Sunday, May 21, 2006

Racun akidah saudara baru

Harian Metro 18 Mei 2006 . Edisi KL: Racun akidah
saudara baru

KUALA LUMPUR: Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul
Wahid, mendedahkan kegiatan satu kumpulan yang giat
menjalankan gerakan di Selangor untuk memujuk dan
membela saudara baru supaya kembali menganut agama
asal mereka.

Beliau berkata, kumpulan terbabit dikesan melantik
panel peguam yang memperjuangkan hak kebebasan
beragama menggunakan Artikel 121 Perlembagaan
Persekutuan.

Katanya, mereka bukan saja membela golongan yang
kembali murtad, malah memperjuangkan agar seseorang
yang baru dilahirkan, diberi kebebasan memilih sendiri
agama yang hendak dianuti dan bukan lagi berdasarkan
keturunan keluarga mereka.

Sebelum ini, isu M Moorthy atau nama Islamnya,
Mohammad Abdullah mengejutkan negara apabila
keluarganya mendakwa tidak mengetahui arwah sudah
memeluk Islam ketika jenazahnya hendak dikebumikan.

Keluarganya mahu jenazah bekas komando itu dikebumikan
mengikut ajaran agama Hindu tetapi Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (Jawi) mempunyai rekod pertukaran
agama sekali gus mempengaruhi keputusan Mahkamah
Syariah supaya dikebumikan mengikut Islam.


Mohd Tamyes berkata, sebenarnya seseorang yang lahir
dalam keluarga Islam secara automatik beragama Islam
kerana ia adalah anugerah Allah.

“Oleh itu umat Islam dinasihatkan memperkukuhkan iman
dan berjuang menegakkan Islam walaupun ada pihak cuba
mempengaruhi mereka,” katanya berucap pada Majlis
Penerangan Ajaran Salah/Sesat di Auditorium Majlis
Perbandaran Ampang Jaya di Pandan Indah, di sini
semalam.

Beliau berkata, sebelum ini ada usaha pihak tertentu
mengkristiankan orang Islam, tetapi tidak berjaya
walaupun segelintir daripada mereka terpengaruh dengan
tawaran menarik dan kini mereka mengubah taktik,
termasuk meracunkan fikiran umat Islam dengan fahaman
Islam Liberal.

“Saya juga terkejut apabila kitab Injil yang
diterjemahkan ke Bahasa Melayu dibawa masuk ke negara
ini menerusi Persatuan Melayu Kristian Malaysia yang
berdaftar,” katanya.

Mohd Tamyes berkata, Islam dan agama lain memang
berbeza namun ada pihak cuba menimbulkan kekeliruan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Thursday/Setempat/20060518094148/Article/indexm_html

No comments: