Saturday, May 27, 2006

5,177 Hektar "Diserah" Kepada Singapura

5,177 Hektar "Diserah" Kepada Singapura

Kerajaan Johor diminta memberi penjelasan segera berhubung penyerahan tanah seluas 5,177 hektar kepada Singapura di awal tahun 80-an untuk dijadikan kawasan tadahan air bersih bagi disalurkan ke negara berkenaan.

Status pemberian kawasan dikenali sebagai tadahan air Sungai Linggiu di Bandar Tenggara, yang melibatkan tiga daerah iaitu Kluang, Mersing dan Kota Tinggi masih samar apakah ianya di atas kurniaan sebagai pajakan ataupun melalui perjanjian yang mengandungi terma-terma "istimewa".

Serentak itu juga, Kerajaan Johor hari ini diminta mewartakan segera kedudukan kawasan berkenaan untuk diketahui rakyat. Kelambatan Kerajaan Johor mewartakan status tanah berkenaan menyebabkan timbul tanda tanya apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik penyerahan kawasan yang terletak kira-kira 100 km dari JB.

Apa yang menghairankan, pelan warta kawasan berkenaan yang ditandatangani oleh Pengarah Juruukur Johor telahpun dikeluarkan pada tahun 1990. Kawasan yang dikenali dengan "hamparan air jernih" itu mempunyai tujuh buah gunung dan 66 buah bukit yang menjadi benteng mengalirkan air ke kawasan berkenaan.

Rakyat Johor cuma mengetahui pemberian tanah berkenaan apabila Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika menjadi MB Johor memaklumkan bahawa kerajaan mendapat RM 370 juta daripada Kerajaan Singapura sebagai pampasan. Jumlah sebanyak itu tidak memadai jika dibandingkan dengan kawasan berkenaan yang dikira strategik bagi pembangunan dan pertahanan Johor.

Kawasan berkenaan mencakupi 1/3 pulau Singapura kini sudah dibina tiga empangan konkrit setinggi 190 meter dari paras laut dan ia telah menyalurkan air ke Singapura sejak 15 tahun yang lalu.

Pembinaan empangan air seluas 20,000 hektar di kawasan berkenaan yang ditambak dengan ketinggian melebihi 20 meter dari paras ketinggian air biasa boleh mengancam penduduk sekitar sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada empangan berkenaan.


Sumber: Akhbar "SIASAH", 19 Mei 2006

No comments: