Sunday, May 21, 2006

IFC: Kumpulan Artikel 11 perlu hentikan roadshow

Kumpulan Artikel 11 perlu hentikan 'road show'
Fri May 19, 06 03:49:12 PM
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS mahu kerajaan menggesa Kumpulan Artikel 11 menghentikan segera semua 'road show' yang dijalankan pertubuhan mutakhir ini, kata Ketuanya, Salahuddin Ayob.


Salahuddin berkata demikian ketika ditemui di Putrajaya hari ini selepas menyerahkan memorandum bantahan penyalah taksiran Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Setiausaha Sulit Kanan PM, Ahmad Yaakob.


Turut hadir ialah, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad; Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Hassan Alias dan Pegawai Khas Pemuda PAS, Safarizal Salleh.


Mengulas lanjut gesaan itu Salahuddin berkata, Pemuda PAS kecewa dengan kelesuan kerajaan dalam mendepani kumpulan ini yang dipercayai mempunyai agenda serong ke atas Islam dan umatnya.


Mereka menggunakan platform 'road show' untuk meneruskan agenda dan misi untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) supaya diiktiraf kerajaan, katanya.
"Kejadian demonstrasi membantah program Kumpulan Artikel 11 oleh umat Islam di Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan secara jelas bahawa kesabaran umat Islam terhadap kumpulan ini semakin sukar dibendung," katanya.


Pemuda PAS percaya kumpulan ini melakukan agenda mereka dengan berlindung di sebalik tajuk "Federal Constituition - Protection For All" bagi mendapatkan sokongan, katanya.


Malah kata Salahuddin, kumpulan ini dilihat cuba menjadi 'wadah' kepada umat Islam yang terpesong untuk bebas keluar dari Islam atau dalam kata lain murtad.


Justeru kerajaan diminta segera menyiasat dan bertindak ke atas kumpulan ini supaya dakyah mereka tidak akan menjadi punca mencetus huru-hara, katanya.

No comments: