Saturday, May 27, 2006

Najib tidak prihatin 8,000 bekas askar miskin

Najib didakwa tidak prihatin 8,000 bekas askar miskin
Thu May 25, 06 05:11:58 PM
Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Bilangan 8,000 bekas tentera yang hidup di bawah paras garis kemiskinan ketika ini menggambarkan kelemahan dan sikap alpa Menteri Pertahanan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib, terhadap nasib golongan yang telah berjasa kepada negara.


Seorang bekas pegawai tinggi tentera, Brig Jen (B) Abdul Ghani Mahluddin berpandangan Najib hanya dilihat lebih peka kepada warga tentera yang sedang berkhidmat sebaliknya tidak kepada anggota tentera yang bersara.


"Bilangan bekas tentera yang hidup susah lebih ramai daripada yang senang. Ini kerana anggota tentera yang berpangkat tinggi ataupun mendapat pencen RM1,000 ke atas tidak seramai berbanding yang berpangkat rendah bahkan ada yang mendapat kurang daripada RM400 sebulan," katanya yang bersara pada tahun 1985.


Sehubungan itu katanya, beliau bukan saja bersetuju cadangan pencen tentera dikaji balik bahkan kajian tersebut perlu disegera demi menyelamat kehidupan bekas tentera.


Dalam sidang Dewan Negara semalam, Senator Dato' Muhamad Abdul Ghani mendedahkan kira-kira 8,000 pesara tentera hidup miskin kerana menerima pencen bulanan RM400.


Menurut Muhamad, kemiskinan pesara tentera amat ketara kerana pencen yang diterima adalah pelarasan yang sudah lama tidak dikaji.


Ini katanya ada juga yang menerima kurang RM200 sebulan.


Jadi, katanya, apa yang boleh mereka belanjakan berbanding kos hidup yang serba meningkat sekarang.


Keadaan tersebut katanya akan berterusan selagi kerajaan tidak mengambil berat terhadap pendapatan pencen pesara-pesara tentera.

No comments: