Sunday, May 21, 2006

Lebih 1,000 bantah majlis IFC di Pulau Pinang

Lebih 1,000 bantah majlis IFC di Pulau Pinang
Mon May 15, 06 10:27:55 AM
Oleh Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 15 Mei (Hrkh) - Bantahan aman selama dua jam bermula 8.45 pagi
semalam yang diketuai bersama oleh Pengerusi Badan Anti IFC (Badai) Dewan
Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin dan Presiden Teras
Keupayaan Melayu (Teras), Haji Azmi Abdul Hamid akhirnya berjaya membatalkan
majlis mendapatkan tandatangan menyokong Suruhanjaya Antara Agama oleh Badan
Bukan Kerajaan (NGO) dan Aliran Kesedaran Negara (Aliran).
Program tersebut yang dijangkakan bermula jam 9.00 pagi terpaksa
ditangguhkan ke jam 9.40 pagi ekoran mendapat nasihat daripada pasukan polis
yang tidak mahu suasana tegang menyelubungi perkarangan hotel berkenaan.

Kira-kira seribu umat Islam berkumpul sejak pukul 7.30 pagi di hadapan Hotel
Cititel untuk mengatakan bantahan terbuka ekoran tindakan Aliran mengadakan
program yang mencabar sensitiviti umat Islam sejagat.

Antara ahli panel forum terbuka bertajuk 'Federal Constitutions Protection
For All' itu ialah Executive Director Awam, Honey Tan Lay Ban; Presiden
Aliran, P.Ramakrishnan; Profesor Undang-undang Univesiti Institut Teknologi
Malaysia (UiTM), Prof Shad Saleem Faruqi; Lawyer On Constitutional Matters,
Malik Imtiaz dan Ahli Parlimen Kota Bahru, Zaid Ibrahim.

Pihak polis beberapa kali terpaksa turun naik lif untuk menjadi orang tengah
bagi menyelesaikan masalah yang melibatkan maruah masyarakat Islam sejak
kebelakangan ini.

Tambahan lagi pihak Aliran cuba meminta polis memberikan masa untuk mereka
melaksanakan tuntutan rakyat berbilang bangsa terhadap isu yang menyentuh
peristiwa M.Morthy, Nyonya Tahir dan Shamala.

Manakala masyarakat Islam yang sedang berdemontrasi mendesak supaya program
itu dibatalkan atau membenarkan 20 orang wakil naik ke tingkat tiga bagi
mencari penyelesaian.

Namun penganjur berjaya juga mengadakan program kira-kira sejam bilamana
tiga ahli panel iaitu, Honey Tan Lay Ban, P.Ramakrishnan dan Malik Imtias
berhujah.

Belum sempat pun Zaid Ibrahim memulakan ucapan pihak polis mengarahkan agar
program itu dihentikan serta merta.

Apabila mendapat tahu program tersebut dihentikan pada pukul 10.20 pagi
semua umat Islam yang setia menanti keputusan melaungkan 'Allahu Akhbar'
dengan diikuti doa sebagai tanda syukur kerana berjaya memberhentikan majlis
yang mencabar kewibawaan setiap individu umat Islam.

Sebelum itu, kehadiran 200 anggota pasukan polis dan Pasukan Gerak Am (PGA)
menambahkan ketegangan apabila mereka mendesak umat Islam yang berkumpul
untuk bersurai kerana menyertai perhimpunan haram tetapi akhirnya bertindak
bijak dengan membenarkannya sehingga proses perundingan selesai.

Kebanyakan peserta forum pulang hampa kerana tidak sempat mendengar hujah
dari ke semua ahli panel serta mengambil peluang dalam sesi soal jawab.

Tetapi, bagi peserta yang terlibat dengan demonstrasi merasakan satu
kemenangan besar kerana berjaya menghentikan majlis yang julung kali
diadakan di negeri ini.

No comments: