Friday, December 28, 2007

Yuran sekolah masih jadi pertikaian - Mahfuz bidas Hishammuddin

Dec 26, 07

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Hrkh) - Kementerian Pelajaran digesa menarik balik
semua bayaran tambahan yang dikenakan kepada ibu bapa pelajar kerana
ternyata membebankan dan mengelirukan biarpun yuran persekolahan
anak-anak mereka dimansuhkan.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata keadaan ini menyebabkan ramai
ibu bapa pelajar yang merungut dan tidak berpuas hati dengan tindakan
kerajaan malah sikap sesetengah sekolah yang mengenakan bayaran secara
tidak sekata juga dipersoalkan.


"Kalau benar kerajaaan nak mansuh dan hapuskan yuran sekolah, mansuhkan
betul-betul dan kecualikan sebarang bayaran tambahan atau 'hidden
charges' yang penuh muslihat dan mengelirukan ibu bapa," katanya ketika
menghubungi Harakah.


Dilaporkan walaupun yuran persekolahan berjumlah RM 4.50 - sekolah rendah
dan RM 9.00 untuk sekolah menengah dihapuskan namun kata Menteri
Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata yuran tambahan
tetap dikenakan di antara RM38.50 dan RM55.50.


Bayaran yuran tambahan itu, katanya merangkumi bayaran kokurikulum, sukan
tahunan sekolah, kertas ujian dalaman, kegiatan pendidikan Islam dan
moral serta Skim Perlindungan Diri.


"Walaupun bayaran ini bukan diwajibkan tetapi bagi saya setelah 50 tahun
negara mencapai kemerdekaan, mustahil ada ibu bapa yang tidak mampu
langsung untuk menjelaskannya," kata menteri berkenaan.


Mahfuz menyelar kenyataan bolak-balik Hishammuddin yang menyusahkan dan
mengaburi ibu bapa dan seolah-olah secara tidak langsung memaksa mereka
membayar yuran tambahan tersebut.


"Sekejap kata tidak wajib, lepas tu kata boleh bayar ansur. Apa ni? Jangan
cakap berbelit-belit dan susahkan ibu bapa khususnya yang berpendapatan
rendah," katanya. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: