Saturday, May 27, 2006

Kepimpinan ulama berbeza dengan teokrasi

Kepimpinan ulama berbeza dengan teokrasi
Mon May 22, 06 06:47:24 PM
Oleh Ali Bukhari Amir
PULAU PINANG, 22 Mei (Hrkh) - Kepimpinan ulama bukanlah pemerintahan ala teokrasi seperti yang difahami oleh sesetengah, demikian kata Yang diPertua Persatuan Ulama Malaysia, Pulau Pinang (PUMPP), Prof Madya Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor.


"Teokratik ertinya seseorang menganggap dirinya adalah wakil Allah SWT. Dalam Islam tiada pandangan seperti itu. Ia juga boleh berbentuk demokrasi, syura dan sebagainya," katanya kepada Harakahdaily ketika mengulas sebuah forum anjuran Artikel 11 di Pulau Pinang baru-baru ini.


Kumpulan itu turut membawakan tema perbincangan seperti kepimpinan teokrasi yang menyamakan kepimpinan corak itu sebagai pemerintahan ulama.
"Teokrasi ini bermakna, penguasa bercakap bagi pihak Tuhan. 'Teo' itu Tuhan. Islam tidak begitu. Setinggi mana pun imam mazhab, mereka masih terdedah kepada kesilapan dan bukan maksum.
Pemerintahan ulama tidak semestinya teokratik. Itu istilah yang mungkin sesuai kepada zaman 'middle-ages', ketika mana golongan paderi menguasai Barat. Mungkin, pada masa itu, kita boleh katakan mereka memerintah secara teokrasi juga," kata beliau.


Dalam Islam, kata Dr Wan Mohd Salim, sesiapa sahaja yang layak, faham syariat dan tahu mentadbir negara, maka kepimpinan mereka boleh diterima.
"Tidak semestinya dia mesti berkelulusan secara rasmi dalam agama. Ulama adalah orang yang menguasai ilmu. Mereka disebut fuqaha', muhaddithun, mufassirun. Mereka ilmuan, tidak kiralah dalam bidang apa pun," katanya.


Menurut beliau, kepimpinan ulamak boleh dikritik kerana mereka mungkin ada kesilapan dalam pemerintahan sebagai manusia biasa.
"Mereka (ulama) itu satu golongan yang ada usaha merealisasikan syariat itu. Dalam usaha mengimplementasikan syariat itu, kadangkala mereka tersalah, dan kita boleh betulkan.
Kalau teokrasi, mereka memang tak salah. Kalau mereka memerintah, mereka kata Tuhan yang menyuruh mereka berbuat demikian. Itu bezanya kepimpinan ulamak dengan kepimpinan teokrasi," kata Dr Wan Mohd Salim. - mks.

No comments: