Friday, July 29, 2005

[Malaysia] Ekuiti Melayu tertinggi zaman Ku Li

Ekuiti Melayu tertinggi zaman Ku Li jadi Menteri Kewangan - Husam
Friday, July 29 2005, Harakahdaily

KETEREH (Kelantan), 29 Julai (Hrkh) – Kejayaan orang Melayu memiliki ekuiti kekayaan negara sehingga mencapai 22 peratus hanya berlaku ketika Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Menteri Kewangan.

Pada kemuncak itu hanya sebanyak lapan peratus lagi menghampiri 30 peratus sebagaimana ditetapkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin ketika melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971. Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa berkata, bagaimanapun selepas anggota Parlimen Gua Musang terbabit meninggalkan Kementerian Kewangan, ekuiti milik orang Melayu semakin merosot.

"Sekarang ekuiti milik orang Melayu hanya sekitar 18 peratus sahaja. Keadaan ini berlaku kerana orang Melayu yang mendapat kontrak kerajaan menjual kepada orang lain," katanya pada ceramah di Kampung Gondang, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Ketereh, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, Penyelia DUN Kok Lanas, Haji Ashaari Mamat, Penyelia Parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Abdul Kadir dan Adun Kadok, Haji Mohd Shukri Abdul Rahman.

Cakap bela Melayu tetapi rumah Tunku dijual kepada The Star

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri turut mendedahkan pemimpin Umno kononnya bercakap hendak bela nasib orang Melayu, namun dalam masa yang sama banyak melakukan tindakan menyebabkan orang Melayu semakin kehilangan haknya.

Katanya, ia dapat dibuktikan apabila kerajaan membiarkan rumah milik bekas Perdana Menteri pertama, Tuanku Abdul Rahman dijual anggota keluarganya kepada syarikat akhbar bukan Melayu, baru-baru ini.

"Rumah itu sepatutnya menjadi satu sejarah kepada negara kerana dijual kerajaan dengan harga murah kepada bekas perdana menteri selepas tidak lagi menjadi pemimpin negara.

"Namun beberapa hari lalu saya diberitahu kerajaan membiarkan rumah bersejarah itu dijual kepada orang bukan Melayu. Sepatutnya kerajaan membeli semula rumah tersebut kerana ia mempunyai nilai tinggi kepada negara," ujarnya.

Beliau berkata, amat malang tindakan itu berlaku ketika pemimpin Umno tengah sibuk bercakap mengenai semangat Melayu.

"Kalau benar-benar serius bercakap mengenai semangat Melayu sepatutnya rumah yang mempunyai nilai sejarah milik bekas pemimpin negara itu tidak dibiarkan dimiliki orang bukan Melayu," tambahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau melihat ada kebenaran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Rafidah Aziz yang tidak bercakap benar berkaitan isu permit import (AP).

Dakwa beliau, ada pemimpin Umno sendiri memberitahu seorang daripada penerima AP terbanyak yang diberi Rafidah hanya memiliki sebuah sahaja bilik pameran kereta.

Katanya, banyak sijil AP yang dimiliki hanya dijual begitu sahaja tanpa perlu memiliki bilik pameran sebagaimana disyaratkan. Menurut Husam, pemilik AP terbabit bersara awal daripada jawatan kerajaan dan kini memiliki kekayaan luar biasa.

"Dalam menangani isu ini nampak sangat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu lemah dan tidak boleh buat apa-apa," ujarnya.

Husam berkata, hampir kesemua pemimpin utama Umno tidak dapat dipisahkan daripada rasuah politik kecuali presiden dan timbalannya kerana mereka memenangi jawatan tersebut tanpa melalui pertandingan.

No comments: