Saturday, May 27, 2006

PAS desak kerajaan dedah perjanjian TNB-IPP

PAS desak kerajaan dedah perjanjian TNB-IPP

May 26, 06 11:50:30 AM Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Pengguna PAS, Mahfuz Omar mendesak kerajaan mendedahkan maklumat terperinci perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) kerana perjanjian tersebut memberi keuntungan besar kepada pihak berkenaan.
Menurut beliau, perjanjian itu tidak adil kerana TNB mengalami bebanan hutang dan syarikat tersebut telah memindahkan masalah bebanan hutangnya kepada pengguna industri dan domestik.
"Kenapa TNB tidak bekerja keras memaksa industri besar yang gagal menjelaskan bil tertunggak sebaliknya mencari jalan mudah menyerahkan masalah itu kepada kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.
Malangnya kata Mahfuz, kerajaan pula tidak menuntut atau menekan pemilik industri besar supaya menyelesaikan bil tertunggak sebaliknya menekan rakyat dengan menaikkan tarif elektrik.
Katanya, langkah itu tidak adil kerana kerajaan dan TNB telah memindahkan segala kelemahan dalam perjanjian dengan IPP sehingga TNB terpaksa membayar lebih RM4 bilion setahun kepada IPP.
Beliau membantah pandangan Perdana Menteri yang mengatakan kenaikan tarif elektrik 12 peratus itu tidak membebankan pengguna.
Sebenarnya kenaikan itu akan membebankan semua peringkat, kata beliau.
Ini kerana katanya, apabila kenaikan tarif itu melibatkan industri sudah tentu ia melibatkan kos operasi dan seterusnya kos pengeluaran meningkat termasuk kos di pasar raya.
Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah menyelar sikap dan pendirian ahli ekonomi serta politik yang menyatakan kenaikan tarif elektrik itu munasabah kerana kenyataan begitu amat memalu dan membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai sikap perihatin terhadap kesusahan rakyat.
Mengulas kenaikan itu, beliau mengingatkan rakyat memahami bahawa mereka mempunyai tanggungjawab sangat besar untuk mengubah kerajaan kepada yang adil.
Katanya, kuasa rakyat bukan hanya perlu ditunjukkan dalam pilihan raya tetapi mereka boleh melakukan sesuatu tekanan kepada kerajaan BN untuk mendapatkan suasana kehidupan lebih baik.

No comments: