Friday, July 01, 2005

Golongan Mustakbirin di dalam Al-Qur'an

Golongan Mustakbirin di dalam Al-Qur'an

[Makalah ini dicatatkan berdasarkan kuliah Tafsir Mawdu'iyy Dr Siddiq Fadzil pada bulan April 1999 membincangkan satu lagi watak golongan bongkak dan sombong (mustakbirin) yang disejarahkan di dalam Al-Qur'an dari kalangan mereka yang berharta iaitulah peri laku seorang hartawan yang kaya tanpa taqwa.]


Umumnya, Al-Qur'an tidak mengecam golongan orang-orang kaya. Malah, sejumlah para anbiya' juga adalah dari golongan kaya seperti Nabi Sulaiman a.s. Namun, yang dikecam ialah mereka yang kaya tanpa taqwa, yang akhirnya begitu cenderung melakukan kezaliman. Manusia yang terlalu dilimpahi rezeki yang banyak, yang serba ada dan serba mampu lazimnya lupa daratan.

Kali ini watak yang ditampilkan oleh Al-Qur'an ialah Qarun yang merasakan dirinya mampu untuk membeli segala-galanya termasuk manusia. Qarun merasa dirinya terlalu kuat tanpa digugat untuk menggunakan hartanya demi mengekalkan nama beliau di dalam sejarah. Namun demikian, sejarah tetap ditulis oleh ketajaman mata pena para sarjana yang jujur dan amanah. Meskipun Qarun berusaha mempertahankan namanya, tetapi ternyata Al-Qur'an tetap merekodkan sejarah kebejatannya di dalam surah al-Qasas [28], ayat 76-81.

Qarun adalah seangkatan dan segenerasi dengan Nabi Musa. Namun, dalam hidupnya dia menzalimi dan menganiayai kaumnya sendiri, merampas hak orang lain, mengeksploitasi dan menindas manusia. Qarun dianugerahi sejumlah khazanah yang pelbagai. Al-Qur'an dalam hal ini menggunakan istilah "khunuz" yang membawa maksud harta yang disimpan melebihi dari keperluan yang tidak digunakan. Begitu banyaknya harta Qarun sehinggakan kunci-kunci yang menghimpun segala khazanahnya tidak terpikul oleh sekumpulan orang-orang kuat di kalangan kaum Nabi Musa.

[28:76] "Sesungguhnya, tanpa syak lagi, Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, tetapi dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka: sedemikian (banyaknya) telah Kami kurniakan kepadanya pelbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dibawa oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) tatkala kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah tuan hamba bermegah-megah, kerana ALlah tidak suka kepada orang yang bermegah-megah" (dengan kekayaannya)."

Pun demikian, masih ada segelintir manusia yang sedar tentang keterlanjuran Qarun. Mereka mengingatkan beliau agar tidak berbangga-bangga sehingga lupa kepada Tuhan yang telah melimpahkan kekayaan, agar merebut peluang untuk akhirat tanpa melupai bekalan di dunia. Teguran-teguran ini ditampilkan dengan terang dan jelas tanpa selindung.

[28:77] "Dan tuntutlah, dengan (harta kekayaan) yang ALlah telah kurniakan kepadamu negeri Akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dalam dunia ini (daripada keperluan dan bekalanmu): dan berbuat baiklah (kepada hamba ALlah) sebagaimana ALlah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau mencari (peluang untuk) melakukan kerosakan di muka bumi: kerana ALlah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."

Namun, teguran-teguran ikhlas ini tidak diterima oleh Qarun dengan positif. Beliau menjawab dengan sombong dengan menjustifikasikan bahawa harta yang terkumpul itu adalah hasil keahlian dan kemampuannya sendiri. Malah Qarun merasakan bahawa mereka yang tidak kaya itu sesungguhnya bodoh dan tidak berkemampuan! Ironinya, seandainya benar Qarun itu bijak, apakah ia tidak mengetahui bahawa ALlah telah menghancurkan generasi awal yang lebih banyak mengumpul harta. Ternyata, tindak-tanduknya menunjukkan bahawa Qarun tidak mengetahui.

[28:78] "Ia berkata (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan sesuatu pengetahuan dan kepandaian tertentu yang ada padaku." Tidakkah ia mengetahui bahawa ALlah telah pun memusnahkan sebelumnya beberapa keturunan umat yang telah lalu ~ orang yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Tetapi orang yang jahat berdosa itu tidaklah dipanggil (dan disoal) (dengan segera waktu itu juga) untuk menjawab tentang dosa mereka."

Sebagaimana lazimnya, Qarun muncul di tengah-tengah khalayak kaumnya dengan segala kebesaran dan kekayaan yang dimilikinya. Maka, mereka yang rakus-dunia, yang punya cita rasa dan mentaliti duniawi seperti Qarun, terus berpaling kepadanya dengan rasa penuh kekaguman. Sesungguhnya, mereka adalah pengkagum yang ingin benar meneladani kekayaan Qarun.

[28:79] "Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya (dengan sombongnya). (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan Kesenangan Kehidupan Dunia ini sahaja: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Kerana sesungguhnya dia adalah pemilik harta yang sangat banyak!"

Tetapi mentaliti pengkagum-pengkagum ini dibentak oleh Al-Qur'an. Ganjaran Ilahi adalah lebih baik dari segala-galanya. Namun, ia tidak akan diberikan kecuali kepada orang-orang yang sabar, yang tahan menghadapi ujian manusiawi.

[28:80] "Tetapi orang yang dikurniakan ilmu (yang sebenarnya) (dalam kalangan mereka itu) berkata: "Kasihan kamu! Pahala dari ALlah (di Akhirat) adalah paling baik bagi orang yang beriman dan beramal salih: tetapi tidak ada yang akan menerimanya, melainkan orang yang sabar dan tekun (dalam melakukan kebaikan)."

Manusia lazimnya dinilai pada ukuran-ukuran yang salah. Manusia berharta umumnya lebih dihargai dari mereka yang berilmu. Malah ukuran kepemimpinan juga dilihat dari kehartawanan seseorang, bukan lagi dari amanah, kejujuran, tekun berprinsip, keilmuan dan ketaqwaannya. Kehadiran manusia sebegini disambut sepi, tidak dipeduli. Lantaran itulah kita harus bersabar dengan nilai yang sudah silap diambil orang.

Kebanggaan Qarun itu adalah rumahnya yang telah dibina dengan sungguh mewah. Malah, pintunya sahaja dibina dari emas. Sayangnya, dengan harta-hartanya inilah, Qarun ditenggelamkan ke dalam bumi. Ketika dirinya ditelan bumi, tiada sesiapapun yang dapat mempertahankannya meskipun ketika hidupnya, Qarun telah membeli khidmat sesiapa sahaja yang mampu dibelinya.

[28:81] "Kemudian Kami menyebabkan bumi menelannya serta rumahnya; maka tidaklah dia mendapat (sebarang) golongan (walaupun kecil) yang boleh menolongnya daripada (Azab) ALlah, dan dia pula tidak dapat mempertahankan dirinya sendiri."

Menurut Tafsir al-Tabari, Qarun merupakan sepupu Nabi Musa. Namun, hubungan persaudaraan yang dekat ini masih mampu mewujudkan permusuhan yang begitu hebat. Qarun begitu dengki dengan kejayaan, kehebatan, kedudukan dan pengaruh Nabi Musa. Ia merasakan dirinya tidak punya apa-apa. Sesungguhnya, hasad dan dengki tidak mengenal sesiapa ~ sahabat atau kerabat.

Qarun sudah terjerumus jauh ke dalam amalan riba kerana ia merupakan amalan Bani Israel. Beliau merupakan seorang menteri dan penasihat, sekaligus orang kepercayaan yang sangat dekat dengan Fir'aun. Qarun menggunakan kesempatan ini untuk mengaut kekayaan negara sebanyak-banyaknya melalui pelbagai cara: halal dan haram.

Sesungguhnya, Qarun telah terpedaya dengan kekayaan. Beliau cuba mencari pengaruh di kalangan Bani Israel, cuba membeli kekuasaan dan cuba menjatuhkan Nabi Musa dengan segala macam perancangan.

Ketika Nabi Musa mewajibkan zakat, Qarun bersetuju untuk membayar zakat. Namun, setelah mendapati jumlah yang perlu dizakatkan itu terlalu banyak, Qarun kemudiannya menghasut Bani Israel dengan mengatakan bahawa Nabi Musa cuba menindas rakyat di atas nama zakat. Oleh kerana Bani Israel begitu sayangkan harta mereka, isu ini dieksploitasi semahunya!
Dalam pada itu, Qarun cuba mencemar nama baik Nabi Musa, melempar fitnah yang bukan kepalang, dengan mengupah seorang wanita untuk mengaku melakukan hubungan dengan Nabi Musa. Fitnah ini disebar-luas setelah Nabi Musa membuat pengumuman bahawa sesiapa yang mencuri akan dipotong tangan dan sesiapa yang berzina akan disebat-mati. Bani Israel kemudiannya bertanya: "Kalau engkau sendiri yang melakukannya, bagaimana?" Nabi Musa menjawab: "Ya, andainya aku sekalipun."

Kemudian, khabar fitnah itupun tersebar dengan meluasnya bahawa Nabi Musa mempunyai hubungan dengan seorang wanita. Namun, ALlah tetap memelihara para nabi dan rasul-Nya yang telah menerima tauliah nubuwwah dan risalah. Nabi Musa mencabar kembali dengan memanggil wanita yang dikatakan mempunyai hubungan dengannya. Ketika dihadapkan di khalayak umum dan disoal, wanita itu mengaku bahawa dia diupah orang untuk menyebarkan fitnah ini. Setelah disiasat, hati nurani wanita itu sendiri yang bertutur bebas tanpa tekanan.

Sekaligus, episod sejarah ini menunjukkan betapa ALlah telah menyelamatkan Nabi Musa dari cengkaman fitnah manusiawi.

No comments: