Wednesday, December 26, 2007

Kes Batu Burok: Malaysia amal hukum rimba - Anwar

Dec 23, 07

DUNGUN, 23 Dis (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar
Ibrahim menyifatkan Malaysia mengamalkan Undang-undang 'Rimba' ketika
mengendalikan kes polis melepaskan peluru hidup pada kejadian 8 September
lalu.

Ini kerana, katanya pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan serta
hampir meragut dua nyawa orang awam itu tidak didakwa oleh mahkamah.


Sebaliknya, kata Dato' Seri Anwar dua orang awam yang ditembak itu
didakwa serta di penjarakan tanpa ikat jamin.


"Apa ni..ini hukum 'rimba' mana yang dipakai. Orang yang kena tembak di
penjarakan dan yang melepaskan tembakan pula dilepaskan," ujarnya ketika
berucap pada Ceramah Perdana Sempena Aidil Adha di Perkarangan Masjid
Lama Sura, baru-baru ini.


Katanya, rakyat perlu membuat perubahan yang menyeluruh bagi menukar
kepimpinan negara yang semakin lemah dan bercelaru ini.


Suwandi dan Azman kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim
Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak
membenarkan mereka diikat jamin.


Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya didakwa menunjukkan kekerasan
jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di
sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah
dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar
(RF143706), seorang penjawat awam.


Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di
bawah seksyen 333 dan seksyen 511 kanun yang sama di mana sabit kesalahan
boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda.


Semua tuduhan itu membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada
8 September lalu, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta
Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang
menyalahi undang-undang.


Perbicaraan kes tersebut akan diadakan pada 30 dan 31 Disember 2007 ini
dan pendakwaannya diketuai sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani
Patail. - mns -->

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: