Monday, July 11, 2005

[Malaysia] Ceramah PAS Diserang Gas Pemedih Mata

Gas pemedih mata untuk ceramah PAS satu tindakan zalim - Presiden PAS
Friday, July 08 2005, Harakahdaily

MARANG, 8 Julai (Hrkh) - "Saya menganggap itu satu tindakan yang sangat zalim, bukan saja zalim, sangat zalim," kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai mengulas tindakan ganas anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terhadap hadirin pada ceramah umum di Kampung Mak Chili, Kemaman, malam tadi.

Beliau berkata, pada majlis ceramah itu, tidak ada unsur-unsur yang salah dari segi agama dan ianya tidak menyalahi prinsip demokrasi. Tambahnya, apa yang berlaku adalah kerana pihak kerajaan tidak tahan mendengar kritikan yang benar daripada pihak PAS terhadap tindakan salah yang mereka lakukan.

"Kerajaan tidak boleh membela diri di atas kesalahan meroboh masjid di Bujal dan bertindak terhadap rumah rakyat yang didirikan di atas tanah yang diberikan kepada mereka.

"Bila mereka tidak boleh membela diri lalu bertindak dengan sewenang-wenang. Ini satu tindakan jahiliah kerana sifat jahiliah zaman dahulu, bila tak boleh berhujah, mereka bertindak dengan sewenang-wenangnya," ujarnya ketika ditemui di rumahnya selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, pagi tadi.

Beliau menyatakan demikian semasa diminta mengulas ceramah umum anjuran PAS Kawasan Kemaman malam tadi yang terpaksa dihentikan pada jam 10.30 malam selepas anggota FRU melepaskan gas pemedih mata dan menyemburkan air kepada orang ramai.

Anggota FRU bertindak demikian sebaik sahaja Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Awang Dagang Jusoh selesai berucap. Berucap sebelum itu ialah Ketua Penerangan PAS kawasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prihatin Masyarakat kawasan, Haji Mehamad Sulong.

Mengikut atur cara, perceramah yang berucap selepas Ustaz Awang ialah AJK Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi dan diakhiri dengan ucapan oleh Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.

Berikutan anggota FRU melepaskan lima tembakan gas pemedih mata menyebabkan suasana menjadi kelam kabut dan para hadirin yang berjumlah lebih 5,000 orang bertempiaran lari, seorang pengsan akibat terkena gas tersebut.

Kira-kira 10 minit kemudian, kenderaan watercannon pula memasuki ke kawasan ceramah dan pihak FRU menyembur air kepada hadirin yang masih berada di kawasan itu menyebabkan suasana menjadi lebih kelam kabut kerana masing-masing mencari tempat berlindung, ada anak-anak yang terpisah dengan ibu bapa.

Selain itu, anggota FRU yang berkawal di situ seramai kira-kira 200 orang juga menahan lebih 20 orang yang dimuatkan ke dalam trak.

"Malangnya dalam masa yang sama sekarang kita sedang menerima berita satu golongan ajaran salah di Hulu Besut, Ayah Pin yang mendirikan bangunan yang begitu hebat, megah, salah dari segi agama, salah dari segi undang-undang, mereka (kerajaan) tidak berani bertindak.

"Nampaknya kerajaan lebih bersikap untuk mempertahankan kerusi daripada mempertahankan keamanan dan keselamatan negara," ujar Ustaz Abdul Hadi.

Beliau menambah, tindakan anggota FRU itu menyalahi prinsip demokrasi dan undang-undang.

"Kita baru sahaja menerima Laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, kalau dirujuk kepada laporan itu nampaknya mengulangi kesilapan dan laporan itu tidak berguna, semata-mata untuk melepas batuk di tangga," katanya.

Katanya, kerajaan juga tidak menunjukkan sikap yang proaktif ke arah yang lebih positif untuk membaiki keadaan dan melakukan reformasi terhadap demokrasi di negara ini.

Menurutnya, seluruh dunia hari ini sedang menerima seruan untuk mengadakan perubahan demokrasi termasuk di Asia Tengah, Asia Barat dan Eropah.

Beliau mengambil contoh apa yang berlaku di Indonesia di mana berlaku demokrasi media, pertadbiran, pilihan raya dan secara menyeluruh.

"Apa yang berlaku malam tadi menunjukkan negara kita undur ke belakang, bukannya mara ke hadapan untuk maju dari segi memulihkan demokrasi," katanya.

Begitupun, katanya PAS akan terus berjuang untuk menegakkan perkara yang baik dan benar dengan penuh pengorbanan.

Tegasnya, PAS tidak akan berganjak dalam perjuangannya untuk menegakkan yang hak termasuk supaya rakyat mendapat udara demokrasi yang sebenar, yang memberi kebaikan kepada mereka.

Beliau berkata, PAS menyedari bahawa tindakan kerajaan menutup kebebasan kepada rakyat akan mendedahkan perkara yang tidak baik.

Sungguhpun demikian, ujarnya, PAS tidak mahu bertempur dengan polis kerana apa yang berlaku itu pihak polis telah disalahgunakan oleh pihak kerajaan supaya menjadi lawan kepada PAS.

"Oleh kerana itulah saya difahamkan malam tadi bahawa mereka yang hadir dalam ceramah hanya sekadar mempertahankan diri, kalau mereka mahu bertindak dengan jumlah itu, mereka boleh meranapkan polis, tetapi mereka bersabar dan mereka tahan menghadapi ujian, insya Allah.

"Kita bersabar kerana polis bukan lawan kita dan kita harap polis juga menggunakan fikiran yang waras dalam mengendalikan urusan, dan suka saya menegaskan bahawa kesabaran kita ada batas, bila ada batas tu, kena fahamlah, bila habis batas dia, kita akan bertindak sebagaimana yang diajar oleh agama kita, wallahu a'lam," tegasnya. - kam/ayu


http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=14599

No comments: