Sunday, May 21, 2006

tiada orang miskin di Parit Sulong ?

Ahli Parlimen berbohong, tiada orang miskin di Parit Sulong
Mon May 08, 06 01:20:23 PM
Oleh Salman Hussin
PARIT SULONG, 8 Mei (Hrkh) - Kenyataan Ahli Parlimen Parit Sulong, Syed Hood Syed Idros, dalam wawancara dengan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM1 baru-baru ini merupakan satu pembohongan yang nyata.


Dalam wawancara tersebut beliau memberitahu kononnya tidak terdapat orang miskin di Parlimen Parit Sulong yang diwakilinya sedangkan dalam tinjauan Harakahdaily bersama Ketua Pemuda PAS Parit Sulong, Juhari Osman, di Kampung Parit Moin 2, dekat sini, baru-baru mendapati masih terdapat dua keluarga miskin yang memerlukan bantuan.


Itu baru satu kampung yang sempat kami lawati, belum lagi di kampung-kampung lain, mungkin masih terdapat lebih ramai lagi golongan miskin yang terlepas pandang dari pemerhatian wakil rakyat mereka tetapi tiada pihak yang mendedahkan perkara ini.


Keluarga pertama yang kami temui, Abdul Samad Kasmin, 66, bersama isteri Hasnah Timin, 55, beserta tujuh ahli keluarga lainnya hanya tinggal di sebuah rumah kecil yang begitu dhaif dan tidak selesa.


Abdul Samad yang bekerja mengambil upah menjual kuih dengan pendapatan sekitar RM500.00 sebulan selain sedikit pendapatan sampingan dengan melakukan kerja-kerja lain terpaksa menyara enam anak dan seorang kakaknya yang sudah tua.


Bebanan beliau menjadi semakin bertambah berat berikutan tiga daripada enam anaknya tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana mengalami penyakit ganjil, hanya seorang saja anak beliau yang bekerja itu pun tidak menentu manakala seorang baru menamatkan peperiksaan SPM dan seorang lagi masih belajar di tingkatan satu.


Mereka yang tinggal menumpang di tanah orang ini juga tidak mempunyai bekalan air paip setelah bekalan air paip mereka dipotong kerana tidak mampu membayar tunggakan bil air berjumlah RM70.00.

Kini mereka hanya bergantung kepada sumber air hujan untuk makan dan minum manakala untuk mandi dan membasuh pakaian pula mereka menggunakan air perigi dan bila musim kemarau mereka terpaksa mendapatkan air dari rumah jiran tetangga.


Menurut Abdul Samad, “tuan tanah ini sudah lama menyuruh kami keluar dari tanah ini tetapi disebabkan kami tiada wang maka kami terpaksa terus tinggal di sini".


Bagaimana pun katanya lagi, “kami sedang berusaha membina rumah sendiri di tanah pusaka peninggalan keluarga isteri saya sejak enam bulan lalu tetapi kerja-kerja membuat rumah ini terhenti kerana kehabisan wang".


Beliau juga turut melahirkan kekesalan dengan sikap pemimpin masyarakat setempat dan juga wakil rakyat yang langsung tidak menjenguk beliau sekeluarga.
“Tiada siapa datang menjenguk kami sekeluarga, bertanya khabar pun tidak jauh sekali apatah lagi untuk menghulur bantuan, wakil rakyat cuma datang semasa rumah kami dihempap pokok kelapa enam bulan lalu, selepas itu tiada siapa hiraukan nasib kami," katanya dengan nada kesal.


Seorang lagi penduduk miskin yang ditemui di kampung yang sama, Aminah Sarlan, 70, seorang balu yang terpaksa menyara seorang anak perempuan yang terencat akal sejak kecil setelah kematian suami kira-kira empat tahun lalu.


Sekali pandang memang tiada siapa menduga terdapat sebuah keluarga msikin yang menghuni rumah kecil di tengah-tengah kebun kelapa ini, ini kerana rumah Aminah terletak lebih kurang 150 meter dari jalan besar Parit Moin.


Semasa ditemui. Aminah memberitahu, makan minum beliau dua beranak diperolehi hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati dengan nasib mereka. Bantuan RM100 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada anaknya yang terencat akal tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan seharian mereka berdua.


Bahkan katanya lagi, sumbangan orang ramai juga tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka dua beranak kerana sumbangan ini diperolehi setahun sekali.
Justeru beliau merayu pihak-pihak terbabit menyalurkan bantuan tetap secara bulanan bagi menampung keperluan harian mereka kerana mereka tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan disebabkan faktor usia dan juga kesihatan mereka.


Kalau keluarga Abdul Samad yang menumpang di tanah orang tidak mempunyai bekalan air paip, Aminah yang juga menumpang di tanah orang pula tidak mempunyai bekalan elektrik.


Menurut Aminah, "enam bulan lalu Syed Hood (Anggota Parlimen Parit Sulong), semasa melawat rumahnya yang dihempap pokok kelapa telah berjanji untuk mendapatkan bekalan elektrik tetapi sampai sekarang janji ini masih belum dipenuhi lagi".
"Ketiadaan bekalan elektrik ini menyebabkan kami berdua terpaksa menggunakan lilin pada malam hari," katanya lagi.


Selain mereka berdua, Harakahdaily juga difahamkan masih terdapat ramai golongan miskin yang memerlukan bantuan dan perhatian pihak berwajib di Parlimen Parit Sulong ini, menurut sumber, ada diantara mereka yang menumpang di tanah rezab sungai serta tidak mempunyai bekalan air paip dan elektrik.


Harakahdaily akan terus menjejaki golongan mustadafin ini dari semasa ke semasa, kita akan terus mendedahkan kedhaifan rakyat miskin ini bukan saja di Parit Sulong tetapi di seluruh negeri ini.


Penemuan dua keluarga miskin di Kampung Parit Moin 2 ini sekali gus menyangkal kenyataan Syed Hood yang sebelum ini mendakwa tidak terdapat golongan miskin di Parlimen beliau sebaliknya kenyataan beliau ini merupakan satu pembohongan kepada rakyat khususnya di Parit Sulong.

No comments: