Friday, July 29, 2005

[Malaysia] Dato' Seri Shahrizat di Program HELWA

Masyarakat Tidak Wajar Sisih Remaja Bermasalah
Hassan Omar, Berita Harian (29 Julai 2005)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan supaya wanita turut diberi peluang menjadi ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang kini didominasi lelaki.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, usaha itu akan memberi peluang kepada wanita memberi sumbangan lebih bermakna dan bukan setakat diperlukan hanya apabila ada kenduri-kendara di masjid.

"Wanita layak diberikan tanggungjawab berkenaan bagi membolehkan mereka memberi pendapat dan melaksanakan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan, terutama yang berkaitan dengan hal-ehwal wanita.

"Setakat ini, memang ada wanita diberikan jawatan berkenaan tetapi kebanyakan hanya membabitkan kumpulan AJK kecil dan bukannya dalam kumpulan jawatankuasa utama masjid," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Konvensyen Wanita Islam anjuran bersama Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Menara DBP, di sini, semalam.

Shahrizat berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terbabit dalam pembentukan AJK masjid, perlu melihat kemampuan wanita sebagai aspek untuk memajukan fungsi masjid melalui pelbagai kegiatan.

"Kebanyakan muslimat yang saya jumpa memberikan maklum balas, mereka ingin sama-sama melaksanakan pelbagai kegiatan anjuran masjid tetapi tidak ramai yang diberikan peluang mengemukakan pandangan," katanya.

Konvensyen dua hari itu dihadiri kira-kira 300 peserta. Turut hadir, Timbalan Presiden Abim, Prof Madya Shaharuddin Baharuddin dan Naib Presiden (Helwa) Abim, Nordiran Idris. Ia bertujuan memperkukuh fungsi wanita dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Terdahulu, ketika berucap, Shahrizat berkata, meskipun memegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan atau swasta, wanita tidak harus mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kerana asas pembentukan masyarakat yang dianjurkan Islam, bermula di rumah.

Dengan mengambil contoh dirinya, Shahrizat berkata, beliau tetap mengambil berat tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kerana kasih sayang yang diberikan kepada suami dan anak-anak adalah faktor terpenting menjamin kebahagiaan keluarga.

1 comment:

Anonymous said...

what I was looking for, thanks