Sunday, May 21, 2006

IFC: Jangan dijolok sarang tebuan

IFC: Jangan dijolok sarang tebuan
Wed May 17, 06 09:28:30 PM
Oleh Ahmad Lutfi Othman
antahan aman umat Islam Islam prihatin di bawah Badai (Badan Bertindak Anti-IFC), yang mengakibatkan satu forum terbuka di Pulau Pinang terpaksa ditamatkan lebih awal, seperti dijangka, digambarkan sebagai tindakan ganas dan tidak beradab menghalang kebebasan asasi pihak lain untuk berhimpun dan bersuara.


Sepertimana hak lebih 1,000 orang yang tidak bersetuju dengan idea penubuhan IFC itu, untuk membantah dan berdemonstrasi dijamin, maka pihak penganjur, Artikel 11 menuntut bahawa hak mereka untuk mengadakan forum terbuka di dalam dewan hotel itu juga harus dihormati.


Membaca akhbar, terutama yang berbahasa Inggeris, lihat saja The Sun, NST dan The Star - yang selama ini bertindak dalam diam mempromosi idea IFC - tergambar seolah-olah pihak yang membantah telah menggunakan kekerasan bagi menggagalkan forum terbuka itu. Malah ada yang menyamakan penunjuk perasaan itu dengan bantahan Pemuda BN, lebih 10 tahun lalu, yang menceroboh dewan persidangan APCET II (Asia Pacific Conference on East Timor II), walhal ia tidak relevan sama sekali untuk dibuat perbandingkan.


Sesungguhnya bantahan terhadap forum IFC itu dijalankan secara aman, tidak melibatkan kecederaan fizikal, dan ini dibuktikan dengantindakan pihak polis yang langsung tidak membuat tangkapan. Pihak media, dengan disokong kuat Nazri Aziz yang "sekularis stupid" itu jelas cuma memutarbelitkan fakta, memainkan jarum halus propaganda mereka.


Apa pun, untuk mengharapkan mereka yang membantah tidak melahirkan emosi kemarahan, atau bersuara tanpa nada keras, tentulah tidak rasional sama sekali. Penganjur IFC pastinya arif benar bahawa majoriti umat Islam negara ini sememangnya cukup marah dan sensitiviti mereka begitu tercabar apabila hal-hal asas berkaitan agama Islam mahu diceroboh pihak luar, atau dimanipulasi semahunya oleh orang Islam sendiri yang jahil tentang agamanya.


Kalau pemerintah Denmark mungkin dapat memberi daleh bahawa mereka tidak faham orang Islam boleh begitu sensitif walaupun dengan hanya penyiaran kartun, tapi kepada rakyat Malaysia, apatah lagi jika ia membabitkan "intelektual" Muslim (rujuk dua orang penceramah dalam forum terbuka itu), pelik benar jika mereka tidak dapat menduga pembabitan mereka dalam IFC tidak akan mengundang kemarahan umat.


Bantahan keras itu sebenarnya disuarakan sejak idea IFC mula ditimbulkan lama dulu, dan ia tidak diluahkan hanya oleh satu dua kumpulan tertentu, tetapi merangkumi setiap lapisan masyarakat Islam. Ia dilahirkan melalui pelbagai kaedah, antaranya, risalah penentangan IFC disebarkan di masjid-masjid, surau-surau, dan isu yang hampir sama, kembar siamnya, yakni faham Islam Liberal turut dikecam hebat.


Maknanya, penentangan terhadap IFC bukan lagi milik kumpulan Islam atau parti politik tertentu, ia dirasai setiap anggota ummah, cuma mungkin belum diluahkan, atau terpendam kerana mereka tidak menyedari apa sebenarnya IFC itu.


Seorang sahabat saya yang terlibat dalam ACCIN - sekumpulan NGO yang aktif menyusun gerak menghadapi tindakan licik penganjur IFC - memberitahu, kemarahan umat Islam, tanpa mengira ideologi politik berada di paras tertinggi jika penubuhan IFC diluluskan kerajaan. Justeru, Perdana Menteri sendiri yang menyedari hakikat itu, minta supaya hal IFC ini tidak perlu dibincangkan lagi. Tegasnya, jangan cuba dijolok sarang tebuan!


Soal bahawa ada individu yang membuat bantahan secara terbuka dalam majlis forum di hotel Cititel itu, ia bagi saya perkara biasa, dan bukannya menyelinap masuk seperti didakwa. Bukankah majlis itu pun dinamakan forum terbuka, dan penganjur membuat undangan umum, termasuk dalam laman web Aliran, untuk semua menghadirinya. Saya yakin tiada kerusi meja yang melayang, atau gertakan untuk mencederakan sesiapa, tapi saya dapat membayangkan bagaimana luapan emosi marah pasti diluahkan secara terus.


Tapi saya juga tidak terkejut jika maruah dan kedaulatan Islam dipermainkan sebegitu rupa, pertumpahan darah boleh berlaku! Kalau tragedi 13 Mei 1969 tercetus kerana "masalah antara kaum", maka hal yang lebih buruk boleh dirakamkan jika "masalah antara agama" cuba diremehkan.


Penganjur IFC harus faham, mereka sudah melewati wilayah sensitif dan harus bersedia menerima padah susulannya. Tidak bermakna jika mereka berseminar atau berforum secara beradab, menurut peraturan, dan tidak mengeluarkan kecaman kepada mana-mana pihak, maka mereka mengharapkan pihak lain yang begitu sensitif dengan isu yang mereka bawa akan menghadapinya dengan tenang juga.


Apakah misalnya pihak yang melakarkan karikatur penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. juga mengharapkan umat Islam yang marah akan hanya bertindak balas dalam bentuk menyiarkan karikatur sebagai lawannya? Sudah pasti tidak, mereka mesti faham bahawa umat Islam bersedia mempertaruhkan darah dan nyawa jika Rasulullah cuba dihina.


Ataupun, apakah bantahan terhadap novelis gila Salman Rushdie, yang menghasilkan The Satanic Verses, hanya boleh dilakukan dengan menerbitkan novel bagi menyanggahinya? Ataupun, kita perlu membaca novel syaitan itu sehingga selesai sebelum dapat membantahnya? Saya teringat kata-kata seorang demonstran di Paris apabila ditanya apakah anda telah membaca novel itu sebelum turun ke jalan raya menunjuk perasaan. Beliau menjawab, "Saya bersyukur kerana tidak membaca novel sekeji itu!"


Penganjur IFC juga sering bercakap dusta. Mereka hanya mendakwa IFC akan menjadi wadah dialog sedangkan sebenarnya mereka menuntut IFC dibekalkan kuasa dan pengiktirafan, untuk campur tangan dan menyentuh mana-mana agama. Meneliti deraf rang undang-undang IFC, ia jelas membuktikan niat jahat penganjurnya, yang mana badan seumpama IFC tidak pernah wujud di mana-mana negara di dunia ini, kerana tidak akan ada mana-mana masyarakat beragama yang dapat menerima kewujudan badan seumpama IFC.


Secara peribadi, saya antara individu yang kerap menuntut hak kebebasan bersuara, terutama berdepan sekatan dan tekanan KDN mengharamkan permit-permit penerbitan yang saya usahakan. Kami tidak pernah meminta kebebasan mutlak tanpa had, dan seperti yang selalu saya ulang, sebagai Muslim, kita sudah biasa dengan pantang larang dan hukum halal haram. Yang kami mahu adalah takrifan yang jelas, misalnya apakah makalah atau bahan yang tidak dibenarkan oleh KDN, yang jika kami menyiarkannya akan menyebabkan akhbar atau majalah itu boleh diharamkan. Huraikan pantang larang itu dan kita debatkan secara terbuka rasional ia patut dikuasakan. Malangnya, seperti biasa, kerajaan tidak pernah melayan permintaan kami itu. Dan dalam hal IFC ini, saya lihat ia tiada kaitan langsung dengan tuntutan kebebasan bersuara yang saya dan rakan-rakan pengamal media independen lain perjuangkan.


Begitu juga dengan kumpulan Artikel 11 itu. Mereka ada hak untuk bersuara, berhimpun, menjalankan aktiviti, tetapi ia tidak bermakna mereka boleh menyinggung dan mempersoal apa saja, hatta dalam hal-hal agama yang cukup sensitif itu. Bayangkan jika berlaku campur tangan antara agama, dan pihak autoriti dalam setiap agama tidak dihormati lagi, maka segala kerukunan hidup beragama akan menjadi kacau-bilau dan porak peranda. Apakah itu yang dimahukan Aliran dan mereka yang mendokong Artikel 11?

No comments: