tiada sebarang tindakan diambil
wakil rakyat Kok Lanas, menyebabkan isu itu dipaparkan secara ekslusif
dalam Harakah keluaran lalu. "Kita sudah lama membincangkan isu tersebut.
Namun kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa kerana jambatan berada
di bawah pentadbiran Kada.

Kalau tidak membabitkan Kada kita sudah lama membaikinya. "Pendedahan
Harakah mengenai isu tersebut sebelum ini amat tepat, dan kita menyokong
penuh. Tahu-tahu penduduk yang menjadi mangsa kepada jambatan uzur itu
adalah emak kepada penghulu," kata Penyelia DUN Kok Lanas, Haji Ashaari
Mamat di sini.

Hari ini sebuah akhbar melaporkan mengenai korban jambatan terbabit.
Penghulu Mukim Dendang, Mohd Kamal Mohamad berkata, beliau bersama
penduduk sudah beberapa kali memohon kepada Kada supaya membaiki jambatan
tersebut.

"Namun, permintaan penduduk tidak dihiraukan. Apa yang menyedihkan ibu
saya sendiri menjadi korban kerana terjatuh ke dalam tali air malam Isnin
lalu," katanya. Kada adalah agensi pertanian di bawah kerajaan Pusat.
Sekarang Pengerusi Kada adalah Adun Kok Lanas sendiri, Dato' Annuar Musa.
Bagaimanapun seorang pemimpin masyarakat, Jusoh Yaakub berkata, penduduk
sudah beberapa kali membaiki jambatan berkenaan dengan menggantikan papan
di tempat yang berlubang, namun ia rosak pula. Jambatan itu terletak tidak
jauh dari rumah Mohd Kamal. Ia menjadi laluan penting bagi penduduk dari
beberapa kampung berdekatan berulang alik ke pekan Ketereh dan Kok Lanas.

Selain pendedahan mengenai "jambatan maut" Harakah keluaran yang sama
turut memaparkan gambar jalan di Bechah Hangus yang berlubang di sana
sini, sedangkan kedudukannya tidak jauh dari pusat khidmat wakil rakyat
Kok Lanas (Khadam).

Penghulu Kedai Ketereh, Abdul Aziz Mat Jusoh mempersoalkan di mana janji
wakil rakyat mahu mengatasi masalah yang dihadapi penduduk di DUN
berkenaan.

"Masalah rakyat di kawasan ini banyak yang belum selesai, sehingga
Penyelia DUN Kok Lanas pula menjadi tumpuan penduduk untuk mengadu
masalah mereka," katanya. Sedangkan katanya, ketika persidangan Dewan
Undangan Negeri lepas wakil rakyat yang sama dengan 'megah' mendedahkan
segala kepincangan kerajaan negeri, biar pun ia kurang berasas.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: