Sunday, May 21, 2006

[Sarawak] Pembangkang tambah kerusi

Pembangkang tambah kerusi di Sarawak

Agendadaily, 21 Mei 2006




Tidak ada satupun analisa sebelum pilihanraya Sarawak yang menyebut Barisan Nasional akan kalah.Semua meramalkan BN akan kekal berkuasa.Apa yang menjadi perhatian semua pihak ialah berapa kerusi yang mampu dimenang oleh pihak pembangkang.



Mengikut keputusan pilihanraya itu Sabtu pembangkang khususnya DAP telah melebarkan sayapnya di Bumi Kenyalang dengan enam kerusi berbanding hanya satu semasa pilihanraya 2001.Ia menang di Kota Sentosa, Bukit Assek, Batu Lintang, Meradong, Pending and Kidurong.





Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula bertapak buat pertama kali menerusi satu kerusi di Padungan, satu kawasan terletak di tengah-tengah Kuching yang mempunyai 92 peratus pengundi Cina. Calonnya Dominique Ng Kim Ho menewaskan penyandang Lily Yong Lee Lee dari SUPP.




Parti itu meletakkan 25 calon untuk bertanding.





Calon Snap Dr Johnical Rayong Ngipa menang di kawasan Engkil menewaskan calon SUPP Jonathan Krai Pilo.





Satu lagi ialah calon bebas iaitu Gabriel Adit Demong yang menang kerusi Ngemah.



Beliau adalah diantara 20 calon bebas yang bertanding.




Cuma PAS gagal menang.Parti itu hanya bertanding di Beting Maro.Calonnya Alem Din tewas ditangan calon PBB Bolhassan Di@Ahmad dengan majoriti 987 undi.





Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud menang kesemua 35 kerusi yang ditandinginya.



Semasa pilihanraya 2001 sebanyak 62 kerusi dipertandingkan sebaliknya kali ini melibatkan sembilan kerusi tambahan, menjadikan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang terbesar di negara ini dengan 71 kerusi.



Setback BN adalah berikutan merosotnya prestasi SUPP, parti tertua di Sarawak yang ditubuhkan pada 1962, setahun sebelum negeri itu mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia, kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya termasuk empat di Kuching dan dua di Sibu.

BN menang 62 daripada 71 kerusi, termasuk dua yang dimenanginya tanpa bertanding pada hari penamaan calon 9 Mei lepas.


Taib yang diminta mengulas kejayaan luar jangkaan oleh pembangkang itu, berkata beliau kecewa dengan prestasi SUPP kali ini.



Mengenai Padungan, satu-satunya kerusi yang dimenangi oleh PKR yang dipimpin oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkempen bersama suaminya dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata itu tidak bermakna parti itu berjaya menembusi politik negeri Sarawak.

Taib berkata PKR kalah di semua 24 kawasan lain yang ditandinginya, malahan beberapa calonnya hilang wang deposit.

Kepada satu soalan mengenai kemenangan enam kerusi oleh DAP berbanding hanya satu sebelumnya, Taib berkata prestasi "naik turun" parti itu adalah satu perkara biasa bagi DAP dalam pilihan raya negeri ini.



Taib tidak menolak kemungkinan perjudian anjuran sindiket telah mempengaruhi keputusan pilihan raya ini selain daripada propaganda pembangkang.

Katanya beliau menjangkakan perjudian akan memberi kesan seperti yang pernah berlaku dalam beberapa pilihan raya sebelum ini tetapi kali ini, fenomena itu lebih meluas.

Taib berkata SUPP masih mampu memainkan peranan dalam politik negeri kerana parti itu bukannya dihapuskan terus.

"Satu kekalahan tidak bermakna perjuangan sudah berakhir tetapi ianya satu permulaan ke arah menghidupkan semula semangat," katanya.



Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika mengucapkan tahniah kepada BN kerana kejayaan mencapai kemenangan dengan majoriti dua pertiga, mahukan supaya satu post mortem diadakan berhubung kekalahan sembilan kerusi hari ini.

"Kita perlu kaji kenapa pembangkang menang beberapa kerusi bandar," kata Abdullah yang berada di Sharm Al Sheikh, Mesir, kerana menghadiri Forum Ekonomi Dunia, dalam satu perbualan tele-persidangan dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak berada di Kuala Lumpur, yang disiarkan secara langsung melalui RTM1 Sabtu malam.

Walaupun beliau sendiri mengekalkan kerusi Piasau di Miri, Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan yang kelihatan muram, berkata kekalahan parti itu adalah sesuatu yang amat serius.

Selain Padungan, SUPP juga tewas di Batu Lintang, Kota Sentosa dan Pending, kesemuanya di Kuching, serta Meradong, Bukit Assek, Engkili dan Kidurong.

Dr Chan, seorang doktor perubatan yang mengambil alih kepimpinan parti itu pada 1996, berkata beliau terkejut dengan keputusan itu kerana tiada siapa pun dalam parti itu menyangka SUPP akan kalah teruk dalam pilihan raya ini.

"Ramai yang bertanya kepada saya apa yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu apa nak kata. Sejak saya mengambil alih, kami mencapai kejayaan. Saya benar-benar tidak tahu kenapa (terjadi prestasi buruk). Apa yang boleh saya katakan ialah ini merupakan keputusan paling buruk dan teruk buat SUPP," katanya.

Dr Chan berkata bahawa daripada pengamatan awalnya, ada kemungkinan berlaku undi bantahan di kawasan-kawasan Cina dan inilah sebabnya parti itu kalah di Kuching, dan di kawasan tengah Sarawak iaitu di Sibu dan Bintangor.

"Kami akan adakan mesyuarat tergempar parti esok bagi mengkaji dan membuat analisis tentang apa yang terjadi. Kami tidak menunjukkan prestasi baik kali ini dan ini sesuatu yang sangat serius.

"Kami ingin tahu di mana kesilapan kami atau apakah yang rakyat inginkan daripada kami. Mungkin kami tidak sedar tentang apa yang diperlukan daripada kami," kata ahli politik yang berperwatakan sederhana ini.

Tokoh SUPP yang tewas termasuk dua menteri muda, Datuk Alfred Yap Chin Loi dan Datuk Sim Kheng Hui, yang juga setiausaha agung parti itu.

No comments: